Kerajaan Pusat seharusnya memastikan nasib golongan miskin dan pertengahan di negara ini dibela sebaiknya dan bukannya membebankan mereka dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pemansuhan subsidi keperluan rakyat.
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Shamsudin, berkata pelaksanaan GST tidak akan membawa faedah kepada rakyat di negara ini sekiranya ketirisan dan pemborosan melampau oleh pihak kerajaan tidak berjaya dikawal.
Beliau berkata, sebelum sesuatu sistem percukaian itu boleh dilaksanakan, kerajaan perlu mengambil kira faktor atau kesan yang tidak menekan majoriti masyarakat.
“Dalam konteks pengurusan harta awam, kerajaan perlu pastikan bahawa yang dibela adalah masyarakat terbanyak dan orang miskin. Ini adalah satu kewajipan.
“Kajian juga jelas menunjukkan tindakan mengamalkan sistem ini (GST) tanpa terlebih dahulu mengawal ketirisan dan keborosan Kerajaan akan membawa kesan negatif,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.
Sementara itu, dalam reaksinya, beliau turut mengulas kenyataan beberapa pimpinan Umno-BN yang menyifatkan GST adalah suatu sistem yang adil.
Katanya, sekiranya beban itu diletakkan kepada golongan miskin, tindakan kerajaan itu jelas adalah tidak rasional.
“Keadilan bukan bermakna kita bebankan perkara yang tidak sepatutnya kepada rakyat miskin.
“Mereka yang mempunyai kekayaan banyak, mereka itulah perlu bayar cukai. Mereka yang hasilkan wang banyak, kumpulan ini wajar dikenakan cukai,” katanya lagi.
EZY
No comments:
Post a Comment