VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Friday 6 May 2016

DEBAT PERDANA 16 MEI - "DEKLARASI: MANA PERGI RAKYAT"


Kenyataan Media
7 Mei 2016

DEBAT PERDANA 16 MEI - "DEKLARASI: MANA PERGI RAKYAT"

Setelah lebih dua bulan Deklarasi Rakyat dilancarkan, dapat kita lihat pelbagai suara reaksi serta ekspresi ditunjukkan oleh banyak pihak. Ada yang menyokong tanpa syarat, ada yang menyokong dengan syarat dan ada juga yang menolak dengan hujah tertentu. 

Lantas mewujudkan dua kumpulan terbesar yang berbeza pendirian terhadap Deklarasi Rakyat, iaitu menyokong dan menolak deklarasi namun boleh dikatakan hampir semua pihak mempunyai tekad yang sama - menyelamatkan tanahair tercinta. 

Pelbagai pentas forum dan dialog juga telah disajikan kepada umum demi menyampaikan penerangan serta mendapatkan sokongan. Tidak kurang juga usaha di sebelah pihak lagi mementaskan forum kesedaran umum mengenai kelemahan deklarasi ini dan kemungkinan peluang emas untuk menyelamatkan negara terkubur.

Di atas permintaan yang memuncak, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan inisiatif teman aktivis, NGO dan mahasiswa, akhirnya berjaya merealisasikan sebuah pentas debat marathon yang kali pertama mempertemukan dua pihak antonim yang pro dan kontra kepada penubuhan Deklarasi Rakyat.

Debat Perdana bertajuk “Deklarasi – Mana Pergi Rakyat?” bakal merungkai persoalan apakah faedah dan keuntungan rakyat daripada Deklarasi Rakyat, akan dilangsungkan pada 16 Mei 2016 jam 8 malam, bertempat di dewan KLSCAH. 

Aksi debat diperhebat dengan penampilan trio Dato’ Ambiga Sreenevasan, Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan dan YB Khalid Samad di pihak pro-deklarasi manakala di pihak pro-reformasi total pula diwakili oleh cheGuBard (PKR), Arutchelvan (PSM) dan juga sdr Haris Ibrahim (ABU). Moderator diserahkan kepada Pengerusi Kesatuan Mahasiswa, sdr Azzan Aznan.

SAMM melihat pembentangan hujah secara matang melalui kaedah dua hala mampu menghasilkan percambahan idea dalam mencari jalan terbaik menyelamatkan negara, berbanding forum sehala yang bias dan tepu kepada satu sudut pandangan semata-mata. Pertembungan ini juga harus diraikan sebagai satu medan buat rakyat menilai secara langsung, malah persoalan yang saling dijawab oleh kedua pihak mampu menjadi pedoman buat rakyat dalam menentukan bagaimana seharusnya tanahair gersang ini diselamatkan.

Ini merupakan peluang terpenting bagi kedua belah pihak memberi ungkapan yang terbaik bagi mengolah persetujuan umum terhadap pendirian masing-masing. Harapan SAMM agar rakyat di luar sana melihat debat ini dengan deria positif dan memupuk iltizam tinggi dalam mencari penyelesaian optimum, betapa negara masih perlu diselamatkan.

Kehadiran adalah terbuka buat semua tanpa mengira fahaman kepartian. Pengamal media adalah dialukan untuk membuat liputan penuh secara langsung.

Edy Noor Reduan
Pengarah Program Debat Perdana
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

posted from Bloggeroid

Kifarah: Perbuatan Tiga Tahun Yang Lalu, Kini Terbalas di PRN Negeri Sarawak


Ada Kalanya, Tuhan Bayar Tunai

Tiga tahun yang lalu pada ketika ini, saya menyaksikan bagaimana tenangnya seorang pejuang yang dikhianati oleh sebuah parti yang kononnya berjuang atas nama agama. Masih tidak boleh lupa ketika berkempen, bagaimana sebelah malamnya mereka berjanji memberi laluan tetapi sebelah paginya pula merata dilihat berkempen untuk calon mereka.

Tiga tahun berlalu pada hari yang sama, ketika hari mengundi mereka mempunyai pondok panas di kala mereka umum penarikkan diri beberapa jam sebelum tamat tempoh berkempen. Penipu terus menipu dengan taktik kotor. Sudahlah begitu, Yang Dipertua Kawasan ditangkap hidup-hidup ketika mencuri bahan kempen kami hanya kerana ada gambar chegubard cium tangan arwah TGNA.

Malam keputusan itu dikhabarkan, mereka bersorak gembira siap dengan laungan takbir apabila diumumkan calon BN menang DUN Sg Acheh, walaupun calon mereka hilang deposit. Barangkali mereka tidak peduli kerana yang hilang itu cuma duit derma jihad.

Malam suram itu, kami begitu letih dimasak oleh kekalahan, yang tanpa kami sedar ia sebenarnya sebuah hikmah dalam perjuangan. "Mungkin aku tidak ditakdirkan untuk lawan dari dalam dewan tetapi dari atas jalan" adalah kata-kata awalan chegubard sebelum beliau terus memberikan semangat kepada kami yang longlai.

Beliau meluangkan masa meraikan semua komrad yang berminggu bermatian dengan usaha berganda apabila berdepan pertindihan 3 penjuru, sedangkan ratapan pilu sedemikian boleh saja beliau memilih untuk menyendiri beberapa hari. Tiada gelak tawa malam itu, hanya saling senyum sambil menikmati gabi terakhir sebelum meninggalkan Sg Acheh.

Sudah 3 tahun berlalu detik itu, yang akhirnya si polan yang hilang deposit tidak langsung dihukum kerana kononnya melanggar arahan, padahal ianya adalah satu arahan celaka pengfitnah yang mengeksploitasi Quran dan Hadis. Penyembah Karl Marx dan penganut komunis jadi alasan chegubard diperangi, menjadi lesen untuk menabur fitnah tanpa menyebut nama.

Sepanjang 5 tahun sebelumnya, chegubard pusing seluruh negara memenuhi jemputan ceramah parti itu, atau lebih tepat memenuhi tabung milo selain menggandakan sokongan dari setiap hujah dan pendedahan yang beliau lontarkan. Malah saya menjadi saksi bagaimana beliau cenderung ke tapak ceramah parti itu berbanding parti sendiri sekiranya ada pertindihan jemputan.

Hanya kerana hubungan beliau yang baik dengan parti itu, ada si jahanam dari gombak yang mencuri kesempatan meletakkan beliau bertanding di kerusi panas yang direbut, samada dengan harapan pertikaian diredakan atau sebenarnya membunuh hubungan baik sedia ada.

Tidak saya nafikan impak pertembungan ini menusuk ke perdu SAMM. Kekuatan SAMM di Perak, N.Sembilan dan Terengganu jatuh menjunam berpunca dari fitnah celaka. Namun mata rantai perjuangan ini diteruskan tanpa menoleh ke belakang.

Persetankan 5 Mei 3 tahun yang lalu, ia suatu sejarah yang harus menjadi iktibar betapa penjual agama adalah spesis yang paling tidak boleh dipercayai, seterusnya ialah penjual bangsa dan penjual negara.

Akhirnya hari ini terbukti, parti yang mengkhianati kami tiga tahun lalu kini berpecah dua, dalam berpecah dua terpecah lagi dua iaitu mempelam harum manis dan kuinin busuk.

Tiga tahun lalu mereka himpit kami dengan 3 penjuru, kini semua kerusi yang mereka tanding terpaksa diharungi dengan 3 penjuru yang mungkin semua hilang deposit. Malah PRU14 juga bakal menyaksikan mereka berdepan 3 penjuru di semua kerusi yang mereka tanding dan inshaAllah mereka kalah semua kerana ada kalanya, tuhan bayar tunai.

Tetapi harus diingat, mereka masuk pilihanraya pun bukan untuk menang. Mereka selesa menjadi penasihat yang baik dan mereka sedia memastikan BN menang. Maka rumusannya, mereka dan umno walaupun tiada hubungan rasmi suami isteri, tetapi mereka adalah pasangan skandal yang berhubungan secara sulit dalam gelap - ini lebih berdosa!

Malam ini mengimbau kembali detik yang sama 3 tahun yang lalu, memang benar suasana sedih menyelubungi setiap dari kami komrade SAMM. Ia peristiwa yang berdarah.

Tetapi kesedihan itu tidak sedikit pun mematahkan semangat kami, malah SAMM masih sentiasa di depan dalam radar politik tanahair.

ENR
5 Mei 2016
(2.55am 6 Mei 2016)

posted from Bloggeroid

Wednesday 4 May 2016

SAMM Jemput Wakil PH Lengkapkan Debat Perdana Deklarasi Rakyat


Kenyataan Media
4 Mei 2016

SAMM Jemput Wakil PH Lengkapkan Debat Perdana Deklarasi Rakyat

1. Debat Perdana "Deklarasi: Mana Pergi Rakyat" anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan dilangsungkan pada 16 Mei 2016 jam 8 malam, bertempat di dewan KLSCAH. Debat Perdana ini bakal merungkai persoalan - apakah faedah dan keuntungan rakyat daripada Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada Mac lalu dari perspektif dua pihak yang pro dan kontra kepada penubuhannya.

2. Debat ini pada awalnya menampilkan Dato' Ambiga, Dato' Seri Khairuddin dan YB Amiruddin Shaari di pihak pro-'deklarasi rakyat' manakala di pihak pro-'reformasi total' diwakili sdr cheGuBard (PKR), sdr Arutchelvan (PSM) dan juga sdr Haris Ibrahim (ABU). Azzan Adnan (Pengerusi Kesatuan Mahasiswa) selaku moderator.

3. Namun seorang ahli panel pro-deklarasi telah menolak jemputan untuk hadir berdebat iaitu YB Amiruddin. Seminggu lalu YB Amir telah meminta masa 3 hari untuk mempertimbangkan jemputan penganjur tetapi sehingga hari ini masih tiada respon setelah beberapa kali dihubungi.

4. Maka YB Amir juga sebaris dengan YAB Azmin, YB Tien Chua, YB Afif dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan yang tidak respon untuk berdebat lantas melepaskan peluang untuk mengangkat deklarasi yang mereka katakan demi 'Selamatkan Malaysia'. Adakah mereka juga sudah hilang percaya?

5. Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh YB Amir, SAMM dengan segala hormatnya menjemput Pakatan Harapan supaya menghantar seorang wakil. Ini bukan satu cabaran dari SAMM, cuma kami berharap mana-mana pimpinan PH yang selama ini dilihat menjunjung Deklarasi Rakyat supaya tampil pertahankannya.

6. SAMM tetap akan meneruskan aksi debat 16 Mei ini dan mengucapkan tahniah kepada Dato' Ambiga dan Dato' Seri Khairuddin yang sudah mengesahkan kehadiran sebagai ahli panel pro-Deklarasi Rakyat. Kesediaan mereka mengenepikan beza pendirian dan fahaman untuk berada sepentas bertukar hujah pandangan wajar dipuji.

7. Ini kali pertama Deklarasi Rakyat diperdebatkan secara terbuka dengan mempertemukan dua pihak yang antonim dengan fundamental masing-masing. Ia harus memberi impak dan percambahan idea yang lebih baik berbanding forum sehala mengenai Deklarasi Rakyat yang terdedah kepada satu skop pandangan sahaja.

8. Semua dijemput hadir dan pengamal media juga dibenarkan untuk membuat liputan.

Sekian

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

posted from Bloggeroid

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.