VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Saturday 18 October 2014

Taja Artis : Bukan Penjelasan Selebriti Yang Ditagih Tetapi Kumpulan Perubatan Johor



Kenyataan Media
18 Oktober 2014

Taja Artis : Bukan Penjelasan Selebriti Yang Ditagih Tetapi Kumpulan Perubatan Johor

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor menghargai usaha Rozita Che Wan untuk memberikan penjelasan sebagai respons balas kepada isu tajaan rawatan bersalin oleh KPJ Ampang Puteri.

Namun begitu, yang dipersoalkan adalah Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang menaungi Hospital Ampang Puteri bukanlah Rozita Che Wan. Mengapa KPJ masih berdiam diri dan tidak memberikan penjelasan asas keputusan memberikan tajaan tersebut.

Maka, rakyat Johor tidak menagih penjelasan Rozita Che Wan tetapi jawapan konkrit daripada anak syarikat kumpulan Johor Corporation (JCorp) itu. KPJ perlu bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kerana JCorp dan KPJ adalah merupakan syarikat sayap pelaburan Negeri Johor.

Malah, sebelum ini beberapa keputusan pelaburan, perniagaan dan promosi yang dilakukan oleh JCorp telah menyebabkan kerugian besar termasuklah Amanah Saham Johor satu ketika dahulu. Sudah pastilah, rakyat negeri ini sebagai stakeholders tidak rasmi mempunyai hak untuk mengetahui asas keputusan tajaan tersebut.

Kepada Rozita Che Wan, SAMM Johor tidak berniat mempertikaikan rezeki yang diterima oleh bakal anaknya tetapi apalah salah kiranya Rozita Che Wan mempunyai sedikit jiwa yang besar dan menjadi seorang selebriti yang "Noble" dengan menolak pemberian KPJ ini, sebaliknya meminta KPJ membantu ramai lagi orang-orang susah yang memerlukan bantuan rawatan kesihatan daripada mereka.

Hadzril Rizal
Penyelaras
SAMM Johor

Thursday 16 October 2014

Taja Artis Bersalin: KPJ Tidak Sensetif Terhadap Rakyat Kebanyakkan



Kenyataan Media
16 Oktober 2015

Taja Artis Bersalin: KPJ Tidak Sensetif Terhadap Rakyat Kebanyakkan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor membantah keras cadangan Hospital Ampang Puteri milik Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang ingin memberikan tajaan kepada aktress Rozita Che Wan termasuk urusan bilik bersalin, bilik penginapan, rawatan dan layanan kelas A secara percuma.

Apakah asas KPJ membenarkan pengurusan Ampang Puteri untuk memberikan tajaan ini? Sedangkan ramai lagi rakyat negeri Johor yang langsung tidak dapat menikmati apa-apa keistimewaan di pusat-pusat perubatan milik KPJ.

Sementelah pula, pasangan artis ini juga bakal menikmati laba besar hasil daripada penjualan hak eksklusif gambar-gambar bayi mereka nanti kepada pihak Astro. Tidak mungkin pasangan artis ini tidak mempunyai kemampuan untuk membayar yuran perubatan sehingga perlu diberi secara percuma.

Ramai rakyat Johor yang terpaksa berbaris panjang di klinik-klinik kesihatan awam, malahan senarai menunggu untuk rawatan penyakit kritikal seperti pembedahan pintasan jantung di hospital-hospital pakar Kerajaan juga begitu panjang.

SAMM Johor juga baru-baru ini terpaksa mencari ikhtiar dan berbincang dengan Bank Rakyat untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi merawat adik Mohd Aqil Rida yang berasal dari Parit Sulong, Johor yang memerlukan rawatan pembedahan jantung di IJN.

Tetapi di mana peranan KPJ? Mengapa KPJ tidak mahu menghulur bantuan rawatan percuma kepada anak kelahiran Johor seperti kes adik Mohd Aqil Rida ini? Mengapa KPJ tidak memberikan diskaun dan insentif lain kepada anak-anak Johor terutamanya kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk menerima rawatan yang lebih sofistikated?

SAMM Johor ingin memperingatkan KPJ sebagai antara pemain utama pusat perubatan dalam negara akan tanggungjawab sebenar KPJ. KPJ janganlah terlalu mengejar populariti sebaliknya ingat juga tanggungjawab sosial yang terpikul terhadap aspek kesihatan anak Johor.

Mencari populariti juga bukan dengan bermaksud menaja sekelompok artis yang kaya raya sebaliknya memberikan insentif dan limpahan nikmat dunia perubatan moden kepada seluruh anak negeri Johor.

Sehubungan itu, SAMM Johor mendesak KPJ membatalkan hasrat ini dan Kerajaan Negeri juga perlu untuk melihat akan insentif dan diskaun yang boleh diberikan oleh KPJ kepada seluruh anak negeri Johor.

Hadzril Rizal
Penyelaras
SAMM Johor

Tuesday 14 October 2014

Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik



Kenyataan Umum
14 September 2014

Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor menyambut baik cadangan Kerajaan Johor untuk menubuhkan Pusat Persuratan Melayu Nusantara atau Forum Selatan. Idea untuk memperkasakan bahasa Melayu Johor ini sememangnya sesuatu yang amat penting dalam mencipta ruang pengukuhan tamadun kenegeraan. 

Forum Selatan yang akan menggabungkan Johor-Riau-Singapura di atas satu platform untuk mengungkap kembali sejarah kebudayaan, bahasa dan penulisan memang wajar disokong oleh segenap lapisan rakyat negeri ini. Ini memandangkan ikatan sejarah dan hubungan antara 3 wilayah ini yang telah terjalin berkurun lamanya. Tiada yang dapat menyangkal fakta ini. 

SAMM Johor juga amat berharap agar idea ini tidak terhenti dengan satu aspek sahaja. Ia harus berkembang dengan penyatuan kebudayaan dan keseniaan serta jalinan hubungan diplomatik dan ekonomi yang utuh antara 3 wilayah ini. Kerajaan Johor juga perlu memulakan inisiatif pembangunan pusat sehenti kebudayaan dan keseniaan Johor-Riau-Singapura. 

Begitu juga dalam aspek pembangunan kebudayaan dan keseniaan semua segmen masyarakat yang ada di bumi Johor. Dalam pada kita memacu kemajuan berasaskan pembangunan ekonomi dan fizikal, usaha-usaha untuk turut membawa bersama perkembangan bahasa, budaya dan adat resam juga tidak boleh dipinggirkan. 

Sememangnya usaha ke arah perkembangan dan pengukuhan bahasa, budaya, keseniaan dan adat resam Johor ini menjadi antara intipati yang akan dikemukakan SAMM Johor kepada Kerajaan Negeri supaya diangkat sebagai antara agenda Bajet Negeri 2015. 

Sebagai rekod, terdapat satu rancangan wilayah pembangunan ekonomi yang meliputi ketiga-tiga wilayah ini dan dikenali dengan nama SIJORI yang telah agak lama tidak disebut atau dijayakan. Adalah menjadi harapan SAMM Johor agar rancangan Forum Selatan ini dapat memulakan semula rancangan pembangunan ekonomi yang telah lama sepi itu.

SAMM Johor berharap agar segala usaha ini menjadi kenyataan supaya kegemilangan tamadun Johor yang berusia ratusan tahun ini dapat dikembalikan semula. 

Hadzril Rizal
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor

Bajet 2015 : Wanita dan Belia



Kenyataan Media
14 Oct 2014

Bajet 2015 : Wanita dan Belia

Bajet 2015 membawa sedikit impak positif kepada wanita. Antaranya Pembelian premis Rumah Perlindungan Khas Wanita Seluruh Malaysia, Pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta dibenarkan unruk diperluas dan program latihan kemahiran untuk suri rumah (1Malaysia Support For Housewives ) untuk kembali ke pasaran kerja.

Namun begitu, sasaran untuk memperkukuh program pengarah wanita dengan sasaran 30% penglibatan wanita dalam lembaga pengarah dan kumpulan pengurusan agak tidak realistik untuk dicapai dalam tempoh setahun perlaksanaannya. Ini kerana pada masa ini, peratusan wanita dalam kelompok ini hanyalah 10% sahaja.

Program Women Career Comeback pula hanya menumpukan kepada golongan wanita  professional yang mempunyai kelayakan. Bagaimana dengan wanita bukan profesional? Tiada dasar jelas mengenai halatuju kumpulan wanita ini. 
Sementara itu, penambahbaikan cuti menjaga anak juga tidak menyeluruh. Hanya tertumpu kepada penjawat awam. Tiada insentif untuk majikan sektor swasta untuk menambahbaik cuti menjaga anak kepada wanita di sektor swasta. Seharusnya Bajet 2015 perlu merangka dasar yang menyeluruh.

Bagi anak muda pula, perkara positif dalam Bajet 2015 antaranya adalah kajian semula PLKN walaupun idea ini berasal daripada Belanjawan 2015 Pakatan Rakyat namun Segmentasi Wanita Muda SAMM turut menyambut baik pengumuman Kerajaan. Selain itu, penambahbaikan program Rakan Muda dan program Agropreneuer muda juga merupakan perkara positif dalam menggalakkan anak muda terlibat secara aktif dalam aktiviti sukarela dan pertanian.

Sungguhpun begitu, Segmentasi Wanita Muda SAMM berpandangan Akademi Kepimpinan Belia adalah satu pembaziran. Adakah program di universiti tidak mencukupi? Seharusnya pihak Kerajaan memberikan tumpuan untuk memberikan nilai tambah kepada program kepimpinan belia di peringkat universiti. Aspek kepimpinan ini patut dipupuk dari zaman universiti dan tidak perlu ditambah lagi program lain.

Program kesukarelawan antarabangsa pula boleh diibaratkan sebagai kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Hakikatnya, banyak lagi kawasan dalam negara ini yang memerlukan sukarelawan terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

Selain itu, pengumuman Program keusahawanan yang sama seperti tahun-tahun lepas melalui MaGIC dan sebagainya yang sehingga kini tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Idea 1 Malaysia Youth City juga nampak absurd. Apakah kawasan ini akan hanya menempatkan orang muda? Apa rasionalnya? Ekosistem yang sesuai perlulah merangkumi populasi penduduk yang seimbang dari segi taburan umur.

Satu lagi aspek adalah skim perumahan belia. Walaupun, skim ini baik untuk membolehkan belia memiliki rumah namun Segmentasi Wanita Muda ingin mengemukakan persoalan, di kawasan manakah rumah-rumah ini akan ditawarkan? Pemilikan rumah pertama tidak melebihi RM 500,000?

Subsidi RM200 sebulan untuk bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan adalah idea yang albagus tetapi apakah ia adil untuk keseluruhan belia dalam negara apabila skim ini hanya terhad kepada 20,000 pemohon sahaja. 

Tambahan pula, permohonan adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat. Mungkinkah Kerajaan melihat diri mereka umpama sebuah syarikat korporat yang menawarkan pelan seperti jualan murah ini?

Kesimpulannya, walaupun bajet 2015 ini mula memberikan sedikit insentif baik kepada rakyat namun begitu terdapat beberapa kelemahan dasar yang cukup meresahkan dan dibimbangi tidak dapat mencapai objektif yang diharapkan sebaliknya hanya satu lagi bentuk pembaziran perbendaharaan negara.

Young Syefura Othman
Penyeralas Segmentasi Wanita Muda 
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam



Kenyataan Media
14 Oktober 2014

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) melihat ketempangan nyata dalam sistem pentadbiran Kerajaan sedia ada ketika ini. Pertindihan portfolio antara agensi juga menyebabkan peningkatan belanja mengurus kita. Justeru, penstrukturan semula kabinet dan perjawatan awam mampu menjimatkan perbelanjaan pengurusan Kerajaan Persekutuan.

1. Jemaah Kabinet

Zaman pentadbiran Najib mempunyai bilangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ramai. Ketika ini menjangkau kepada 10 orang Menteri. Ini sudah pasti melibatkan perbelanjaan emolumen bertaraf Menteri yang tinggi termasuklah kepada elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan lain yang diterima sebagai Menteri. 

Selain itu, budaya perlantikan 2 Menteri bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran juga menyebabkan berlakunya peningkatan belanja mengurus kementerian terbabit. Umum mengetahui bahawa gaji dan elaun bagi Menteri bukan kecil jumlahnya. 

Apakah Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan tidak mempunyai kecerdikan untuk memacu kementerian ini secara bersendirian? 

Jika bebanan tugas sebagai seorang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dijadikan alasan untuk melantik seorang lagi Menteri, maka PKM SAMM melihat PM dan TPM perlu melepaskan jawatan mereka sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran. 

Pemikir Kaum Muda SAMM mencadangkan Perdana Menteri sepatutnya melihat semula kesesuaian kesemua Menteri di JPM. Jika Menteri hanya memegang port-folio kecil adalah lebih baik jika port-folio itu diserahkan kepada Timbalan Menteri. Sumber yang ada jika dimanfaatkan sepenuhnya dengan lebih efisyen pasti akan menjimatkan.

Jika di Kementerian Pelajaran terdapat keperluan untuk mengasingkan antara pelajaran peringkat sekolah dan peringkat tertiari, pengasingan ini boleh dibuat diperingkat Timbalan Menteri sahaja. 

2. Perjawatan Awam

Bagi sektor perjawatan awam juga, PKM SAMM juga tidak dapat melihat kewajaran kewujudan dua orang Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran. KSU ini sama ada berada di gred gaji Turus atau JUSA A yang semestinya menelan perbelanjaan gaji dan elaun yang tinggi. 

Apakah keperluan 2 KSU diwujudkan dan dalam masa yang sama juga KPM mempunyai 3 TKSU iaitu TKSU Pembangunan Pelajaran, TKSU Pengurusan dan TKSU Pembangunan Pelajaran Tinggi. Kesemua mereka ini akan dibantu oleh Ketua Pengarah dan barisan pengarah yang lain mengikut portfolio masing-masing. 

Begitu juga dengan Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai 5 orang TKSU iaitu 2 orang TKSU Kanan bertaraf JUSA A dan 3 orang TKSU bertaraf JUSA B. 

Bukankah 5 orang TKSU di sesebuah kementerian terlalu ramai? Pada masa yang sama, KDN juga mempunyai beberapa jabatan yang mempunyai Ketua Pengarah masing-masing. Ketua Pengarah ini masih boleh berfungsi di bawah kawalan KSU dan Menteri. TKSU hanyalah satu peringkat fasilitasi dalam membantu dan mewakili kuasa KSU sahaja. 

Sehubungan itu, Pemikir Kaum Muda SAMM melihat adalah wajar sekali Perdana Menteri menilai semula saiz kabinetnya dan JPA untuk meneliti aspek perjawatan khidmat awam ini. 

Seperti yang didedahkan oleh PKM SAMM selepas pembentangan bajet, yang menunjukkan perbelanjaan mengurus-tadbir negara adalah terlalu tinggi merangkumi 82% dari keseluruhan Bajet 2015.

Dengan penstrukturan semula Kabinet dan Penjawat Awam Tertinggi akan dapat menjimatkan perbelanjaan Pengurusan dan seterusnya penjimatan ini dapat disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan yang lebih memberi manfaat langsung kepada rakyat. 

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan



Kenyataan Media
13 Oktober 2014

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan

Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan Bajet2015 telah menuturkan bahawa roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni, melainkan hutangnya. Ia dipetik daripada hadith riwayat Muslim dalam mengingatkan peminjam-peminjam PTPTN untuk mengambil iktibar dan membuat pembayaran balik.

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) suka memperingatkan Perdana Menteri agar turut mengambil iktibar daripada hadith tersebut dalam mengurus-tadbir negara ini. Perdana Menteri tidak boleh sengaja melupakan bagaimana pentadbirannya telah melupuskan hutang berjumlah RM589 juta oleh Tan Sri Tajuddin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

Ini adalah satu contoh paling klasik bagaimana pihak Kerajaan Persekutuan memberikan layanan sungguh istimewa kepada kaum kapitalis kroni terpilih.

PKM SAMM ingin bertanya kepada Perdana Menteri, adakah hanya roh peminjam PTPTN sahaja yang akan tergantung-gantung tetapi kelompok kapitalis kroni terpilih ini tidak termasuk dalam golongan seperti diriwayatkan oleh Hadith tersebut?

Perdana Menteri dan kerajaan tidak patut mensasarkan kepada kelompok-kelompok rakyat biasa yang masih lagi bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dengan mempergunakan dalil-dalil dan hadith-hadith bagi tujuan mengutip hutang. Malahan, kelompok kapitalis kroni ini terus sahaja dibiarkan bebas berkeliaran walaupun mempunyai bebanan hutang ratusan juta ringgit.

Sangat menyakitkan hati rakyat, Kerajaan Persekutuan juga dengan sewenangnya menawarkan pelan pelupusan hutang atau pelan penstrukturan hutang termasuklah tawaran penstrukturan hutang kepada saudagar permaidani, Deepak Jaikishan. Ini satu lagi contoh layanan istimewa terhadap hutang kelompok kroni terpilih ini.

Kepada rakyat pula, kerajaan bertindak kejam apabila menawarkan ugutan CCRIS dan halangan imigrasi kepada peminjam PTPTN. Puluhan ribu lepasan universiti berdepan muflis apabila disenaraikan dalam sistem CCRIS.

Tambah pedih luka di hati rakyat, apabila kerap kali Kerajaan Persekutuan atas nama menjaga keberdayaan ekonomi, sering menggunakan pelan tindakan bail-out bagi menyelamatkan syarikat yang mempunyai kepentingan kroni dengan melupuskan berbilion ringgit. Tetapi dalam amsa sama, memilih untuk mempergunakan hadith untuk rakyat.

Mengapa tidak kerajaan mengemukakan penstrukturan semula buat semua peminjam PTPTN yang mempunyai masalah pembayaran? PKM SAMM mencadangkan penstrukturan semula pembayaran serendah RM50 sebulan dengan syarat tertentu contohnya tanggungan yang besar.

Dengan cara ini, setengah juta peminjam PTPTN mampu memulangkan jumlah yang besar setiap bulan, walaupun tempoh pembayaran menjangkau 30 tahun, biarlah asalkan pembayaran dibuat. PKM SAMM mengingatkan semula, pinjaman pendidikan tidak harus dijadikan sumber keuntungan mana-mana agensi, malah ia sepatutnya berbentuk biasiswa.

Asrul Nizam
Penyelidik Segmen
Pemikir Kaum Muda SAMM

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.