VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Wednesday 5 November 2014

BEBAS ANWAR IBRAHIM: Aku bukan pengkagum, aku bukan pemuja, aku bukan pembenci dan aku bukan persimpati kepada Anwar Ibrahim



SEMOGA ANWAR BEBAS.

Di zaman kanak kanak aku adalah pengkagum Anwar, bukan sebab dia pemimpin tapi sebab dia adalah bekas pelajar sekolah yang sama dengan aku.

Di zaman remaja aku adalah pemuja Anwar, bukan sebab dia bekas pelajar sekolah aku tapi sebab dia adalah pemimpin hebat malah ahli parlimen tempat aku.

Di zaman pasca remaja aku adalah pembenci Anwar, bukan sebab dia pemimpin hebat tapi aku rasa Anwar adalah aset paling bernilai kepada umno untuk terus berkuasa. Kalau Anwar datang berkhutbah jumaat di masjid aku, aku akan keluar dari masjid tanpa solat jumaat, kalau muncul gambar Anwar di TV dan suratkhabar aku akan ludah.

Di Zaman Reformasi aku adalah persimpati kepada Anwar bukan sebab dia aset yang tidak di hargai oleh umno tapi sebab fitnah dan kezaliman Dr mahathir kepadanya.

Di zaman Anwar keluar dari penjara, itulah pertama kali aku salam dengannya dan aku katakan padanya "Dato Sri jangan masuk umno". Tapi aku bukan lagi pengkagum, aku bukan lagi pemuja, aku bukan lagi pembenci dan aku bukan lagi persimpati kepada Anwar. Aku mengharapkan Anwar mampu membawa perubahan dan penyatuan terhadap rakyat dan negara.

Di zaman Anwar kembali ke arena persada politik aku adalah pengundi Anwar di Permatang Pauh namun aku dah tak peduli siapa Anwar, kamu betul aku sokong kamu salah aku langgar.

Namun hari ini, walau siapapun Anwar, dengan sedikit amalan yang aku ada dengan sedikit kebaikan yang aku ada, aku mohon semoga Allah bebaskan Anwar Ibrahim.

Lebih Baik Haramkan Terus Penjualan Rokok!



Kenyataan Media
5 November 2014

Lebih Baik Haramkan Terus Penjualan Rokok!

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras kenaikan hampir 13% harga rokok berkuatkuasa hari ini, malah kenaikkan hampir setiap tahun akan membebankan sebilangan besar rakyat Malaysia. SAMM dengan ini menegaskan;

1. Kenaikan harga rokok selama ini tidak mempunyai kaitan dengan kempen kesihatan mahupun WHO Framework Convention on Tobacco Control. Ini hanyalah berdasarkan kepada keuntungan semata-semata sama ada keuntungan pemerintah dari aspek percukaian atau keuntungan kaum pemodal kilang rokok.

2. Lebih malang, Pemerintah mempergunakan kempen anti-rokok ini hanya untuk menguntungkan kroni semata-mata. Berjuta-juta peruntukan telah dikeluarkan namun kempen ini tetap menemui jalan gagal di mana pemerintah tidak mampu mengawal kewujudan perokok baru dan perokok tegar di dalam negara. 

3. Jika ingin bercakap hubungkait rokok dan kesihatan, Pemerintah juga jangan menjadi begitu selektif. Banyak lagi produk-produk sebagai contoh minuman ringan berkarbonat berjenama antarabangsa juga memberikan kesan berbahaya terhadap kesihatan. Ia termasuklah restoran makanan ringan yang turut diklasifikasi tidak baik untuk kesihatan. Mengapa tidak dilaksana kempen anti-produk yang membahayakan kesihatan? Mengapa tiada mekanisma cukai khas untuk produk-produk ini tetapi hanya berlaku pada rokok?

4. Jika Pemerintah benar-benar menitikberatkan aspek kesihatan, seharusnya rokok diharamkan terus dari dijual dalam negara ini. Taktik Pemerintah menaikkan harga sedikit demi sedikit ini tidaklah memberikan kesan drastik kepada perokok. Sebaliknya kaum perokok menjadi mangli dengan kenaikan demi kenaikan. Mereka boleh menerima kenaikan ini dan tidak akan berhenti. Maka akhirnya pemerintah terus membuat duit dari keringat rakyat yang terus terbeban, satu taktik untuk menjana keuntungan semata-mata.

5. Setiap tahun harga rokok akan dinaikkan. Akan tetapi, pekebun-pekebun tembakau tetap mati walaupun harga rokok telah meningkat begitu drastik dalam dekad ini. Ini satu lagi hakikat bahawa Pemerintah hanya memikirkan keuntungan dan kesejahteraan kaum pemodal semata-mata sedangkan pekebun-pekebun kecil tidak langsung mendapat manfaat dan faedah dari kenaikkan ini.

6. SAMM mencadangkan, keuntungan yang dijana daripada kenaikan harga rokok selama ini wajar digunakan untuk menyediakan lebih banyak kawasan khas merokok. Sebagai contoh, penguatkuasaan larangan merokok di kawasan rehat dan rawat di lebuhraya, tetapi tidak disediakan ruang khas merokok. Ini adalah penindasan mutlak terhadap kaum perokok tegar. Tidak sepatutnya dinafikan hak kaum perokok yang juga menyumbang kepada keuntungan perbendaharaan negara.

7. Satu lagi mitos Pemerintah dalam menaikkan harga rokok adalah untuk memerangi rokok seludup. Ini satu lagi dakyah songsang daripada Pemerintah. Penyeludupan rokok ini berlaku kerana kelemahan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Unit Pencegahan Penyeludupan PDRM, APMM dan lain-lain. Seperti kenaikkan harga petrol atas alasan yang sama, sempadan kita bocor dari kelemahan agensi-agensi pemerintah, namun rakyat yang menanggung bebannya.

Sekian

Yaser Sheikh Abd Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday 4 November 2014

Kumpulan Pelampau : Tindakan Tegas Putrajaya Ditagih



Kenyataan Umum
4 November 2014

Kumpulan Pelampau : Tindakan Tegas Putrajaya Ditagih

3 November 2014, dua orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam perbahasan penggulungan Kementerian Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 telah pun menyatakan pendirian Kerajaan menolak keras ancaman Presiden PERKASA untuk membakar bible.

Putrajaya tidak boleh sekadar bercakap dan terus bercakap sahaja. Iltizam politik untuk mengekang asakan ekstremisme merentasi sempadan agama, kaum dan pertubuhan yang diwakili ini perlulah disertai dengan satu tindakan yang affirmatif. Ekstremisme membuta tuli ini tidak boleh dibenarkan berakar umbi di tanahair ini.

Ini bukanlah kali pertama pelampau PERKASA melaungkan aspirasi ekstremisme mereka yang mengancam keharmonian dan kerukunan negara berbilang bangsa dan agama ini. Tindakan mala fide ini akan mengancam kestabilan hubungan etnik dalam negara.

Adakah pentadbiran Najib Razak sebegitu lemah hingga tidak mampu mengambil tindakan terhadap kumpulan Pelampau PERKASA ini? Mengapa Pendaftar Pertubuhan tidak menarik balik pendaftaran kumpulan pelampau PERKASA dan mengisytiharkannya sebagai pertubuhan haram?

Perdana Menteri sibuk menubuhkan Global Movement of Moderates untuk mempromosi kesederhanaan di serata dunia. Akan tetapi, di dalam negara sendiri beliau gagal untuk melakukannya.Pejabat Peguam Negara dan pelbagai peringkat anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih tidak memahami dan menyahut slogan Wasatiyyah itu.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia menegaskan peri pentingnya Perdana Menteri untuk menterjemah aspirasi Kesederhanaan itu kepada anggota pentadbirannya terlebih dahulu. Tidak perlu untuk menjadi Wira Dunia sedangkan di dalam negara wujud kumpulan pelampau yang kebal seperti PERKASA.

Apakah pelampau PERKASA sedang ingin menunjukkan bahawa Islam ini sebuah agama yang ekstrim? Siapakah pelampau PERKASA untuk menjatuhkan hukum untuk membakar kitab agama lain?

Negara ini tertegak mengikut peruntukan undang-undang dalam setiap permasalahannya. Mahkamah keadilan akan memberikan keputusan mereka dalam setiap "dispute" yang berlaku. Tidak perlulah kumpulan pelampau PERKASA ini hendak menunjukkan keangkuhan mereka.

Pelampau PERKASA sering mempergunakan Perlembagaan Persekutuan bagi menjustifikasi tindakan mereka selama ini. Namun, ancaman Pelampau PERKASA ini tidak mematuhi semangat Perlembagaan Persekutuan dan juga semangat Rukun Negara sebagai satu falsafah ideologi kebangsaan.

Pejabat Peguam Negara  perlu melihat tindakan dan kenyataan kumpulan pelampau PERKASA selama ini yang sering mencabar kedaulatan undang-undang. SAMM mencabar pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kertas siasatan dan menghadapkan Presiden Kumpulan Pelampau PERKASA ini ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

SAMM menyeru Kerajaan Pemerintah untuk menunjukkan iltizam politik mereka memerangi ideologi pelampau ini. Pemerintah perlu segera mengklasifikasikan kumpulan pelampau PERKASA ini sebagai satu pertubuhan haram dan kemudiannya mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang terhadap kumpulan ini.

Dalam pada kita menuju ke arah menjadi negara maju, keharmonian dan kerukunan hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama ini perlu dipertahankan. Malaysia tidak boleh berlembut terhadap mana-mana kumpulan pelampau yang seringkali cuba untuk mencipta ruang permusuhan dan pergeseran sesama masyarakat.

Young Syefura Othman
Penyelaras Segmentasi Wanita Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Anwar Ibrahim: Warkah Akhir Untuk Saudaraku


Warkah Akhir Untuk Saudaraku.

Saudaraku, esok 4 November 2014 mungkin kali terakhir kita dapat menjejak tanah yang sama, berbumbung langit yang serupa dan menghirup udara yang tiada beza tanpa hadangan tembok penjara dan tirai besi.Rejim zalim Barisan Nasional menerusi aparatnya kelihat amat tidak sabar untukkembali menghumban saya ke penjara.

Esok juga mungkin peluang akhir saya berjabat tangan dan menatap wajah saudara semua.Saya dan Azizah serta seluruh keluarga ingin memohon maaf jika terdapat salah dan silap yang kami lakukan sepanjang jalan perjuangan kita.

Kepada sahabat yang setia, terima kasih kerana teguh bersama menegakkan cita-cita Reformasi dan Islah yang kita dokong selama ini.Saya tidak mungkin dapat bertahan begini lama tanpa dokongan dan doa daripada saudara sekalian.

Buat rakan-rakan Pakatan Rakyat, harapan saya agar kerjasama kita dapat diperkukuh demi matlamat menumbangkan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Untuk anak-anak muda sekalian, masa depan Malaysia ditangan kamu semua.Bangkitlah dengan jiwa merdeka, jangan dilemahkan dengan ugutan penguasa.Kamu penentu masa depan negara.

Walaupun rencana jahat mereka mampu memenjarakan jasad saya, berjanjilah bahawa jiwa dan perjuangan kita tetap bebas dan terus menyusur ke segenap jiwa saudara semua.

Saya tetap optimis, perubahan tetap akan berlaku di bumi tercinta ini.Kita jumpa esok di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Reformasi! Allahuakbar!

Sekian,
Anwar Ibrahim.
Bukit Segambut,
3 Nov 2014 . 2145hrs

Monday 3 November 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity



Siaran Umum
03 November 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim telah mengungkapkan, “Wahai rakyat Sabah kawasan ESSZONE yang dikendalikan oleh ESSCOM ini ialah kawasan yang selamat” sewaktu sesi jawap lisan Dewan Rakyat bertarikh 30 Oktober 2014.

Namun, di sebelah petang hari yang sama, berlaku kejadian tembak menembak di Penampang, Sabah. Media pada mulanya menyatakan kejadian ini mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu tetapi PDRM Sabah menyatakan bahawa kejadian ini adalah berhubung dengan penjenayah yang memang dikehendaki pihak Polis.

Menteri juga menyatakan bahawa Sabah ketika ini lebih selamat berbanding Kuala Lumpur. Apakah Menteri ingin mengatakan bahawa pihak KDN gagal dalam menjaga keselamatan di Kuala Lumpur? Bagaimana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan sebegini rupa di dalam Dewan Rakyat? Ini akan menghantar mesej yang mengelirukan kepada dunia akan aspek keselamatan di ibu negara kita?

Solidariti Anak Muda Malaysia menyifatkan inilah kenyataan politik paling tidak bertanggungjawab yang pernah dibuat oleh seorang Menteri.

SAMM ingin memperingatkan Menteri, sebelum beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa, beliau haruslah meneliti beberapa perkara.

Lanjutan Tempoh Perintah Berkurung

Pertamanya adalah tempoh perintah berkurung yang bermula semenjak 16 Julai 2014 dan kemudian seringkali dilanjutkan. Terkini perintah berkurung ini dilanjut sehingga 6 November 2014.

Pesuruhjaya Polis Sabah semasa mengumumkan lanjutan tempoh perintah berkurung menyebutkan sebab utamanya adalah kerana untuk menjamin ketenteraman dan kedaulatan negara. Apakah ini bermaksud tanpa perintah berkurung itu ketenteraman dan kedaulatan negara berada dalam yang berisiko.

Jika sudah berada dalam keadaan selamat seperti yang dikatakan oleh Menteri, mengapa perlu perintah berkurung ini dilanjutkan lagi? Telah hampir 4 bulan perintah ini dikenakan dan masih tidak kelihatan tanda-tanda ia akan ditamatkan.

Kedua, kes penculikan pengusaha sangkar ikan di Kunak yang telah berlanjutan sehingga 5 bulan. 31 Oktober 2013, waris mangsa yang juga merupakan isterinya telah merayu pelbagai pihak untuk mengusahakan pembebasan segera suaminya. Kumpulan penculik mengancam untuk memenggal kepala suaminya jika beliau gagal menyediakan wang tebusan RM 3 juta sehingga November ini.

Menteri sepatutnya berusaha gigih mencari jalan untuk operasi menyelamatkan mangsa. Bagaimana rasanya Menteri jika berada di dalam keadaan si isteri tersebut? Sudahlah dalam keadaan tekanan emosi ekoran kerisauan terhadap keselamatan si suami ditambah pula dengan tekanan lebih 200 kali panggilan telefon daripada kumpulan penculik yang meminta wang tebusan dan mengancam untuk mencabut nyawa suaminya. Apakah Menteri tidak mempunyai naluri keinsanan?

Mengapa Perdana Menteri yang begitu bersemangat mengumumkan untuk mencari pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 sehingga ke lubang cacing tidak membawa semangat yang sama untuk membebaskan mangsa penculikan ini? Mengapa Perdana Menteri yang begitu "heroic" sekali mengadakan rundingan pintu belakang dengan kumpulan pemisah Ukraine tetapi tidak mengambil langkah tegas bersama Kerajaan Filipina bagi membebaskan mangsa? Adakah nyawa rakyat Sabah tidak bernilai? Adakah mangsa penculikan bukan insan yang perlu dibebaskan dengan segera?

Ketiga Laporan Suruhanjaya DiRaja berhubung Pemberian Kad Pengenalan di Sabah sehingga kini masih lagi tidak diumumkan. Apakah penemuan Suruhanjaya ini? Apakah syor dan cadangan Suruhanjaya ini? Laporan Suruhanjaya ini penting untuk mengenalpasti punca sebenar keselamatan Sabah ini tergugat.

Menteri di JPM tidak boleh melengahkan lagi pembentangan kertas putih Laporan Suruhanjaya DiRaja ini di Dewan Rakyat. Justeru, SAMM mendesak Kerajaan Pemerintah untuk membentangkannya sebelum sesi mesyuarat ketiga, Penggal Kedua, Dewan Rakyat ini berakhir. Kegagalan Kerajaan untuk membentangkan laporan ini dalam kadar segera hanya akan menambah buruk keadaan keselamatan di Sabah.

Aspek keselamatan dalam negara dan kebocoran pintu sempadan ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Ia bukan sekadar melibatkan penyeludupan beras dan bahan bakar, sindiket pemerdagangan manusia dan dadah malah yang paling dibimbangi adalah penyeludupan senjata api dan aktiviti keganasan yang boleh meruntuhkan ketenteraman dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, SAMM menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan keseluruhan kabinet Pemerintah masih bersikap angkuh dan berada dalam kecelaruan. Sikap "denial" ini tidak menambahbaik aspek keselamatan dalam negara. Menteri dinasihatkan supaya tidak menunjukkan sikap seorang "Master Of Stupidity".

Menteri sepatutnya fokus untuk menamatkan krisis keselamatan di Sabah. Cukuplah bermain wayang politik di Dewan Rakyat dengan seringkali membelasah Pembangkang dengan sarkastik, tetapi sebenarnya tidak berupaya untuk menjalankan tugas dan amanah sebagai seorang Menteri. Sabah bukanlah anak tiri Malaysia tetapi sebuah wilayah yang perlu kita tatang dengan saksama seperti Semenanjung dan Sarawak.

Bekerjalah wahai Menteri. Kerusi Menteri itu bukanlah tiket bulan madu untuk Menteri menikmati percutian setelah diketepikan daripada menjadi Menteri Besar Perlis.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.