Dalam majlis yang gilang gemilang, Ramkarpal Singh diumumkan sebagai calon DAP-Pakatan Rakyat bagi pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor.
Pengumuman tersebut dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serentak dengan pelancaran pusat operasi utama di sini, hari ini.
Ramkarpal adalah anak lelaki ketiga mendiang Karpal Singh.
Dalam wawancara khas bersama Roketkini, Ram menyatakan kesediaannya untuk meneruskan perjuangan mendiang ayahnya dan berkhidmat untuk rakyat, bukan sahaja di Bukit Gelugor malah rakyat di seluruh negara tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau status ekonomi.
Ditanya sama ada beliau berbangga untuk menggantikan tempat mendiang ayahnya, Ram dengan senyum menjawab, “Mustahil seorang yang begitu istimewa boleh dicari ganti.”
“Saya percaya dengan perjuangan dan agenda beliau serta berikrar untuk mengikut jejak beliau meneruskannya,” kata Ram lagi.
Baginya, kawasan parlimen Bukit Gelugor bukanlah tempat yang asing lagi memandangkan beliau sentiasa mengikuti mendiang Karpal Singh membuat lawatan selain menguruskan kempen beliau sebelum ini.
PRK Bukit Gelugor diadakan setelah penyandangnya, mantan pengerusi kebangsaan DAP mendiang Karpal Singh, terkorban dalam nahas jalanraya 17 April lalu. Ram turut berada dalam kenderaan tersebut ketika tragedi itu berlaku.
Penamaan calon dijadualkan berlangsung pada hari Isnin, 12 Mei, manakala hari mengundi dijadualkan pada 25 Mei, dengan lebih dua minggu tempoh kempen. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment