VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Wednesday, 7 May 2014

Jangan Gadai Keselamatan Dalam Negara


Zahid, Shahidan Bersaralah. Jangan Gadai Keselamatan Dalam Negara

Dalam tempoh sebulan, dua kes penculikan di perairan pantai timur Sabah telah berlaku. Kedua-duanya melibatkan mangsa daripada kalangan pelancong asing di kala kalendar Tahun Melawat Malaysia baru 5 bulan membuka tirainya. Insiden penculikan demi penculikan ini, jika tidak ditangani dengan segera berupaya untuk membunuh potensi pelancongan di sekitar pantai timur Sabah.

Dewan Rakyat telah pun membahaskan usul khas berhubung keupayaan ESSCOM sewaktu insiden penculikan awal April lepas namun tindakan bagi memperkemaskan kawalan keselamatan di kawasan tersebut masih lagi diragui apabila berlaku satu lagi insiden penculikan pada awal pagi 6 Mei 2014.

Entah dimana kelemahan dan silap kita, pintu sempadan Negara sering kali bocor dengan pelbagai insiden, daripada sindiket pengedaran dadah, pemerdagangan manusia sehinggalah kepada insiden penculikan yang melibatkan tebusan dan nyawa manusia.

Fokus dan keseriusan pihak berwajib terutama Menteri Dalam Negeri ditagih bagi menyelesaikan perkara ini sebelum ia menjadi lebih buruk sehingga menjejaskan pendapatan sektor pelancongan Negara.

ESSCOM dan ESSZONE

Umum mengetahui jutaan ringgit peruntukan telahpun diberikan semenjak penubuhan Kawasan Keselematan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mengawal 10 kawasan pantai timur Sabah yang meliputi 1400 kilometer bermula daripada Kudat sehinggalah ke Tawau.

Pelbagai aset pertahanan dan juga agensi-agensi berkait pertahanan dan keselamatan Negara telah pun dikerahkan setelah kewujudan ESSCOM diperakui Dewan Rakyat pada 1 April 2013 dan insiden penculikan pada bulan April 2014 tersebut telah mendedahkan kecelaruan peranan dan bidangkuasa agensi-agensi ESSCOM walaupun tujuan ESSCOM diwujudkan adalah untuk kordinasi arahan dan perintah kepada agensi terlibat agar tiada pertindihan dan kecelaruan tugas berlaku.

Timbalan Perdana Menteri semasa insiden awal April lepas telah menekankan aspek peningkatan tahap siapsiaga dan juga jaminan bahawa Kabinet akan meneliti semua aset-aset yang disediakan untuk ESSCOM. Namun, adakah semua ini hanyalah satu seruan dan slogan kosong yang hanya dijeritkan apabila krisis berlaku?

Kabinet seharusnya mengkaji tahap kecekapan ESSCOM dan melakukan tindakan proaktif untuk memastikan ESSCOM ini dapat mencapai matlamat penubuhan. Jika tidak, Negara sedang melakukan pembaziran yang dihalalkan, dengan ratusan juta ringgit diperuntukkan untuk satu dasar atau perkara yang tidak mencapai matlamat walaupun telah setahun penubuhannya. Mungkin sudah sampai masanya, ESSCOM ini dirombak dan dirungkai semula bidangkuasa dan peranan ESSCOM.

Untuk terus menyatakan keadaan geografi Sabah menjadi punca insiden-insiden penculikan mudah berlaku juga seolah-olah seperti satu alasan yang sentiasa dimainkan untuk mencuci tangan semata-mata. Adakah Kabinet sewaktu mencadangkan penubuhan ESSCOM tidak melihat kepada aspek ini?

Perairan dan muka bumi Sabah adalah merupakan khazanah yang paling berharga kepada sektor pelancongan kita. Kerajaan terus gagal dalam memastikan keselamatan kawasan tumpuan pelancong di perairan pantai timur Sabah. Sementara, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim masih lagi diulit mimpi indah akan keupayaan ESSCOM walaupun telah berlaku dua insiden dalam tempoh sebulan.

Zahid Hamidi, SOSMA dan Keselamatan Negara

Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi begitu megah sekali bila bercerita mengikut skrip Islamophobia tajaan Amerika Syarikat. Penahanan beberapa rakyat di bawah SOSMA kononnya mereka ini sedang ingin melakukan aktiviti keganasan di Syria. Tetapi, hakikatnya Zahid Hamidi dan Kementerian Dalam Negeri gagal dalam menjaga keselamatan dalam Negara kita.

Kegagalan berterusan ini bukanlah sesuatu yang boleh diterima begitu sahaja. Ia melibatkan aspek kawalan keselamatan dalam Negara. Jika pihak PDRM, MKN dan KDN sendiri boleh memintas maklumat dan risikan mengenai usaha beberapa orang rakyat kita yang ingin “berjihad” di Syria seperti yang diwar-war itu, mengapa agensi-agensi risikan ini kelihatan lemah dalam memintas maklumat terhadap serangan-serangan kepada keselamatan dalam Negara kita sendiri?

Adakah usaha untuk memastikan kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah itu lebih penting daripada memastikan keselamatan dalam Negara? Mengapa aset-aset risikan tidak digunakan dengan cekap bagi memastikan ancaman-ancaman sebegini dapat kita patahkan sebelum mereka masuk dan menculik orang?

Maka, atas kegagalan berterusan ini, Menteri-Menteri yang bertanggungjawab atas ESSCOM dan Keselamatan Dalam Negeri seperti Shahidan Kassim dan Zahid Hamidi wajar meletakkan jawatan atau Perdana Menteri perlu segera memecatkan kedua-dua menteri ini dan menggantikan dengan Menteri-Menteri yang lebih berdedikasi dan berkredibiliti. Ataupun Perdana Menteri ketika ini tidak lagi punya pilihan lain selain daripada dua nama ini?

Sebagai satu nilai kebertanggungtawaban, bersaralah Zahid Hamidi dan Shahidan Kassim. Jangan kerana ketidakmampuan anda dalam mengawal kementerian, maka keselamatan pintu sempadan dan dalam Negara akan dikorbankan. Contohilah Perdana Menteri Korea Selatan yang berani memikul tanggungjawab kerana kegagalan dalam menjaga keselamatan feri.

Penutup

Apa pun juga langkah dan dasar yang kita ambil, jika masalah pengurusan, perlaksanaan dan penguatkuasaan lemah dan rapuh, kita tidak dapat menggunakan peranan dengan maksimum. Akhirnya, perbelanjaan yang telah kita peruntukkan hanya membawa kerugian tanpa keputusan yang baik dan diharapkan serta seterusnya atas nama pengukuhan, kita akan terus mengeluarkan perbelanjaan demi perbelanjaan.

Persoalannya, berapa banyak lagi perbelanjaan yang perlu kita keluarkan setiap tahun jika kita terus berada di dalam keadaan urustadbir, perlaksanaan dan penguatkuasaan yang lemah? Inilah masalah utama Negara kita. Bukan dasar yang tidak bagus tetapi urustadbir dan perlaksanaan Kerajaan itu sendiri yang berdepan masalah.

Ahmad Anwar Asyraf

Penyelaras SAMM Zon Muar

Penyelaras SAMM Kebangsaan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.