VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Wednesday 5 February 2014

UMNO Serang Teresa Kok, Jerut Diri Sendiri


Kenyataan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan para NGO pro-UMNO yang memutarbelitkan isi kandungan klip video Tahun Baru Cina “Onederful Malaysia” menunjukkan kebankrapan idea dan modal politik UMNO-BN. Mereka sudah tidak mampu lagi menikmati atau memahami humour politik, sebaliknya cuba membangkitkan isu perkauman atas klip video satira politik (political satire) untuk menutup kegagalan mentadbir negara.

Di sini saya ingin menjawab beberapa tuduhan serta hujah palsu yang mereka lemparkan terhadap klip video tersebut:

1) Tidak sebut tentang insiden Lahad Datu

Klip video “Onederful Malaysia” menyentuh tentang isu keselamatan di Sabah. Dialog pelakon yang memegang watak guru Feng Shui dalam klip video itu hanya sebut tentang kejadian menembak dan penculikan di Sabah TANPA menyentuh tentang peristiwa Lahad Datu, malah TIADA apa-apa dialog yang mengejek atau merendahkan prestasi tentera kita yang mempertahankan negara dalam peristiwa Lahad Datu.

Peristiwa di mana seorang pelancong Taiwan ditembak mati manakala isterinya diculik oleh lanun di kawasan perairan Sabah pada tahun lepas memang dirujuk dalam klip video tersebut. Ia adalah kejadian benar berlaku yang diketahui seluruh dunia.

Tuduhan Shafie Apdal terhadap saya menunjukkan beliau ingin memainkan isu perkauman dengan membangkitkan kemarahan tentera terhadap saya. Selain itu, ini juga menunjukkan bahawa beliau tidak peduli masalah keselamatan yang dibimbangi oleh rakyat Sabah dan para pelancong dari seluruh dunia. Respons beliau adalah amat tidak bertanggungjawab bagi seorang Menteri Persekutuan yang berasal dari Sabah.

2) Tiada nama pemimpin negara termasuk Najib disebut dalam klip video: Bagaimana pemimpin UMNO dan konco-konco mereka boleh mencipta perkara yang tak wujud?

Tuduhan bahawa saya memalukan Perdana Menteri dan isterinya adalah tidak benar kerana memang tiada dialog pelakon yang menyentuh nama mana-mana pemimpin negara, sama ada Najib atau isterinya. Bagaimana orang-orang yang menuduh saya boleh menimbulkan dakwaan yang tak berasas ini? Apa yang sebenarnya mereka khayalkan dalam minda mereka?

3) Klip video tidak sentuh isu kaum atau merendahkan martabat Melayu

Ini satu lagi kegilaan segelintir golongan pro-UMNO yang rasis, iaitu apa saja kritikan terhadap kelemahan dan kesalahan kepimpinan UMNO akan dituduh sebagai “menghina” Melayu, seolah-olah hanya UMNO yang mewakili SEMUA orang Melayu di negara ini.

Tuduhan bahawa saya merendahkan martabat Melayu dalam ucapan permulaan saya dalam klip video tersebut adalah TUDUHAN PALSU. Tajuk klip video tersebut adalah kombinasi Mandarin dan Kantonis. “Ma Lai” (马来) dalam Mandarin bermaksud “kuda datang”, “sai lei ah”(犀利啊)dalam Kantonis bermaksud “sangat hebat”. Tahun Baru kali ini adalah Tahun Kuda dalam kalendar budaya Cina. Ucapan saya sebagai pengacara dalam program video tersebut langsung tidak sebut tentang orang Melayu. Saya harap kumpulan pro-UMNO yang membuat tuduhan palsu itu agar segera bertaubat kerana ia boleh menimbulkan ketengangan kaum. Dan jika boleh, selidik dahulu Bahasa Mandarin dan Kantonis sebelum membuat tuduhan tak berasas yang akhirnya akan memalukan diri sendiri. Seperti kata pepatah Melayu, apabila meludah ke langit, tentu kena muka sendiri.

Apakah UMNO cuba mengenepikan isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan memainkan isu perkauman?

Isi kandungan klip video ini telah membayangkan beberapa isu semasa di negara kita yang dibimbangi oleh rakyat. UMNO sebagai parti utama dalam Barisan Nasional haruslah bertanya diri sendiri samada isu-isu yang disebutkan dalam klip video itu benar ataupun tidak, dan bukan dengan memutarbelitkan isi kandungan klip video tersebut dengan memainkan isu perkauman.

Sanggupkah UMNO menafikan pandangan dan sentimen rakyat terhadap mesej yang dibangkitkan dalam klip video “Onederful Malaysia” tersebut? Ramai orang Melayu sendiri sudah sedar tentang pembohongan UMNO-BN. Kerana itulah lebih 50 peratus rakyat Malaysia termasuk orang Melayu telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Kenapakah tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap penulis blog dan pemimpin BN?

Isi kandungan klip video “Onederful Malaysia” adalah satira politik yang tidak perlu disiasat di bawah Akta Hasutan kerana ia tidak merujuk kepada mana-mana pihak, dan dengan itu tidak bersifat hasutan.

Satira politik merupakan humour yang mengajak rakyat, terutamanya rakyat yang berani berfikir serta sanggup menggunakan akal fikiran untuk berfikir, untuk memikirkan keadaan semasa dan masa depan negara kita.

Sekiranya pihak polis dan pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan dan malah mengambil tindakan terhadap saya, saya ingin tanya kenapakah tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap golongan yang membuat tuduhan palsu terhadap saya dalam isu klip video ini?

Malah, lebih jauh dari itu, mengapa penulis blog UMNO yang membuat cerita palsu kononnya anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa dia mencabuli kehormatan seorang gadis bawah umur, tidak dikenakan tindakan?

Selain itu, kenapakah polis tidak menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap bekas Presiden MCA, Chua Soi Lek yang membuat kritikan yang amat tidak sensitif terhadap calon wanita PAS di pilihanraya kecil Tenang bahawa beliau tidak berjabat tangan dengan lelaki?

Penulisan dan kenyataan tersebut yang menyakiti hati pemimpin Pakatan Rakyat tidak disiasat tetapi sekarang pihak polis dan kerajaan ingin mengambil tindakan untuk menyiasat satu klip video lawak jenaka yang menyindir isu semasa, bukankah ini membayangkan “double standard” pihak kerajaan dan PDRM?

Sekiranya saya diambil tindakan oleh pihak berkuasa, jadi saya akan menjadi producer klip video satira politik yang pertama diambil tindakan. Ini sudah tentunya merupakan “penindasan politik” dan “pendakwaan secara terpilih”.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.