BERPIKET SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO?
NUBE tidak akan berhenti dalam memperjuangkan nasib ahli-ahlinya dari golongan berpendapatan paling rendah di bank-bank perdagangan. Kita akan menggunakan apa sahaja saluran dan melakukan apa sahaja tindakan selagi segala aduan dan pertikaian yang dibangkitkan NUBE masih tidak dilayan dan diselesaikan.
Kita akan terus maju ke hadapan sekalipun tindakan NUBE dilihat mempunyai unsur politik. Bukan niat kita untuk mencampuri urusan politik negara tetapi apakah yang anda akan lakukan jika penyelesaian yang begitu mudah seolah-olah sukar oleh pihak-pihak yang begitu berkuasa?
Sedarkah kita dan tahukah parti politik Melayu UMNO bahawa 75% ahli-ahli NUBE adalah terdiri daripada bangsa Melayu?
UMNO sebagai tunjang dalam kerajaan hari ini sudah menjadi boneka kepada syarikat-syarikat gergasi termasuklah bank-bank. Kerana wang; demi memelihara golongan 1%, mereka sanggup mengetepikan prinsip perjuangan mereka terhadap orang-orang Melayu.
Antara buktinya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Idris Jala sendiri pada Ogos 2013 yang lalu pernah mencadangkan agar kerajaan menjual sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula pernah cuba diambilalih MMC Corporation Berhad sehingga ditentang hebat ahli-ahli Kesatuan Pekerja KTMB (RUM) melalui piket pada 12 Oktober 2012.
Apa yang perlu diketahui di sini, walaupun cadangan penjualan GLC keluar dari mulut seorang Menteri tetapi saranan penjualan dan penggabungan GLC telah pun digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak 2 tahun yang lalu di bawah Dasar Transformasi Nasional .
Jelas di sini, UMNO sebagai tunjang kerajaan langsung tidak memikirkan lagi nasib beratus-ratus ribu pekerja-pekerja melayu khasnya dan bumiputera amnya di bawah GLC termasuklah keluarga-keluarga mereka.
Adakah UMNO sebenarnya hanya untuk melayu elit? Adakah selama ini kita hanya dikaburi UMNO yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu seluruhnya?
Maka tidak hairanlah jika nasib yang sama menimpa pekerja-pekerja dari golongan berpendapatan paling rendah di bank-bank yang terdiri daripada majoriti pekerja-pekerja Melayu. Cuma kaedahnya sedikit berbeza. Kekejaman terhadap golongan majoriti ini turut memberi kesan kepada nasib dan masa depan kaum-kaum lain di dalam bank.
Ibarat 'bapa kencing berdiri, anak kencing berlari', teknokrat Melayu yang dilantik UMNO sebagai CEO di bank-bank GLC turut bertindak bertentangan dengan aspirasi negara. Jika 'kepala' seorang Presiden UMNO mampu dipegangnya, maka tidak mustahillah pekerja-pekerja Melayu di bawah mereka sewenang-wenangnya 'diterajang'.
Penguasaan CEO-CEO bank terutamanya CEO bank-bank GLC terhadap pemerintah yang menguatkuasakan sistem perundangan negara telah menjadikan mereka lebih berani untuk melanggar undang-undang negara atau mana-mana perjanjian terma pekerjaan yang berkuatkuasa.
Bukan itu sahaja, mereka juga kian tamak untuk meraih pendapatan tahunan sehingga mencecah lebih 200 kali ganda berbanding pendapatan tahunan pekerja berpendapatan rendah.
Mereka melambat-lambatkan pelarasan gaji golongan pekerja miskin dengan melakukan manipulasi secara bersistematik. Malah, mereka sebenarnya sentiasa melakukan manipulasi demi memastikan pekerja-pekerja miskin terus kekal miskin bagi membolehkan mereka terus menjadi lebih kaya. Sedangkan golongan pekerja miskin ini majoritinya adalah Melayu!
Kita juga terkejut apabila Kerajaan baru-baru ini menawarkan salah seorang CEO bank bagi menduduki jawatan Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi seluruh rakyat Malaysia. Ironinya, Menteri yang telah membawa derita kepada pekerja-pekerja bank dan meletakkan kira-kira 30,000 pekerja miskin lebih miskin sedang diberikan tanggungjawab untuk menjaga sosio-ekonomi 29 juta penduduk negara.
Adakah UMNO sudah dilihat terlalu lemah kerana kapitalis kini kian berpengaruh dan berkuasa?. NUBE sudah banyak bersabar menunggu Presiden UMNO menunaikan janjinya menyelesaikan segala isu yang mencipta jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin. 75% ahli-ahli Melayu NUBE dapat merasainya apabila sehingga hari ini segala aduan dan pertikaian seperti tidak dipedulikan.
Sepertimana dinyatakan dari awal, kita akan melakukan apa sahaja tindakan selagi menuruti undang-undang walaupun berpiket serentak dengan tarikh Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ayuhlah kita sebagai ahli-ahli NUBE merayu kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri kita tentang penganiayaan yang dilakukan orang-orang lantikan UMNO. Kita membuat gesaan terhadapnya agar eksploitasi secara serius terhadap pekerja-pekerja miskin bank di negara ini diselesaikan dengan kadar segera.
Kita akan memaklumkan kepada anda kenapa dan bagaimana untuk menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri melalui pekeliling-pekeliling seterusnya.
J Solomon
General Secreatary
No comments:
Post a Comment