Kehadapan YAB Perdana Menteri,
Negara kita sedang dihias indah untuk merayakan hari Kemerdekaan ke 57. Bertemakan Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Cinta itu subjektif dan universal. Cinta itu boleh diklasifikasikan sebagai rasa kasih sesama kita dan juga rasa kasih dan sayang umat sejagat.
Tetapi jauh di satu sudut dunia ini, terpahat sekelompok umat yang sedang menderita. Tidak lagi mengecapi nikmat manusia bebas dan merdeka. Ya, kemerdekaan mereka telah dirampas. Bukan untuk setahun tetapi telah lebih 60 tahun oleh seorang arkitek kolonial Inggeris yang kita angkat namanya dalam kitab sejarah kita, Henry Gurney.
Henry Gurney, si penjajah pecah dan perintah ini merupakan watak belakang tabir di Tebing Barat. Berkedudukan sebagai Chief Secretary, Palestine Mandate Government yang berjaya mewujudkan Negara Haram Israel pada 15 Mei 1948. Atas kejayaan ini, Henry Gurney diangkat pula sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya pada 13 September 1948. Henry Gurney datang dengan tangan yang berlumuran darah dan airmata rakyat Palestin dan kemudian kita mengabadikan namanya di papan tanda sekolah dan jalan sehingga kini.
YAB Perdana Menteri,
22 Ogos, kita semua menangis. Luluh hati kita melihat jenazah-jenazah saudara-saudara kita yang gugur bersama penerbangan MH17 kembali ke tanahair ini. Semoga Tuhan merahmati mereka yang terkorban ini. Di sudut itu, selama lebih 60 tahun ini setiap hari akan ada jenazah yang dipaksa mati ekoran daripada kekejaman penghapusan etnik rejim Zionis. Tidakkah ia juga menyentuh nilai kemanusiaan dan kasih sayang persaudaraan kita?
Semenjak 9 April 1948 dalam tragedi Deir Yassin, warga Palestin ini telah dimalukan, dipijak maruah mereka dan dibunuh sekejamnya oleh sebuah regim Zionis. Cukup lama mereka telah menderita dan ditindas. Tiada lagi waktu bergembira dalam kamus hidup mereka sebaliknya hanya memikirkan selepas ini giliran siapa pula yang akan menjadi mangsa penghapusan etnik zalim ini.
YAB Perdana Menteri,
Saya punya keyakinan YAB merupakan seorang pemimpin yang luhur jiwa, penuh sifat kasih dan sayang serta seorang yang berwasatiyyah. Apakah tidak boleh YAB dan kabinet pimpinan YAB untuk membatalkan kebenaran perdagangan dengan Israel semenjak tahun 1996 dahulu? Mengapa YAB tidak membetulkan kesilapan kabinet terdahulu dan kembali semula mengikut Dasar Luar Negara kita yang tidak mempunyai sebarang bentuk hubungan dengan negara rejim Zionis Israel.
Saban tahun jumlah perdagangan kita dengan Israel terus meningkat. Kerajaan Pemerintah sejak 18 tahun dahulu sehingga zaman YAB tidak pernah mendedahkan angka tetapi zaman telah berubah. Kerajaan YAB tidak lagi boleh menyorokkan hakikat. Bangkai kalaupun disorok tetap akan berbau juga. Dunia internet telah mendedahkan begitu banyak data dan angka betapa kita juga sebenarnya merupakan antara rakan dagang Israel yang besar. Kita turut sama mengukuhkan ekonomi dan menjana ekonomi Israel yang mana mungkin keuntungan dan kekukuhan ekonomi Israel itu turut mengukuhkan dana persenjataan mereka untuk terus membuli Palestin.
YAB Perdana Menteri,
Mengapa Kerajaan pimpinan YAB tidak mempunyai keberanian seperti Turki untuk menggantung hubungan perdagangan dengan Israel pada 2011? Mengapa YAB tidak mencontohi rakan sejawatan YAB di Chile yang menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Israel?
Mengapa YAB tidak mempunyai keberanian seperti negara-negara Kesatuan Eropah yang begitu komited dalam melaksanakan kempen Boycott, Divestment and Sanction (BDS)? Mereka ini bukanlah negara yang teguh amalan Islamnya seperti Kerajaan Pimpinan YAB disini yang handal berpencak mempertahankan Islam tetapi nampaknya terkulai di tangan rejim Zionis. Adakah kita begitu takut dengan tekanan Zionis Israel dan Amerika Syarikat?
Mengapa YAB tidak menjadi sebegitu berani seperti keberanian dan keperwiraan YAB dalam mengikut telunjuk Amerika Syarikat dengan menghentikan dagangan minyak kepada Iran pada tahun 2012 dahulu? 57 tahun kita telah merdeka, kita juga perlu sentiasa bertanya kepada diri kita, What Should A Free Man Do?
YAB Perdana Menteri,
Saya menginsafi semangat tema Hari Kemerdekaan, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Ya, disini lahirnya sebuah cinta kepada keamanan sejagat. Dengan penuh rendah diri, sebagai anak muda Malaysia, saya menjemput YAB untuk hadir bertemu dengan rakyat Malaysia di perkarangan kompleks MITI, Jalan Duta, 29 Ogos nanti. Saya berjanji akan membawa ribuan rakyat untuk hadir dan jutaan sokongan lagi kepada YAB untuk bangkit berani melawan dasar apartheid Zionis Israel dengan menghentikan hubungan perdagangan Malaysia dengan Israel.
Dan kepada teman-teman seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan cintakan keamanan, saya mewakili Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menjemput anda semua untuk bersama-sama dalam satu himpunan hentikan hubungan perdagangan Malaysia dengan Israel pada 29 Ogos 2014 di perkarangan kompleks MITI, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Acara akan bermula dengan Solat Jumaat di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Disini Lahirnya Sebuah Cinta harus kita mulakan dengan menzahirkan kecintaan kita pada keamanan sejagat 29 Ogos 2014, MITI KL.
#PagarMITI298
Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Kebangsaan
No comments:
Post a Comment