Kenyataan Media
10 Oktober 2015
Rumusan Bajet 2015 : Dasar Yang Baik Namun Perlu Pemantauan Perlaksanaannya
Secara dasarnya Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) melihat Bajet 2015 sebagai satu belanjawan yang sedikit baik jika dibandingkan dengan belanjawan-belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
PKM SAMM menyambut baik pengumuman skim perumahan belia yang membolehkan belia membeli rumah melalui perkongsian pintar Kerajaan, bank dan pelbagai agensi. Walaubagaimanapun, jumlah rumah yang ditawarkan agak kecil berbanding nisbah populasi golongan muda dalam negara.
Selain itu, skim pembiayaan sewa-beli bagi skim PR1MA untuk individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank juga merupakan satu langkah yang baik yang diutarakan dalam bajet kali ini.
Strategi ke 7 Bajet 2015 juga mensasarkan kepada peningkatan pengangkutan awam. Beberapa insentif peningkatan pengangkutan awam diperkenalkan seperti projek LRT 3 dan MRT namun begitu ia tidak menyeluruh kepada ibu-ibu negeri dan bandar-bandar utama di seluruh negara.
Adalah diharapkan agar pihak Kerajaan dapat memperincikan sepenuhnya pelan peningkatan pengangkutan awam ini agar meliputi ibu-ibu negeri lain dan bandar-bandar utama di seluruh negara.
Pembangunan bandar juga perlu turut sama mengangkat aspek kebersihan alam sekitar dan juga membina perumahan lengkap untuk komuniti dalam bandar.
Dengan mengambil Jepun sebagai contoh, Jepun menjadikan laluan sistem rel sebagai kunci kepada penyusunan bandar mereka. Di mana terdapat integrasi di antara stesen pengangkutan rel dengan bangunan-bangunan sekitar. Malah, pusat-pusat tumpuan komuniti juga dibina berdekatan dengan stesen-stesen pengangkutan rel bagi memudahkan pengguna.
Selain itu, PKM SAMM melihat Bajet 2015 ini akan membawa satu transformasi sosial kepada negara. Dengan penekanan kepada pengukuhan peranan wanita dalam aspek pembangunan negara dan pembuat keputusan adalah satu langkah yang baik dalam mengangkat martabat wanita kita.
Bagi kelompok anak muda pula, Bajet 2015 memberikan tumpuan untuk memberdayakan usahawan muda melalui Program MaGIC, SME Bank, Agro Bank dan Online Resource Centre. Bajet 2015 ini juga memberikan tumpuan ke arah mempromosikan aktivitisme dan kesukarelawan kepada anak muda yang mana akhirnya ia akan membantu kepada pembinaan modal insan negara.
Bajet 2015 juga menarik apabila menawarkan dan mengukuhkan lagi insentif-insentif kepada majikan untuk memberikan latihan-latihan kepada pekerja mereka bagi meningkatkan diri kepada tenaga separa mahir dan mahir.
Secara tidak langsung dengan peningkatan melalui latihan seperti ini juga, pekerja dapat juga meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka nanti.
Namun begitu, PKM SAMM juga masih melihat Kerajaan Persekutuan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mengurus yang agak besar ekoran daripada saiz kabinet yang agak besar dan pertindihan bidangkuasa di antara agensi-agensi. Seharusnya pihak Kerajaan dapat menilai semula kewujudan beberapa portfolio Menteri di JPM dan agensi-agensi yang dilihat bertindih kuasa agar perbelanjaan mengurus dapat dikecilkan jumlahnya.
Rumusannya, PKM SAMM menyambut baik Bajet 2015 yang agak komprehensif ini namun dalam masa yang sama menyeru kepada rakyat dan masyarakat sivil yang lain untuk memantau perlaksanaan setiap dasar yang digariskan dalam Bajet 2015 ini. Ini adalah perlu bagi memastikan Bajet 2015 ini benar-benar mencapai sasaran yang diharapkan dan tidak tersasar sehingga mengakibatkan kita terus menanggung defisit demi defisit untuk tahun-tahun mendatang.
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia
No comments:
Post a Comment