Kenyataan Media
7 Oktober 2014
Kegagalan 2 Temasya Sukan Berprestij, KJ Perlu Fokus Kerja Bukan Berzumba
Khairy Jamaluddin memulakan karier sebagai seorang Menteri Belia dan Sukan dengan penuh bergaya dan berketerampilan. Dengan memperlihatkan keterbukaan penuh progresif seorang Menteri muda, Khairy Jamaluddin berjaya menggamit perhatian ramai anak muda di kala prestasi ramai anggota Kabinet Persekutuan dipersoal.
Namun selepas berakhir dua temasya sukan yang punya prestij tersendiri iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia, nampaknya Khairy terus bergelut dengan prestasi pelbagai sukan negara kita.
Kegagalan mencapai sasaran emas di Sukan Komanwel dan ditambah dengan persembahan yang jauh tersasar dalam Sukan Asia menambah perit Khairy. Tambah buruk seorang atlit kita terperangkap dalam persoalan penggunaan bahan larangan hingga mengakibatkan pingat emas yang dimenangi telah ditarik balik.
Dalam temasya Sukan Komanwel, prestasi atlit kita bukan sahaja tidak dapat mencapai sasaran pingat, malahan kita berada di kedudukan lebih bawah daripada seteru jiran, Singapura. Manakala dalam Sukan Asia pula, jumlah pingat emas yang diperolehi setaraf negara Mongolia.
Mengapa mutu sukan kita semakin merosot? Apakah kita tidak mempunyai atlit-atlit yang baik di sebalik 30 juta rakyat kita berbanding Singapura yang hanya mempunyai populasi 4 juta lebih penduduk sahaja? Atau pun KBS telah hilang keupayaan untuk menggarap dasar pembangunan sukan kita?
Khairy perlu segera mencari formula kemenangan jikalau tidak mahu mengikut jejak kegagalan Menteri terdahulu dalam mengangkat martabat sukan negara. Sama ada rombakan MSN dan ISN dengan suntikan "orang baru" yang ingin dilaksanakannya itu akan berjaya, hanya masa yang menentukan.
Tetapi sebagai seorang Menteri Kabinet berkelulusan Oxford sepatutnya Khairy telah mempunyai satu perancangan menyeluruh pembangunan sukan sebaik sahaja menjejakkan kaki di Pejabat Menteri KBS. Bukannya menunggu sehingga imej sukan negara terus merosot dan tercalar dalam dua aksi sukan berprestij ini.
Masakan Khairy tidak mempunyai idea progresif untuk pembangunan sukan seperti mana yang ditonjolkan dalam aksi Zumba sempena pelancaran FIT Malaysia? Masakan Khairy tidak mempunyai bakat sebagai seorang Menteri dan pemimpin muda seperti mana bakat yang ditonjolkan di layar perak?
SAMM mempersoalkan di manakah Khairy ketika negara perlu melahirkan lebih ramai atlit pelapis masa depan? Apakah Khairy tidak dapat melihat keperluan untuk memunculkan pelapis Dato' Lee Chong Wei?
Apakah Khairy sedar akan kelemahan Persatuan Sepak Takraw hingga menyebabkan skuad kita tewas kepada Korea Selatan?
Khairy perlu berbuat sesuatu jika mahu terus glamour di kalangan anak muda, tetapi bukan dengan aksi zumba dan aksi lakonan layar perak tetapi perlu hadir dengan idea progresif untuk membangunkan sukan negara kita. Janganlah hanya berbelanja besar dalam bidang sukan tetapi hasilnya memualkan - ini suatu tragedi.
Jika kegagalan mencapai sasaran emas dalam temasya-temasya sukan berprestij sebegini terus berulang, tidak dapat tidak Khairy perlu berbisik kepada Perdana Menteri untuk menukar ke Kementerian lain ataupun menghantar sepucuk surat perletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Khairy Jamaludin menteri kelahiran Oxford yang disangka hebat, rupanya hanya seorang hero 'bed time story' semata.
Zuraidi Abdullah
Penyelaras Segmentasi Sukan SAMM
Solidariti Anak Muda Malaysia
No comments:
Post a Comment