Seorang ibu tunggal terkejut apabila rumah yang didudukinya bersama anak-anak selama 40 tahun kini menjadi milik orang lain sejak 2001 tanpa pengetahuan mereka.
A Valliamah, 45, tinggal di Kampung Baru Air Tawar, Sitiawan bersama lima anaknya dan dua daripadanya masih bersekolah.
Anak sulungnya, M Mogan, 22, berkata, mereka tidak menyangka kejadian itu berlaku kepada keluarganya sedangkan sebelum ini ibunya pernah memohon menduduki tanah lot itu pada 1985 dan 2007.
Menurutnya, bagaimanapun permohonan mereka ditolak dan kali terakhir permohonan dibuat pada tahun lalu namun terkejut apabila tanah yang dimohon itu telah diberikan hak milik kepada seorang individu lain pada 2001.
“Kami tidak pernah diberikan notis dan Pejabat Tanah tidak menjalankan siasatan kedudukan tanah tersebut sebelum meluluskan kepada pihak lain.
“Pada 12 Disember 2013 kami turut membawa perkara ini untuk tindakan Pegawai Khas kepada Menteri Besar, V Elango tetapi tiada maklum balas diberikan,” katanya.
Valliamah ditemui media selepas mengadakan demonstrasi aman bersama Parti Sosialis Malaysia di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.
Hadir sama pada demonstrasi itu, Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy
Beliau berkata, hidup mereka kini dalam kebimbangan kerana pemilik tanah itu telah mengambil tindakan mahkamah untuk mengusir mereka sekeluarga.
Katanya, selepas dua kali penangguhan pendengaran kes pengusiran ke atas keluarga mereka, kes akan didengar semula hari ini di mahkamah.
“Kami sekeluarga sangat berharap menteri besar dapat menggunakan kuasa budi bicara dan campur tangan kerajaan negeri untuk membela nasib kami.
“Kami juga memohon agar pemilik tanah menarik semula kes itu dari mahkamah dan diberikan tapak baru agar kami dapat terus tinggal di situ,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Elango, G Sarevanan berkata, mereka telah menerima memorandum daripada keluarga Valliamah dengan bantuan Sarasvathy dan akan meneliti hal berkenaan.
“Satu perbincangan akan dilakukan bersama dengan keluarga berkenaan dalam masa terdekat sebagai usaha membantu mereka sekeluarga,” katanya.
No comments:
Post a Comment