Segerakan Tindakan Afirmatif Pertahan Status Geopark UNESCO Pulau Langkawi
Menurut laporan media, Langkawi ketika ini berdepan dengan risiko kehilangan status Geopark daripada pihak UNESCO ekoran daripada kegagalan pihak berkuasa mematuhi amalan pemuliharaan yang ditetapkan badan dunia itu. Langkawi merupakan Geopark Unesco pertama di rantau Asia Tenggara di mana keseluruhan Langkawi diberikan status Geopark tunggal tidak seperti tapak UNESCO lain maka, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Langkawi amat memandang serius isu “Kad Kuning” ini.
Sebagai sebuah pulau peranginan terkenal bukan sahaja di peringkat domestik malahan sehingga ke peringkat antarabangsa, pengiktirafan dan penarafan UNESCO ini telah memberikan satu nilai tambah yang baik dalam memacu Langkawi sebagai antara lokasi tumpuan pelancongan dunia.
Ketika negara sedang menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2014, adalah sangat dikesali apabila Langkawi menerima amaran kad kuning tersebut. SAMM langkawi menggesa isu ini diberi perhatian.
LADA, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu segera mengambil langkah-langkah afirmatif bagi memastikan Langkawi tidak kehilangan status tersebut sebelum pemeriksaan UNESCO pada pertengahan tahun depan. Usaha bertahun-tahun untuk meletakkan Langkawi di persada dunia dan menerima pengiktirafan yang pertama tidak harus dibazirkan dengan sikap sambil lewa dan tidak komited untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan itu.
Tambah mengecewakan Laporan Pemeriksaan Dua Pegawai UNESCO pada 2011 yang telah mendedahkan 27 kawasan yang tidak diselia mengikut ketetapan atas pelbagai sebab namun nampaknya tindakan yang sangat perlahan diambil oleh pihak berkuasa walaupun telah 3 tahun berlalu dan kini hanya tinggal setahun sahaja lagi sebelum pasukan pemeriksaan UNESCO mula menjalankan penilaian mereka.
SAMM Langkawi menyeru agar Kerajaan Negeri Kedah mendesak Kerajaan Persekutuan dan LADA supaya menyegerakan tindakan penambahbaikan kelemahan-kelemahan seperti yang telah disenaraikan.
Kesilapan seperti di dalam aspek pemuliharaan Candi Lembah Bujang harus menjadi iktibar. Kerajaan Negeri perlu lebih peka dan sensitif terhadap aspek penjagaan warisan, kebudayaan dan alam sekitar untuk tatapan generasi akan datang.
Pulau Langkawi adalah satu anugerah besar buat tanahair, harapan SAMM Langkawi agar pulau pelancongan ini dipelihara dengan tatacara terbaik mengikut piawaian dunia.
Saifol Adli Azizan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Zon Langkawi
No comments:
Post a Comment