SolidaritiAnak Muda Malaysia (SAMM) mengajak semua mengambil serius dapatan dari kajian terbaru Merdeka Centre berkenaan isu kehilangan pesawat MH370.
Dalam respon kepada soalan sama ada responden menyangka Putrajaya jujur atau menyembunyikan sesuatu mengenai MH370, 54% daripada responden berpendapat Malaysia menyembunyikan maklumat. Selepas lebih lima minggu pesawat hilang, ternyata rakyat Malaysia juga cenderung mempercayai Putrajaya tidak jujur berhubung maklumat berkenaan pesawat itu.
Kali ini, responden dari kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bersatu dalam mempercayai Putrajaya kurang jujur dalam mendedahkan maklumat berkenaan MH370.
Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak berstrata mengikut etnik, jantina dan umur, serta meliputi semua kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia.
Kajian itu dijalankan dari 24-30 Mac dengan pemilihan responden berkadar dengan penduduk di setiap kawasan Parlimen.
Malah dapatan survey yang sama mendapati ekoran dari peristiwa MH370 lebih 45% rakyat mula hilang keyakinan terhadap Putrajaya.
SAMM pada 4 April 2014, jam 9 pagi melalui kenyataan media telah dengan tegas menggesa Perdana Menteri, Najib Razak agar bercakap benar di depan rakyat. SAMM dan majoriti rakyat mula sedar kes kehilangan MH370 ini bukan kemalangan trajedi biasa sebaliknya satu kes rampasan pesawat melibatkan pertembungan kuasa besar dunia dan semua termasuk Malaysia menjadi mangsa.
SAMM sedar Najib sedang tersepit dalam pertembungan kuasa besar. Najib sedang berusaha menyelamat keadaan sebaliknya dia tidak sedar dengan tidak bercakap benar kepada rakyat sendiri akan menyebabkan dia terus tersepit lebih teruk malah meletakkan negara lebih berisiko.
Najib dan para pengampu harus berhenti bersikap negatif dengan menyifatkan semua yang memberi pendapat bercanggah sedikit dengan skrip beliau dilihat sebagai tidak patriotik dan harus dihukum termasuk dibuang kerakyatan.
Kepada Najib kami tahu kamu juga tersepit tetapi ini berlaku kerana ia berpunca dari kelemahan pentadbiran sendiri. Ingatkah kita cerita agen CIA dalam pejabat Peguam Negara yang cuba disapu dibawah karpet ? Malaysia menjadi lemah kerana kita dihimpit, diugut kiri dan kanan. Malah watak utama negara yang punya kes bunuh juga pernah diugut sehingga tanah negara terpaksa diserahkan pada jiran.
Amat lemah, Malaysia hanya mencari mengikut cakap - cakap negara lain. Bayangkan ketika radar Malaysia sudah mengesan pusingan pesawat tersebut tetapi beberapa hari awal kita membuang masa mencari di Teluk Siam, sedangkan kita tahu ia sudah melintasi negara semula.
Persoalanya adakah kita lemah atau Najib sedang dihimpit permainan politik kuasa besar dunia ?
Najib, ketahuilah kamu bahawa China sedang marah bukan sahaja kerana kehilangan warganya tetapi kehilangan sesuatu yang bernilai buat negaranya. Kuasa besar ekonomi ini boleh menghimpit negara kerana kelemahan kamu mengendalikan isu ini. Najib, kamu tidak perlu berselindung.
Bercakap benarlah dihadapan rakyat. Tidak perlu kamu membaca skrip tulisan pihak lain seperti 'ia berakhir di Lautan Hindi' dan kemudian cuba dimanipulasi oleh sepupu kamu dengan mengatakan "PM tak sebut pesawat terhempas".
Percayalah akibatnya nanti tidak terjangkau oleh pemikiran kamu, Malaysia bakal hilang syarikat penerbangan kerana saman dari seluruh dunia, negara bakal menerima tekanan hebat dari perbagai segi.
Najib, kami sayangkan negara ini. Kami tahu kamu terhimpit dan tampillah dengan bercakap terus terang kepada rakyat. Kuasa besar mana pun kami akan bersedia berdepan tetapi kamu perlu beritahu perkara sebenar kepada rakyat atau kamu selesa menjadi memainkan peranan selaku watak boneka lemah semata - mata.
Kita mungkin berbeda pandang dalam banyak isu di dalam negara ini tetapi dalam isu mempertahankan negara ia tidak ada kompromi cuma berani tampil dan bercakap benar dengan kami.
Sekian
che'GuBard Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
kenyataan media terdahulu sila rujuk http://chegubard.blogspot.com/2014/04/mh370-najib-kami-tahu-kamu-terhimpit.html
No comments:
Post a Comment