VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Thursday, 20 November 2014

Bajet Negeri Johor Faham Harapan Anak Muda Namun Perlu Perhalusi Beberapa Aspek



Kenyataan Umum
20 November 2014

Bajet Negeri Johor Faham Harapan Anak Muda Namun Perlu Perhalusi Beberapa Aspek

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor secara asasnya menyambut baik Bajet 2015 Negeri Johor yang telah dibentang oleh Menteri Besar pada hari Khamis lepas. Sedikit sebanyak Bajet ini turut selari dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh SAMM Johor dalam kertas cadangan Bajet 2015.

Antaranya adalah isu peluang pekerjaan untuk anak negeri perlu dititikberatkan berbanding pekerja asing, menarik lebih banyak pelabur berkompeten dalam industri strategik, usaha untuk mengatasi kesenjangan kaya-miskin, skim sewa-beli rumah dan juga dalam aspek seni budaya. SAMM Johor juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan pembangunan sukan dengan menyediakan lebih banyak projek pembangunan fasiliti sukan di negeri ini.

Walaubagaimanapun, cadangan untuk mewujudkan semula contract farming untuk memenuhi aspirasi bio-ekonomi perlulah diperhalusi dengan teliti. Sebelum ini juga telah wujud perniagaan berasaskan contract farming ini namun begitu kebanyakkannya menemui kegagalan. Hingga menyebabkan ramai peserta khususnya kelompok anak muda terpaksa menanggung hutang pinjaman modal untuk memulakan perniagaan.

SAMM Johor amatlah berharap agar Kerajaan Negeri dapat turut mendesak agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan seperti FAMA dan sebagainya dapat memainkan peranan membantu pemain-pemain contract farming ini untuk memasarkan produk mereka. Malah, MATRADE dan lain-lain GLC milik Kerajaan Negeri juga boleh turut membantu memasarkan produk hasil tani ini ke pasaran antarabangsa. Bukannya sekadar membiarkan syarikat swasta yang mengambilalih semua urus tadbir contract farming ini. Hal ini sekurang-kurangnya akan membantu peserta untuk menjana keuntungan dan mengelakkan berulangnya kegagalan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Selain itu, SAMM Johor juga memandang berat rancangan untuk menubuhkan 25 pusat perubatan termasuklah pusat perubatan swasta. SAMM Johor memahami bahawa industri hospi-tourism akan membantu menjana pulangan kepada ekonomi.

Namun ia juga seharusnya turut memudahkan akses rakyat tempatan khususnya anak negeri Johor ke pusat perubatan swasta. SAMM Johor menyeru agar KPJ dapat menawarkan insentif kos rawatan yang lebih rendah kepada anak-anak negeri ini.

SAMM Johor juga menegaskan penolakan kami terhadap rancangan loji tenaga nuklear daripada didirikan di negeri ini. Walaupun ia merupakan rancangan Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri diharap dapat mempamerkan ketegasan Johor dalam menolak rancangan yang berisiko tinggi ini.

SAMM Johor berharap agar Johor akan muncul sebagai sebuah negeri yang maju dan berpendapatan tinggi dengan amalan sebuah pentadbiran yang baik, ekonomi yang mapan dan melestarikan alam. SAMM Johor juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor turut mendengar cadangan dan pandangan kelompok anak muda Johor

Hadzril Ridzal
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor

Monday, 17 November 2014

Program Gelandangan Bersama NGO PANGLIMA Malaysia



















KENYATAAN MEDIA

NGO PANGLIMA MALAYSIA telah menjalankan program Gelandangan pada 15/11/2014. Program ini memberi bantuan baju dan mengedarkan makanan kpd golongan tersebut. PANGLIMA MALAYSIA telah berjaya mengesan permasalahan seorang gadis berasal Pantai Remis, Perak yang terkandas di Kuala Lumpur selama beberapa hari, berhadapan dengan menara Maybank.

Maklumat yang diperolehi, gadis tersebut telah melarikan diri dari rumah sudah beberapa bulan bersama teman lelaki. Beliau kemudiannya ditipu oleh Rakan Lelaki yang baru dikenali. Kesungguhan PANGLIMA MALAYSIA terus membantu gadis tersebut membuat report Polis di Balai Dang Wangi.

Setelah itu PANGLIMA MALAYSIA cuba mencari tempat tinggal asal gadis tersebut dengan dibantu oleh Pemuda PAS Perak, di wakili oleh Tim/Pemuda PAS Perak Ust Akmal Kamaruddin untuk menjejaki alamat dan berjaya menemui keluarga Gadis itu. Keluarga gadis tersebut datang ke Kedah dan membawa pulang dengan selamat.

Bersama dengan Program PANGLIMA MALAYSIA ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat sdr Nassaie bg mewakili Pemuda PAS Pusat bagi membantu menjayakan program tersebut. Pada malam itu juga PANGLIMA MALAYSIA dibantu oleh PDRM Dang Wangi untuk menjaga keselamatan selama program berlangsung.

Terima Kasih juga kepada yang turut hadir bersama menjayakan program :

Team Anak muda Bangkit
SAMM diwakili Oleh Sdr Makio
Muslim Dakwah Backpacker (MDB)
Faizal Malek
Ketua Unit Operasi
PANGLIMA MALAYSIA

17 November 2014

Thursday, 13 November 2014

Pampasan RM500, Orang Melayu Tertindas di Negeri Yang Diperintah Oleh UMNO










Kenyataan Umum
13 November 2014

Pampasan RM500 Tidak Munasabah

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor telah menerima satu set dokumen daripada seorang penduduk di kampung Bakar Batu, Johor Bahru yang tanahnya diambil oleh sebuah syarikat pemaju, Bayou Bay yang mana KPRJ merupakan antara pemegang saham dalam syarikat tersebut. Pengadu tersebut tidak berpuashati dengan pampasan yang diberikan iaitu hanya RM500 sahaja.

SAMM Johor difahamkan bahawa tanah pengadu tersebut telahpun diambil oleh pemaju pada tahun 1997 tanpa sebarang pampasan. Setelah pengadu bangkit mempertahankan haknya barulah pihak pemaju membayar pampasan dengan jumlah yang amat tidak munasabah itu dan cek bayaran pampasan telah diserahkan bukan kepada pengadu tetapi kepada ibu saudara pengadu bertarikh 25 April 2014. Pengadu telah memulangkan semula cek tersebut kepada pihak pemaju.

Tidak berpuashati dengan jumlah pampasan yang tidak munasabah dan juga cara pengurusan bayaran itu dibuat, pengadu telahpun mengutuskan sepucuk surat ke pejabat Menteri Besar Johor. Namun, surat itu tidak dijawab sehinggalah beliau mengutuskan surat kali kedua pada 21 Oktober 2014. Surat kedua ini mendapat respons daripada Pejabat Menteri Besar yang mengarahkan Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru untuk mengambil tindakan dan mengemukakan laporan kepada Menteri Besar.

Namun begitu, SAMM Johor amat kesal dengan tindakan yang agak perlahan daripada pejabat Menteri Besar sehinggakan pengadu terbabit terpaksa mengutuskan surat sebanyak dua kali. Seharusnya, Menteri Besar Johor tidak perlu menunggu untuk surat kedua sebelum tindakan diambil kerana ini melibatkan penindasan terhadap hak pengadu oleh pemaju.

SAMM Johor menyifatkan tindakan pemaju tersebut sebagai satu tindakan yang menghina pengadu dan keluarganya. 17 tahun pengadu berjuang termasuklah menulis surat kepada ADUN BN-Tanjung Puteri dan Biro Pengaduan Awam untuk mendapatkan haknya tetapi pemaju semakin angkuh apabila hanya memberikan pampasan yang tidak munasabah. Beginikah sikap sebuah syarikat yang dimiliki oleh KPRJ? Dan KPRJ hanya membutakan mata sahaja.

Sehubungan itu, SAMM Johor mendesak pejabat Menteri Besar Johor untuk segera bertindak dan mengarahkan pemaju untuk membayar pampasan yang setimpal dan munasabah bukannya membuli pengadu. Tidakkah Menteri Besar Johor juga memahami tidak mungkin pengadu dapat mencari tanah yang baru dengan nilai pampasan RM500 itu?

Hadzril Rizal
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

Tuesday, 11 November 2014

MERAIKAN KEBODOHAN: SAMAN NOMBER PLAT KENDERAAN


Tulisan Santai
10 Novembar 2014

MERAIKAN KEBODOHAN

Saya hampir pecah perut bila Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan mengaitkan isu nombor plat adalah punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia.

Di benak saya, rupanya orang bodoh ini bukan sahaja boleh menjadi menteri.

Kenapalah Malaysia ditakdirkan mempunyai insan-insan bodoh sebegini. Kalau dulu menteri bodoh, kini penyakit bodoh itu semakin melarat kepada ketua pengarah.

Saya sangat bimbang bodoh ini akan melarat kepada rakyat dan saya lebih bimbang jika bodoh ini turut dijangkiti oleh anak-anak dan cucu saya.

Kalau lah saya diberikan tugas sebagai Ketua Pengarah JPJ dan saya merasakan atau saya ditekan agar curi duit rakyat, saya hanya perlu menukar cara membuat plat kenderaan itu.

Setiap pembelian kenderaan yang memerlukan cukai jalan perlu juga membeli plat daripada kerajaan . Nombor plat ini dikeluarkan oleh JPJ.

Seandainya JPJ tidak mempunyai kepakaran, JPJ boleh membuka tender kepada pemilik syarikat membuat plat nombor. Yang penting ianya hendaklah seragam.

Oleh itu, tidak akan ada lagi jenis jenis plat yang tidak cukup inci, berbentuk catchy atau pelik dan sebagainya. Saya rasa mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Sebenarnya perkara ini telah lama diamalkan di negara lain.

Terkadang saya merasakan seolah kedai yang membuat plat kenderaan ini adalah sebenarnya milik JPJ.

Mereka perlu mereka-reka plat yang pelik-pelik dan menjualnya. Akhirnya pemilik kedai plat melaporkan kepada JPJ untuk menyaman kenderaan yang menukar nombor platnya.

Jahatkan rasa saya itu. Tapi ia nampak macam lojik.Esok saya akan cuba risik risik dengan kedai membuat plat ni. Lagipun benda pelik memang selalu berlaku di negara ini.

Saya juga sangat tertarik dengan cara seorang pekerja Petronas yang mencabar Ketua Pengarah JPJ itu.

Oleh kerana pekerja petronas itu mencabar Ketua Pengarah JPJ, maka saya juga ingin mencabar beliau bermain aji di kedai kopi Zul di kampung saya.

Tarikhnya 14 November 2014. Sehari selepas bertemu dengan pekerja petronas itu.Saya berjanji akan membayar air pada hari itu.

Semestinya ada sedikit syarat yang saya nak letakkan.Pemenang perlawanan aji tersebut akan dilantik sebagai Pengarah JPJ yang baru.

Agak-agaknya beranikah dia sambut cabaran saya?

Sebelum berakhir, saya nak tanyakan satu soalan. Adakah plat kereta bernombor JPJ 11 itu kena dengan spesifikasinya?

Mari kita sama-sama ketawakan kebodohan ini. Kah kah kah.

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Monday, 10 November 2014

LELAKI BUDIMAN, POLITIK BUDIMAN DAN BUDAK BUDIMAN



Tulisan santai
9 November 2014

LELAKI BUDIMAN, POLITIK BUDIMAN DAN BUDAK BUDIMAN

Saya sangat menggemari filem. Selepas buku, saya akan meletakkan filem untuk saya mengetahui tentang apa saja dalam dunia ini.

Buku dan filem juga membawa saya mengembara ke mana saja dan memahami banyak perkara tanpa berada di alam nyata.

Jika saya ditanya tentang filem apakah yang sangat menyentuh hati saya, saya akan terus menamakan filem An Education.

Filem arahan Lone Scherfig ini sangat menyentuh jiwa saya. Filem yang pernah memenangi 36 anugerah dan dicalonkan untuk 70 pencalonan ini sangat menambat jiwa saya.

Semuanya kerana BUDIMAN. Bagaimana Carey Mulligan yang berwatak Jenny Mellor sangat tertarik dengan seorang  Yahudi Peter Sarsgaard ( watak dalam filem sebagai David Goldman) yang sangat bersifat budiman.

Bagaimana sifat budiman itu ditunjukkan? Saya mengesani dalam beberapa babak yang nampak ringkas namun bagi saya ia sangat berkesan.

Antaranya ialah ketika di dalam hujan yang lebat, David Goldman berhenti kereta dan membantu seorang perempuan tua melintas jalan. Bajunya habis basah. Kejadian ini diperhati dengan penuh khusuk oleh Jenny Mellor dan menjadikannya tertarik kepada lelaki itu.

Selain itu, filem ini amat terkesan kerana runut bunyi juga sangat bersesuaian dengan jalan ceritanya. Lagu Smoke Without Fire nyanyian Duffy sangat mengesankan.

Ia sungguh mendayu-dayu dan mencakar gelora jiwa Carry yang sedang kecewa. Bagi saya filem yang baik adalah adunan runut bunyi yang baik dan kena dengan ceritanya.

Setakat ini, filem Malaysia yang sebegini hanyalah filem Layar Lara.  Anda seharusnya menonton cerita ini. Maksud saya filem An Education.

Kita tinggalkan seketika tentang filem itu.

Ketika Muktamar Pemuda di Kota Tinggi baru-baru ini, saya terkesima dengan Ketua Pemuda Pas, saudara Suhaizan Kayat menyebut tentang politik budiman.

Segera otak saya teringatkan cerita An Education itu. Saya cuba menyelongkar makna dan hasrat Suhaizan untuk menggambarkan politik budiman itu, ternyata ia sangat sepadan dengan politik Malaysia ini. Saya menyokongnya.

Mungkin apabila berkesempatan nanti, saya akan cuba mencungkil bagaimana cara Suhaizan menyelongkar ideanya dan apakah makna sebenar politik budiman yang dimaksudkannya.

Malam ini, saya mendapat panggilan daripada adik saya menyatakan ayah tiri sedang sakit. Saya ke HUSM untuk melawatnya.

Bersama-sama saya ialah isteri saya dan anak-anak saya serta ibu saya. Oleh kerana ibu saya demam, saya singgah di farmasi untuk membeli panadol.

Panadol habis di farmasi itu menyebabkan saya perlu berjalan sedikit jauh di dalam hujan untuk ke Seven Eleven.

Saya hampir kuyup ketika masuk ke dalam Seven Eleven itu. Saya meminta sepapan panadol dan sebotol air.

Kesemuanya berharga RM 5.80. Duit saya tidak mencukupi 60 sen. Jika saya kembali ke kereta, saya terpaksa meredah hujan untuk kesekian kalinya.

Jika tidak membeli air, bagaimana ibu saya mahu menelan ubatnya.

Sedang sibuk memikirkan masalah itu, budak lelaki yang bekerja pada malam itu menyuarakan...." bang, ambilah air dan ubat itu, duit abang yang tidak cukup itu saya tolong tambahkan".

Terkesima seketika. Budak ini sungguh budiman.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan menyusur ke kereta. Saya kemudiannya singgah memberi kepadanya note RM 10  kepada budak budiman tadi tanpa mengambil bakinya. Ambilah adik budiman. Itu rezeki awak. Dia tersipu.

Anda faham apa makna budiman yang saya maksudkan?

Budiman  bagi saya ialah perasaan segar yang menusuk ke kalbu bila melihat atau mendapat sesuatu kehendak yang di ingini.

Namun budiman itu tidak disedari oleh tuan punya pembuatnya tapi disedari oleh orang yang melihat dan mendapat sesuatu daripadanya.

Saya melihat kesinambungan itu pada watak lelaki yahudi dalam An Education, bilamana David Goldman dianggap budiman bila dia sanggup berbasah untuk membantu perempuan tua melintas jalan.

Budak budiman  Seven Eleven itu pula bila dia menambah 60 sen di saat saya sangat memerlukannya.

Untuk politik budiman pula, saya melihat Suhaizan cuba menjadikan Pemuda Pas sebagai pemuda yang membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Beliau menunjukkan solidariti kepada sesiapa sahaja yang tertindas. Saya melihatnya sebegitu dan merasakan politik budimannya bergerak ke arah itu.

Saya perlu menanti untuk 3 peristiwa yang berkaitan budiman, barulah saya mampu menghidangkannya kepada anda semua.

Saya sangat berharap anda dapat mengutip sesuatu untuk kali ini. Jadilah seorang yang BUDIMAN.

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Wednesday, 5 November 2014

BEBAS ANWAR IBRAHIM: Aku bukan pengkagum, aku bukan pemuja, aku bukan pembenci dan aku bukan persimpati kepada Anwar Ibrahim



SEMOGA ANWAR BEBAS.

Di zaman kanak kanak aku adalah pengkagum Anwar, bukan sebab dia pemimpin tapi sebab dia adalah bekas pelajar sekolah yang sama dengan aku.

Di zaman remaja aku adalah pemuja Anwar, bukan sebab dia bekas pelajar sekolah aku tapi sebab dia adalah pemimpin hebat malah ahli parlimen tempat aku.

Di zaman pasca remaja aku adalah pembenci Anwar, bukan sebab dia pemimpin hebat tapi aku rasa Anwar adalah aset paling bernilai kepada umno untuk terus berkuasa. Kalau Anwar datang berkhutbah jumaat di masjid aku, aku akan keluar dari masjid tanpa solat jumaat, kalau muncul gambar Anwar di TV dan suratkhabar aku akan ludah.

Di Zaman Reformasi aku adalah persimpati kepada Anwar bukan sebab dia aset yang tidak di hargai oleh umno tapi sebab fitnah dan kezaliman Dr mahathir kepadanya.

Di zaman Anwar keluar dari penjara, itulah pertama kali aku salam dengannya dan aku katakan padanya "Dato Sri jangan masuk umno". Tapi aku bukan lagi pengkagum, aku bukan lagi pemuja, aku bukan lagi pembenci dan aku bukan lagi persimpati kepada Anwar. Aku mengharapkan Anwar mampu membawa perubahan dan penyatuan terhadap rakyat dan negara.

Di zaman Anwar kembali ke arena persada politik aku adalah pengundi Anwar di Permatang Pauh namun aku dah tak peduli siapa Anwar, kamu betul aku sokong kamu salah aku langgar.

Namun hari ini, walau siapapun Anwar, dengan sedikit amalan yang aku ada dengan sedikit kebaikan yang aku ada, aku mohon semoga Allah bebaskan Anwar Ibrahim.

Lebih Baik Haramkan Terus Penjualan Rokok!



Kenyataan Media
5 November 2014

Lebih Baik Haramkan Terus Penjualan Rokok!

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras kenaikan hampir 13% harga rokok berkuatkuasa hari ini, malah kenaikkan hampir setiap tahun akan membebankan sebilangan besar rakyat Malaysia. SAMM dengan ini menegaskan;

1. Kenaikan harga rokok selama ini tidak mempunyai kaitan dengan kempen kesihatan mahupun WHO Framework Convention on Tobacco Control. Ini hanyalah berdasarkan kepada keuntungan semata-semata sama ada keuntungan pemerintah dari aspek percukaian atau keuntungan kaum pemodal kilang rokok.

2. Lebih malang, Pemerintah mempergunakan kempen anti-rokok ini hanya untuk menguntungkan kroni semata-mata. Berjuta-juta peruntukan telah dikeluarkan namun kempen ini tetap menemui jalan gagal di mana pemerintah tidak mampu mengawal kewujudan perokok baru dan perokok tegar di dalam negara. 

3. Jika ingin bercakap hubungkait rokok dan kesihatan, Pemerintah juga jangan menjadi begitu selektif. Banyak lagi produk-produk sebagai contoh minuman ringan berkarbonat berjenama antarabangsa juga memberikan kesan berbahaya terhadap kesihatan. Ia termasuklah restoran makanan ringan yang turut diklasifikasi tidak baik untuk kesihatan. Mengapa tidak dilaksana kempen anti-produk yang membahayakan kesihatan? Mengapa tiada mekanisma cukai khas untuk produk-produk ini tetapi hanya berlaku pada rokok?

4. Jika Pemerintah benar-benar menitikberatkan aspek kesihatan, seharusnya rokok diharamkan terus dari dijual dalam negara ini. Taktik Pemerintah menaikkan harga sedikit demi sedikit ini tidaklah memberikan kesan drastik kepada perokok. Sebaliknya kaum perokok menjadi mangli dengan kenaikan demi kenaikan. Mereka boleh menerima kenaikan ini dan tidak akan berhenti. Maka akhirnya pemerintah terus membuat duit dari keringat rakyat yang terus terbeban, satu taktik untuk menjana keuntungan semata-mata.

5. Setiap tahun harga rokok akan dinaikkan. Akan tetapi, pekebun-pekebun tembakau tetap mati walaupun harga rokok telah meningkat begitu drastik dalam dekad ini. Ini satu lagi hakikat bahawa Pemerintah hanya memikirkan keuntungan dan kesejahteraan kaum pemodal semata-mata sedangkan pekebun-pekebun kecil tidak langsung mendapat manfaat dan faedah dari kenaikkan ini.

6. SAMM mencadangkan, keuntungan yang dijana daripada kenaikan harga rokok selama ini wajar digunakan untuk menyediakan lebih banyak kawasan khas merokok. Sebagai contoh, penguatkuasaan larangan merokok di kawasan rehat dan rawat di lebuhraya, tetapi tidak disediakan ruang khas merokok. Ini adalah penindasan mutlak terhadap kaum perokok tegar. Tidak sepatutnya dinafikan hak kaum perokok yang juga menyumbang kepada keuntungan perbendaharaan negara.

7. Satu lagi mitos Pemerintah dalam menaikkan harga rokok adalah untuk memerangi rokok seludup. Ini satu lagi dakyah songsang daripada Pemerintah. Penyeludupan rokok ini berlaku kerana kelemahan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Unit Pencegahan Penyeludupan PDRM, APMM dan lain-lain. Seperti kenaikkan harga petrol atas alasan yang sama, sempadan kita bocor dari kelemahan agensi-agensi pemerintah, namun rakyat yang menanggung bebannya.

Sekian

Yaser Sheikh Abd Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.