VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Wednesday, 11 February 2015

Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara




Tulisan Terbuka

10 Februari 2015


Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara


Hari ini 10 Februari, hari yang sebak. Perasaan ini tidak mampu disembunyikan, ia dapat dilihat di mana-mana. Saya tidak hairan jika sehari ini keadaan tenang seribu bahasa, kerana esok masih ada dan masih mampu berbisa, kerana lusa masih utuh untuk perlawanan seterusnya.

Ketika tulisan ini digarap, kartunis zunar sedang berada di lokap. Beliau diberkas sebelum sempat melahirkan kartun-kartun sinikal yang baru. Dalam kepala saya terbayang 5 ekor kanggaroo menjadi teras lukisan beliau barangkali. Saya klasifikasi penangkapan kartunis Zunar ini satu tindakan 'prevention' sebelum satu serangan bom berlaku di PWTC contohnya. Jangan serius sangat, saya hanya menyindir.


Sungguh cekap dan efisyen sekali pihak polis raja di Malaysia, walaupun Zunar ditangkap bukan kerana kartunnya, tapi hanya kerana secebis tulisan di twitter. Malah twitter menjadi ruangan paling selamat ketika ini kerana IGP sendiri yang buat rondaan berkala. Tidakkah IGP mahu meronda di ruangan facebook pula? Rasanya ramai lagi 'penjenayah' media sosial masih bebas melampias konklusi yang merentap institusi kehakiman.


Siapa lagi bakal direman selepas ini hanya kerana bersimpati terhadap institusi kehakiman negara? Sila ambil giliran masing-masing, tunggu di rumah nanti 'tiga paku' datang angkut semua. Apakah kalian percaya bahawa penangkapan demi penangkapan akan meredakan perlawanan?


Bercakap soal perlawanan, tidak salah jika saya katakan gerakan menumbangkan regim bermula dengan jelas pada era 1998. Di sini gerakan bermula dengan menempuhi pelbagai episod. Antara siri episod yang paling menjadi perhatian ialah liwat 1 dan 2, yang menjadikan negara ini bergelumang dengan berita kelucahan selama belasan tahun khususnya 5 tahun kebelakangan ini.


Episod lucah ini hadir ketika kedudukan regim berada dalam keadaan sangat bahaya. Pertama ialah ketika Anwar gagal diperguna semasa beliau memegang tampuk nombor dua negara lantas mencetus saga perlawanan. Kedua ialah ketika 5 negeri tumbang dalam tsunami pilihanraya umum ke-12 yang juga di atas faktor Anwar dalam momentum yang sangat gamat. Jangan dilupa fakta ini, apatah lagi menafikannya.


Saya percaya kalian semua ada bersama dalam perlawanan ini samada dalam episod pertama atau kedua, atau kedua-duanya. Walaupun Anwar adalah faktornya, tetapi harus diingat bahawa perlawanan ini bukan soal Anwar, bukan soal menyelamatkan maruah keluarganya. Perlawanan ini adalah perlawanan kita, perlawanan ini adalah soal rakyat, soal perjuangan menyelamatkan tanahair.


Bicara soal perjuangan, ketika datangnya harapan membentuk sebuah negara rakyat, kita memilih perjuangan ini dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai kereta kebal yang akhirnya menjadi sasaran utama. Segala kekuatan persenjataan regim dihalakan terhadap sosok ini, senjata berat, senjata ringan, senjata halus, senjata boleh laras, senjata dalam sekam. Semuanya fokus menjatuhkan kredibiliti, membunuh karektor dan karisma, diulang dan diulang hingga membuahkan hasil tersendiri - iaitu ke'redho'an kita membenarkan Anwar ke penjara.


Apalah nak dipeduli, kamu sudah punya kerajaan beberapa negeri, ramai antara kamu sudah menjadi Adun, berjawatan dalam kerajaan negeri, dalam GLC, ada juga yang bakal menerima insentif pencen sebagai bekas ahli parlimen dan sebagainya. Sedarkah kamu kemewahan yang sementara ini, bagaimana ia bermula? Apakah kamu tergamak menikmati ghanimah manakala Anwar dibunuh dan maruah keluarganya tercela?


Kepada kalian yang terus berjuang tanpa mengharap balasan, mungkin saja terdapat seribu kekecewaan di dalam perjalanan. Tapi sebagai pejuang hatinya waja, bukan tisu dan kertas. Apalah nak dikira bila peluang dan cetusan untuk perlawanan seterusnya kini di depan mata. Ya benar ini bukan soal Anwar, tetapi soal prinsip bilamana seseorang itu ditindas dan dizalimi hingga ke liang penjara. 


Kepada 'pahlawan papan kekunci', samada kalian dituduh sedemikian ataupun memilih untuk menjadi demikian, saya percaya kalian adalah watak penting dalam perlawanan ini. Teruslah jadi pahlawan walau di mana sekalipun, cuma saya nak bagitau bau canister itu cukup menghairahkan. Sila guna sarung tangan, canister itu panas demi meruapkan asap pedih. Garam adalah penawar penting, tetapi meletakkan canister itu ke dalam sebaldi air adalah pencegah yang lebih baik. Sila lari jika semua orang lari, tetapi sila jangan lari jika semua yang di depan itusteady.


Berbalik kepada cerita hari ini, Anwar dijatuhkan hukuman penjara sampai mati. Tiada hujah teknikal dari para hakim, hanya bergantung kepada kredibiliti seorang Saiful, sampel dan plantif tercemar menjadi bukti. 


Saya mengikuti perbicaraan, saya juga bersama che'GuBard menulis sebuah buku 'FITNAH' terhadap Anwar, mendapati segala keraguan munasabah terhadap pertuduhan tidak terjawab. Saya penuh yakin Anwar tidak bersalah.


Dari pengamatan saya, walau mati hidup semula, kalian semua tidak percaya kepada Saiful. Kalian akui bahawa ia adalah sebuah konspirasi ulang cerita sepertimana episod terdahulu. Ya, kalian juga pasti Anwar tidak bersalah. Tetapi gamaknya seolah kalian membiarkan Anwar diheret ke penjara.


Situasi pada hari ini menunjukkan Anwar tidak punya kekuatan seperti waktu gemilangnya iaitu waktu kita bersama menghambat regim. Sudah teruk dibedil dari serata sudut, namun kereta kebal yang terputus rantai ini masih melawan dengan laras yang masih bisa meledak dan tidak akan menyerah kalah. Dalam status begini pun, Anwar dihumban ke penjara di atas sikap dan karektor perjuangannya selama belasan tahun. 


Telah saya katakan tadi, perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama. Jujurnya, pemenjaraan Anwar tanpa kebangkitan adalah kemenangan besar buat gerombolan. Apakah kegagalan kita menumbangkan regim zalim ini harus dibayar oleh Anwar dengan sebuah harga - sisa sisa terakhir kehidupannya? 


Berikut saya petik kata-kata akhir Anwar kepada para hakim; 


"Dalam menunduk kepada tuan politik, mereka memalukan diri sendiri dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman. Anda mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan tetapi anda pilih untuk terus berada di pihak yang gelap"


Ia seraya menyebabkan para hakim panas punggung dan beredar dari tempat duduknya.

Ya benar, tidak ada jalan yang jelas ketika ini untuk Anwar dinobatkan sebagai Perdana Menteri seperti mana yang pernah diidamkan. Anwar juga manusia, tidak lari dari silap dan salah kira. Tetapi di atas sekelumit jasanya terhadap diri kita (jika ada), ayuh kita atur sebuah gerakan ampuh bebaskan Anwar dari penjara, dengan prinsip. 


Jelas, perlawanan kita dari dulu dan selepas ini bukan demi menobatkan seseorang, bukan demi sosok pemimpin tertentu, tapi demi rakyat dan menyelamatkan tanahair dari genggaman regim zalim.


Ayuh! Genggam tangan, hayunkan ke atas. Suara Rakyat Masih Keramat!!


Edy Noor Reduan

Aktivis Blogger

Solidariti Anak Muda Malaysia

Tuesday, 10 February 2015

Kata-Kata Terakhir Anwar Ibrahim Selepas Hakim Jatuhkan Hukuman



Saya kekal dengan pendirian tidak bersalah ke atas pertuduhan jelek ini- insiden ini tidak pernah berlaku.

Ini merupakan satu fabrikasi lengkap yang terhasil daripada satu konspirasi politik untuk menamatkan kareer politik saya.

Kalian tidak langsung memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas fakta kes yang diketengahkan oleh peguam saya sebermula hari pertama lagi – betapa insiden ini tidak pernah berlaku sama sekali.

Saya mampu memandang ke hadapan, tetapi melihat kepada kenyataan anda hari ini, nyata sekali ia sia-sia. Kelihatan seperti saya diperlekeh sekali lagi sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Rayuan, dan ia terus dilakukan di sini selepas kami mengharungi ranjau perbicaraan selama 8 hari!

Bukan satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri mampu mengeluarkan kenyataan bertulis penuh atas keputusan kalian hanya beberapa minit selepas kalian menyampaikan penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman.

Tatkala tunduk patuh pada perintah penguasa politik, kalian telah menjadi sebahagian daripada rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman. Kalian telah menggadaikan jiwa kalian kepada syaitan, menukarganti hati nurani kalian dengan keuntungan materialistik dan kesenangan serta jaminan jawatan.

Kalian mempunyai kesempatan terbaik untuk menebus kekhilafan – dengan memperbetulkan kesalahan masa lalu dan meletakkan kehakiman atas paksi yang benar serta mengukir nama kalian untuk anak-cucu kalian kenangi sebagai pembela keadilan yang sebenar-benarnya.

Akan tetapi kalian memilih untuk kekal di sisi gelap dan menenggelamkan moral kalian dalam kancah kepalsuan dan tipu muslihat. Apakah kalian tahu betapa kalian kini sedang bergelumang kekotoran dan penipuan lantas ketidakadilan tersebut akan menyelinap di setiap sudut Istana Kehakiman ini, dan saya bersimpati kepada kalian.

Benar, kalian telah menghakimi saya – dan saya akan, untuk ketiga kalinya, melangkah ke penjara, tapi ketahuilah yang saya sama sekali tidak akan tunduk. Cahaya kekal menyinari saya.

Tetapi kalian yang harus berasa malu tatkala kalian akan dinilai sejarah sebagai pengecut terulung atas nama kemanusiaan. Dengan kedudukan dan kuasa kehakiman yang tinggi, kalian membungkam begitu rendah untuk diperalat oleh penguasa politik.

Mahasiswa undang-undang dan kalangan professor jurispruden akan meneliti penghakiman kalian dan di saat mereka membedah alasan serta keputusan kalian, kredibiliti dan integriti kalian akan dicarik halus. Di saat itu kalian akan didedah sebagai perekayasa yang memakai jubah kehakiman hanya untuk memperlekeh keadilan.

Jangan sesekali kalian lupa, sebagaimana kita semua, kalian juga harus menjawab kepada Sang Pencipta. Kalian harus menjawab kenapa kalian berpaling daripada prinsip-prinsip yang telah kalian lafaz dan sumpah untuk ditegakkan.

Mereka yang datang ke kamar mahkamah perlu menunduk hormat dan memanggil kamu sebagai Yang Arif, tetapi tidakkah kamu tahu bahawa satu hari nanti kamu juga perlu menjawab kepada Yang Maha Arif? Di saat itu kamu memerlukan lebih daripada tunduk hormat untuk menghuraikan mengapa kamu dengan sengaja melanggar perintah Allah melalui Ayat 58 Surah An-Nisa.

Melangkah ke penjara, saya anggap sebagai satu pengorbanan buat rakyat Negara ini Saya telah berjuang hampir seluruh kehidupan saya demi rakyat Negara ini – dan demi rakyat jugalah saya bersedia untuk ke penjara dan menghadapi sebarang bentuk akibat.

Perjuangan saya akan diteruskan, ke mana saja saya dihantar dan apa jua yang diperlakukan ke atas saya.

Kepada sekalian sahabat dan rakyat Malaysia, izinkan saya merakamkan penghargaan jauh dari sanubari saya atas setiap dokongan yang telah diberikan. ALLAH SWT menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah!

ANWAR IBRAHIM
10 FEBRUARI 2015

Monday, 9 February 2015

Dr. Hatta Ramli Dari Kaca Mata Pemuda PAS


Salam perjuangan dan salam persahabatan buat semua,

1. YB Haji Dr Mohd Hatta Bin Ramli digesa meletakkan jawatan atas tuduhan yang tertentu.

2. Saya amat bersimpati dengan tuduhan yang amat berat ini.

3. Pada tahun 2000 hingga 2004. Saya adalah pembantu beliau. Beliau yang saya kenali adalah seorang Dr yang meninggalkan jawatan sebagai Dr menjadi petugas sepenuh masa parti di Pusat Penyelidikan PAS di zaman arwah Almarhum Dato Fadzhil Noor. Elaunnya, kenderaanya, kehidupannya serba sederhana. PAS di saat itu hanya terdiri dari golongan ulama sebahagian besarnya. Pendekatan arwah Ust Fadhil dan pimpinan parti memikat beliau utk bersama PAS.

4. Pada saya, Dr Hatta adalah Seorang anak yang amat mengasihi bondanya dan penyayang pada keluarganya. Walaupun bukan berlatarbelakang ulama dan agama. Cintanya pada perjuangan sehingga pernah merengkok di penjara, naik turun mahkamah atas demonstrasi isu isu kemanusiaan. Sikap penyayang ini merentasi agama, negara dan budaya. Prinsipnya sentiasa menggalakkan dialog, mesra, bertindak atas realiti banyak memaut sokongan pelbagai budaya kepada parti ini. Kesederhanaan pendekatan, cermat dalam tindakannya menampilkan parti ini setanding dgn parti parti lain di negara ini.

Sahabat sahabat semua, beristighfarlah.

" Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu golongan sehingga kamu tidak berlaku ADIL. Berlaku Adillah. Sesungguhnya ADIL itu amat hampir dengan Ketaqwaan."

Borhanuddin Ahmad, Pegawai Penyelidik PPP. 2000 hingga 2004.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.