Kenyataan Media
13 Ogos 2015
Saman Najib dan SPR, SAMM Ucap Tahniah PKR
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ucap tahniah buat PKR di atas tindakan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas dakwaan membelanjakan RM2.6 bilion duit derma dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, melanggar Akta Pilihan Raya 1954.
Selari dengan pendirian SAMM sejak dari awal pendedahan Wall Street Jurnal, gesaan YB Nurul Izzah agar mahkamah membatalkan keputusan bagi semua 222 kerusi Parlimen dalam PRU13 lalu dan mengadakan pilihan raya semula dilihat sebagai satu kenyataan berani yang menunjukkan kesediaan PKR mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.
Bagi SAMM, seharusnya sebuah badan NGO yang mempunyai gagasan terbesar seperti BERSIH harus mengambil peranan membawa perkara ini ke peringkat mahkamah. Ia jauh lebih baik kerana BERSIH wajar dilihat bersih dari kepartian, maka sudah pasti desakkan itu akan lebih bersifat neutral dan jauh lebih besar nilainya.
Inilah jalan yang SAMM cuba gambarkan dalam kempen #SudahlahMahathir, kempen ini mensasarkan perubahan sistem bukan sekadar perubahan individu. SAMM menegaskan hanya menjatuhkan Najib dan menaikkan seorang lagi PM ikut tunjuk Mahathir tidak membawa erti apa-apa selain menyambung kesengsaraan rakyat.
SAMM dalam masa yang sama dengan tegas mencadangkan Kerajaan Peralihan (Caretaker Government) ditubuhkan bagi mengganti kerajaan sedia ada. 'Caretaker Government' ini merupakan satu kerajaan sementara yang terdiri daripada anggota Dewan Rakyat merangkumi wakil-wakil daripada kesemua Parti Politik yang ada di dalam Dewan tersebut.
Kerajaan Peralihan ini akan beroperasi mengikut tempoh masa yang sesuai bagi tujuan menyelesaikan beberapa perkara yang mendesak. Tempoh masa yang dicadangkan adalah 18 bulan. Selepas itu, Kerajaan Peralihan ini wajib membubarkan Parlimen dan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih sebuah Kerajaan yang baharu.
Dalam tempoh masa Kerajaan Peralihan ini, SAMM menggariskan beberapa perkara yang dilihat agak kritikal untuk dirombak semula supaya Malaysia dapat diletakkan ke landasan yang sebenar. Sila ke pautan http://anakmudamalaysia.com/2015/08/rethinking-merdeka-negara-perubahan/(Rethinking Merdeka - Kerajaan Perubahan) untuk maklumat selanjutnya.
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)