Assalammualaikum dan Salam Syawal,
Demi Allah apa yang cuba saya sampaikan semua ini adalah benar-benar terjadi pada saya dan keluarga, Ini kah UNDANG-UNDANG MALAYSIA?
PDRM SPRM Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Sebelum saya memulakan sy ingin meminta Maaf mengganggu semua orang yang sedang bergembira menyambut kedatangan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara di kampung. Sedang semua bersuka ria, kami sekeluarga dilanda kesedihan tentang berita yang baru kami terima baru-baru ini. Sebelum saya memulakan coretan saya ini, saya ingin memohon maaf jika terkasar bahasa kepada semua pihak samada terlibat atau tidak seandainya coretan ini membuat sesetengah pihak tidak berpuas hati atau marah kepada saya dan keluarga.
Setelah berfikir secara dalam-dalamnya saya Puan Adila, isteri kepada Allahyarham Sahdan b. Ishak ingin menyuarakan rasa ketidakpuasan hati dan terkilan berhubung siasatan kes kematian suami saya. Suami saya telah ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah, berbaju melayu putih dengan kesan tembakan tepat pada dahi di sebuah rumah teres tiga tingkat di Bandar Tun Hussein Onn, Bt 9 Cheras. Kejadian berlaku pada 10 Mac 2017 yang lalu. Genap 100 hari pemergiannya cukup untuk tempoh saya bertenang dan bersuara tentang apa yang berlaku sepanjang siasatan kes.
Kami sekeluarga menyerahkan bulat – bulat kes ini kepada pihak berwajib dengan harapan agar pembunuh arwah mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya. Malangnya itu tidak berlaku, pada 13 Jun 2017 tertuduh telah dijatuhkan hukuman tanpa pengetahuan kami sekeluarga.
Lebih mengecewakan kami hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan sebuah nyawa yang hilang sekelip mata. Sebelum ni tertuduh seorang Dato’ Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kajang atas tiga pertuduhan iaitu menyebabkan kematian, memiliki sepucuk pistol dan sebutir peluru hidup tanpa lesen, Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki sepucuk pistol jenis Revolver bernombor Siri 72664 tanpa lesen yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan juga sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan ketiga, Tertuduh didakwa memiliki sebutir peluru hidup tertulis S&B7.56 Br tanpa lesen yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Selepas sebutan kes dibuat beberapa kali di Mahkamah Seksyen Kajang hukuman diturunkan kepada Seksyen 304A kanun keseksaan dimana jika disabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 TAHUN atau DENDA atau KEDUA-DUANYA sekali. Ini merupakan KES BUNUH KE-2 Dato’ Seri tersebut dan kali ini dia terlepas lagi. Adakah undang – undang dihujung jari tertuduh? Kes pertama beliau dituduh membunuh ialah pada 13 Ogos 2012 dimana melibat kematian seorang peniaga air di Downtown The Mines, Seri Kembangan.
Pada 13/06/17 (selasa) tanpa kehadiran kami bagi pihak keluarga atau dipendekkan cerita tidak diberitahu tentang pertukaran tarikh perbicaraan pihak tertuduh telah dijatuhkan hukuman dengan alasan beliau telah mengaku salah. Tiada seorangpun wakil daripada keluarga kami yang hadir disebabkan pihak keluarga masih fikir bahawa tarikh yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 15 Jun 2017 masih kekal. Pada tarikh tersebut juga mahkamah terus menjatuhkan hukum kepada tertuduh dan apa yang mengejutkan kami sekeluarga hukuman yang dijatuhkan hanyalah 3 BULAN penjara (dari tarikh kejadian) dan bayaran denda sebanyak 70K sahaja !!. Tahlil 100hari arwah baru sahaja selesai bermakna tertuduh sudah dibebaskan. Adakah itu harga satu nyawa yang hilang tempat kami bergantung harap? Adakah itu nilai nyawa bagi ayah kepada anak – anak saya yang masih kecil tempat mereka bermanja?. Bayangkan sedang kami masih berduka dengan pemergian arwah dan kehadiran Syawal tanpanya, dapat pula berita tertuduh sudah dibebaskan dengan hukuman yang tidak setimpal. Tertuduh telah keluar dari tahanan dan sedang bergembira berhari raya bersama keluarga. Jika anda sebagai ahli keluarga mangsa menerima ketidakadilan macam ni apa yang anda rasa?
Kami juga meragui kejadian ini dan siasatan terhadap kes ini kerana terdapat banyak pihak yang cuba campurtangan. Ada pihak-pihak tertentu yang cuba berbaik-baik dengan kami sekeluarga, cuba melindungi tertuduh dan memantau pergerakan dan tindakan kami sekeluarga. Disini Saya akan ceritakan serba sedikit tentang kejadian sebenar yang berlaku. Apa yang saya faham dan apa yang diceritakan pada saya pada malam kejadian, tertuduh meminta arwah suami saya ke rumah nya untuk melangsungkan majlis angkat sumpah kenaikkan pangkat bagi sebuah pertubuhan NGO. Turut serta bersama dia pada malam itu adalah 3 rakan baik arwah. Sampai ditempat kejadian, terdapat beberapa orang lagi rakan-rakan yang perlu ada untuk menyempurnakan majlis tersebut. Saya difaham kan saksi kejadian pada malam itu seramai 13 orang termasuk isteri tertuduh dan pembantu rumahnya. Upacara naik pangkat tersebut berlangsung di tingkat 3 rumah tertuduh dimana terdapat 8 orang bersama yang dipertanggungjawab kan untuk menyempurnakanya. Dua daripada rakan baik arwah berada di tingkat bawah rumah tersebut kerana upacara ‘kenaikan’ hanya melibatkan orang-orang berpangkat sahaja.
Terdapat banyak keraguan tentang kematian arwah suami saya . Seramai 13 orang saksi termasuk tertuduh ditempat kejadian dan mengikut laporan forensik, arwah suami saya dibunuh dalam lingkungan jam 2 pagi hingga 3 pagi. Laporan polis dibuat sendiri oleh tertuduh pada jam kira – kira 5 pagi. Didalam laporan tersebut, tertuduh telah menyatakan bahawa arwah telah MEMBUNUH DIRI. Allahuakbar!! Kenapa pelaku sanggup melakukan perkara tersebut kepada arwah yang merupakan pengikut setia pertubuhan mereka? Sudah lah dibunuh dengan kejam, dituduh pula membunuh diri. Arwah masih ada iman dan saya sebagai isteri percaya akan hal itu. Adakah dengan mereka – reka cerita tidak masuk akal itu dapat menutup kesalahan si pelaku?. Kenapa nak aibkan arwah dan keluarga arwah? Selepas ke tempat kejadian polis mendapati terdapat keraguan tentang kematian arwah yang dikatakan bunuh diri. Semasa pihak polis sampai, sepucuk pistol telah diletakkan ditangan kanan arwah dan terdapat kesan tembakan di tengah-tengah dahi arwah. Cuba fikirkan bersama, adakah bunuh diri kesan tembakan boleh tepat tengah-tengah dahi?. Demi Allah, saya masih terbayang wajah arwah semasa proses pengecaman mayat di hospital tempoh hari. Mayat arwah berada dalam keadaan yang menyayat hati, berlumuran darah dengan kesan tembakan berlubang di tengah dahi. Hati isteri mana yang tidak hancur luluh apabila melihat jasad terbaring kaku berbaju melayu putih itu adalah suaminya. Tergamaknya si pelaku memperlaku begitu kepada arwah. Dimanakah sifat perikemanusian dan amalan baik yang sering dilaung – laungkan pertubuhan mereka itu?
Selepas kejadian, kesemua 13 orang individu yang berada didalam rumah tersebut telah ditahan reman bagi membantu siasatan. Selepas tertuduh mengaku bersalah kesemua individu di tempat kejadian dibebaskan dengan ikat jamin. Siasatan diteruskan menjurus kepada tertuduh dengan sebutan kes beberapa kali di Mahkamah Seksyen Kajang. Sepanjang siasatan dijalankan bermulalah pelbagai perkara yang akan cuba saya ringkaskan di sini. Pelbagai pihak samada kenal atau tidak datang menziarahi kami sekeluarga. Pelbagai sumbangan diberikan termasuk wang ringgit, susu , lampin pakai buang dan lain-lain lagi. Alhamdulillah terima kasih rezeki anak-anak, bukan saya tidak bersyukur tapi lama kelamaan kami sekeluarga mula sedar yang wang ringgit,barangan yang diberi ada agenda & tujuan tertentu untuk menutup sesuatu. Tapi bukan semua orang begitu,ada yang ikhlas terima kasih kami sekeluarga ucapkan diatas niat ikhlas hendak membantu amat kami hargai.
Pada satu malam kami sekeluarga didatangi antara 3 hingga 4 orang yang mengaku diri mereka sebagai ANGGOTA POLIS. Mereka telah datang menyerbu kediaman mertua saya. Apa yang pelik, mereka datang bersama ANAK TERTUDUH dan seorang lagi rakan arwah dengan tujuan untuk mengeledah bilik arwah. Dalam keadaan yang keliru dan masih bersedih dengan kejadian yang menimpa arwah, kami masih buntu dan tidak sempat meminta kad kuasa mereka. Pada malam tersebut, mereka datang tanpa menunjukan sebarang waran geledah atau apa-apa kad kuasa dan terus menyerbu hendak ke atas rumah bilik arwah. Untuk apa? Saya cakap ini rumah keluarga arwah, arwah tidak tinggal di sini dia tinggal bersama saya di rumah & tempat lain. Anggota polis tersebut terus mengajak saya ke rumah saya yang saya sendiri pun sudah lama tak pulang setelah kematian arwah. Saya ditemani oleh adik arwah yang juga seorang anggota polis ke rumah kami dimana tempat saya, arwah dan anak-anak tinggal. Pelbagai kemuskilan yang timbul dari mula dia datang, tiada waran atau perkenalan diri, kereta yang dinaiki kereta biasa, dan cara geledah yang tidak bersungguh-sungguh. Terdapatnya beg sandang depan yang dipakai oleh polis tersebut semasa geledah. Adik arwah ikut setiap gerak geri anggota polis tersebut kerana sangsi dengan cara kerja mereka. Menyedari mereka sedang diperhati mereka keluar rumah dengan alasan hendak menghisap rokok dan akan kembali geledah selepas itu. Menyedari baju yang dipakai oleh adik arwah terdapat tulisan yang menyatakan adik arwah adalah seorang anggota polis, mereka terus menyoal tentang kerjaya adik arwah. Setelah mengetahui bahawa adik arwah seorang anggota polis, mereka terus meminta diri untuk pulang tanpa mengeledah rumah kami buat kali kedua sebagaimana yang dikehendaki sebelum ini. Untuk apa mereka datang? Jika difikir balik sabit kesalahan tertuduh dituduh memiliki sepucuk pistol jenis Revolver dan Tertuduh juga didakwa memiliki sebutir peluru hidup tanpa lesen. Adakah kedatangan mereka hendak meletakkan barang kes di rumah arwah? Wallahualam….. Banyak persoalan yang tidak terjawab. Hanya mereka yang bermain dalam permainan ini sahaja yang tahu jawapannya.
Dalam tempoh 100 hari kematian arwah, kami sekeluarga telah dimomokkan oleh pihak tertentu bahawa Pegawai Penyiasat Polis (io) iaitu pegawai yang dipertanggungjawabkan menyiasat kes ini telah bertukar orang. Bermacam cerita yang kami dengar sepanjang kes siasatan dijalankan, semuanya adalah untuk MENGELIRUKAN kami sekeluarga. Sebenarnya masih io yang sama menyiasat kes ini tapi tidak tahu apa tujuan pihak-pihak tertentu membuat cerita ini, mungkin mereka tidak mahu kami tahu perkembangan kes sebenar yang akan diketahui melalui pegawai io itu sahaja. Akibat percaya pada pihak-pihak tersebut kami pun tidak langsung menghubungi io tersebut sehinggalah tarikh dijatuh hukuman. Pegawai io baru yang dikatakan itu pun kami tidak tahu siapa, Kami pihak keluarga langsung tidak tahu apa-apa berkaitan perkembangan kes. Kami percaya kan PDRM yang menyiasat kes ini 100%!! Atas keyakinan bahawa undang – undang di Malaysia adil dan saksama, kami telah serah pada mereka yang berwajib untuk menjalankan tugas. Tetapi malangnya, harapan tinggal harapan… kami sekeluarga terkilan dan kecewa diperlaku seperti ini .
Dalam Malaysia berlaku kes jenayah setiap hari, adakah anggota – anggota polis mempunyai banyak masa untuk datang melawat setiap keluarga mangsa dan mengeluarkan duit poket sendiri memberikan sumbangan? Saya cuba bersangka baik dengan anggota – anggota polis yang datang sebanyak 2 kali melawat keluarga kami.. tapi bukankah pelik anggota daripada tempat lain yang bukan terlibat dalam kes arwah tiba – tiba datang bertanya khabar, memantau dan menyampaikan berbagai sumbangan? Pelik kan, rombangan polis lelaki dan perempuan datang kerumah memantau keadaan keluarga, sering mesej saya dan bertanya tentang perkembangan kes. Bila saya yang tanya apa-apa perkembangan dia cakap tak tahu dan akan tanya kepada pegawai yang menyiasat. Bermakna bukan lah mereka yang kendalikan kes ni. Terdapat Pegawai Polis wanita yang turut serta dalam rombongan tersebut berpangkat ASP terserlah kepura – puraannya memberikan layanan terhadap kami. Tapi Siapa mereka? Apa tujuan mereka? Oh ya, kalau tak silap saya arwah pernah cakap pada saya yang tertuduh adalah bekas anggota polis. Mungkin juga kawan-kawan tertuduh Wallahualam…
Kepada PDRM Malaysia dan Institusi Kehakiman Malaysia saya bukan menentang perundang. Kami sekeluarga dan waris arwah hanya mahukan KEADILAN supaya perundangan Malaysia dipandang tinggi dan masih relevant. Cuba letakkan diri anda ditempat saya? Apakah yang ada rasa?. Ibu Mertua saya sehingga kini sakit – sakit dan tidak dapat menerima hakikat hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan kesalahan. Mak pernah berkata.. “Anak aku bukan ANAK AYAM.. yang mereka boleh tembak sesuka hati!! Kalau tidak dapat balasan didunia, tunggu lah balasan di akhirat nanti”. Akhir kata, saya ingin memohon kepada pihak – pihak yang terlibat agar jangan butakan mata dan pekakkan telinga.. Kejadian ini mungkin akan berlaku lagi kerana ini bukan kes pertama tertuduh dan bukan pertama kali beliau terlepas!! Wassalam….
Coretan benar dari hati,
Nor Adilawati Ishak
(Isteri Allahyarham Sahdan Ishak)
29hb Jun 2017 (Hari Raya Ke-5)