Kenyataan Umum
20 November 2014
Bajet Negeri Johor Faham Harapan Anak Muda Namun Perlu Perhalusi Beberapa Aspek
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor secara asasnya menyambut baik Bajet 2015 Negeri Johor yang telah dibentang oleh Menteri Besar pada hari Khamis lepas. Sedikit sebanyak Bajet ini turut selari dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh SAMM Johor dalam kertas cadangan Bajet 2015.
Antaranya adalah isu peluang pekerjaan untuk anak negeri perlu dititikberatkan berbanding pekerja asing, menarik lebih banyak pelabur berkompeten dalam industri strategik, usaha untuk mengatasi kesenjangan kaya-miskin, skim sewa-beli rumah dan juga dalam aspek seni budaya. SAMM Johor juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan pembangunan sukan dengan menyediakan lebih banyak projek pembangunan fasiliti sukan di negeri ini.
Walaubagaimanapun, cadangan untuk mewujudkan semula contract farming untuk memenuhi aspirasi bio-ekonomi perlulah diperhalusi dengan teliti. Sebelum ini juga telah wujud perniagaan berasaskan contract farming ini namun begitu kebanyakkannya menemui kegagalan. Hingga menyebabkan ramai peserta khususnya kelompok anak muda terpaksa menanggung hutang pinjaman modal untuk memulakan perniagaan.
SAMM Johor amatlah berharap agar Kerajaan Negeri dapat turut mendesak agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan seperti FAMA dan sebagainya dapat memainkan peranan membantu pemain-pemain contract farming ini untuk memasarkan produk mereka. Malah, MATRADE dan lain-lain GLC milik Kerajaan Negeri juga boleh turut membantu memasarkan produk hasil tani ini ke pasaran antarabangsa. Bukannya sekadar membiarkan syarikat swasta yang mengambilalih semua urus tadbir contract farming ini. Hal ini sekurang-kurangnya akan membantu peserta untuk menjana keuntungan dan mengelakkan berulangnya kegagalan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Selain itu, SAMM Johor juga memandang berat rancangan untuk menubuhkan 25 pusat perubatan termasuklah pusat perubatan swasta. SAMM Johor memahami bahawa industri hospi-tourism akan membantu menjana pulangan kepada ekonomi.
Namun ia juga seharusnya turut memudahkan akses rakyat tempatan khususnya anak negeri Johor ke pusat perubatan swasta. SAMM Johor menyeru agar KPJ dapat menawarkan insentif kos rawatan yang lebih rendah kepada anak-anak negeri ini.
SAMM Johor juga menegaskan penolakan kami terhadap rancangan loji tenaga nuklear daripada didirikan di negeri ini. Walaupun ia merupakan rancangan Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri diharap dapat mempamerkan ketegasan Johor dalam menolak rancangan yang berisiko tinggi ini.
SAMM Johor berharap agar Johor akan muncul sebagai sebuah negeri yang maju dan berpendapatan tinggi dengan amalan sebuah pentadbiran yang baik, ekonomi yang mapan dan melestarikan alam. SAMM Johor juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor turut mendengar cadangan dan pandangan kelompok anak muda Johor
Hadzril Ridzal
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor
No comments:
Post a Comment