Tulisan santai
9 November 2014
LELAKI BUDIMAN, POLITIK BUDIMAN DAN BUDAK BUDIMAN
Saya sangat menggemari filem. Selepas buku, saya akan meletakkan filem untuk saya mengetahui tentang apa saja dalam dunia ini.
Buku dan filem juga membawa saya mengembara ke mana saja dan memahami banyak perkara tanpa berada di alam nyata.
Jika saya ditanya tentang filem apakah yang sangat menyentuh hati saya, saya akan terus menamakan filem An Education.
Filem arahan Lone Scherfig ini sangat menyentuh jiwa saya. Filem yang pernah memenangi 36 anugerah dan dicalonkan untuk 70 pencalonan ini sangat menambat jiwa saya.
Semuanya kerana BUDIMAN. Bagaimana Carey Mulligan yang berwatak Jenny Mellor sangat tertarik dengan seorang Yahudi Peter Sarsgaard ( watak dalam filem sebagai David Goldman) yang sangat bersifat budiman.
Bagaimana sifat budiman itu ditunjukkan? Saya mengesani dalam beberapa babak yang nampak ringkas namun bagi saya ia sangat berkesan.
Antaranya ialah ketika di dalam hujan yang lebat, David Goldman berhenti kereta dan membantu seorang perempuan tua melintas jalan. Bajunya habis basah. Kejadian ini diperhati dengan penuh khusuk oleh Jenny Mellor dan menjadikannya tertarik kepada lelaki itu.
Selain itu, filem ini amat terkesan kerana runut bunyi juga sangat bersesuaian dengan jalan ceritanya. Lagu Smoke Without Fire nyanyian Duffy sangat mengesankan.
Ia sungguh mendayu-dayu dan mencakar gelora jiwa Carry yang sedang kecewa. Bagi saya filem yang baik adalah adunan runut bunyi yang baik dan kena dengan ceritanya.
Setakat ini, filem Malaysia yang sebegini hanyalah filem Layar Lara. Anda seharusnya menonton cerita ini. Maksud saya filem An Education.
Kita tinggalkan seketika tentang filem itu.
Ketika Muktamar Pemuda di Kota Tinggi baru-baru ini, saya terkesima dengan Ketua Pemuda Pas, saudara Suhaizan Kayat menyebut tentang politik budiman.
Segera otak saya teringatkan cerita An Education itu. Saya cuba menyelongkar makna dan hasrat Suhaizan untuk menggambarkan politik budiman itu, ternyata ia sangat sepadan dengan politik Malaysia ini. Saya menyokongnya.
Mungkin apabila berkesempatan nanti, saya akan cuba mencungkil bagaimana cara Suhaizan menyelongkar ideanya dan apakah makna sebenar politik budiman yang dimaksudkannya.
Malam ini, saya mendapat panggilan daripada adik saya menyatakan ayah tiri sedang sakit. Saya ke HUSM untuk melawatnya.
Bersama-sama saya ialah isteri saya dan anak-anak saya serta ibu saya. Oleh kerana ibu saya demam, saya singgah di farmasi untuk membeli panadol.
Panadol habis di farmasi itu menyebabkan saya perlu berjalan sedikit jauh di dalam hujan untuk ke Seven Eleven.
Saya hampir kuyup ketika masuk ke dalam Seven Eleven itu. Saya meminta sepapan panadol dan sebotol air.
Kesemuanya berharga RM 5.80. Duit saya tidak mencukupi 60 sen. Jika saya kembali ke kereta, saya terpaksa meredah hujan untuk kesekian kalinya.
Jika tidak membeli air, bagaimana ibu saya mahu menelan ubatnya.
Sedang sibuk memikirkan masalah itu, budak lelaki yang bekerja pada malam itu menyuarakan...." bang, ambilah air dan ubat itu, duit abang yang tidak cukup itu saya tolong tambahkan".
Terkesima seketika. Budak ini sungguh budiman.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan menyusur ke kereta. Saya kemudiannya singgah memberi kepadanya note RM 10 kepada budak budiman tadi tanpa mengambil bakinya. Ambilah adik budiman. Itu rezeki awak. Dia tersipu.
Anda faham apa makna budiman yang saya maksudkan?
Budiman bagi saya ialah perasaan segar yang menusuk ke kalbu bila melihat atau mendapat sesuatu kehendak yang di ingini.
Namun budiman itu tidak disedari oleh tuan punya pembuatnya tapi disedari oleh orang yang melihat dan mendapat sesuatu daripadanya.
Saya melihat kesinambungan itu pada watak lelaki yahudi dalam An Education, bilamana David Goldman dianggap budiman bila dia sanggup berbasah untuk membantu perempuan tua melintas jalan.
Budak budiman Seven Eleven itu pula bila dia menambah 60 sen di saat saya sangat memerlukannya.
Untuk politik budiman pula, saya melihat Suhaizan cuba menjadikan Pemuda Pas sebagai pemuda yang membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
Beliau menunjukkan solidariti kepada sesiapa sahaja yang tertindas. Saya melihatnya sebegitu dan merasakan politik budimannya bergerak ke arah itu.
Saya perlu menanti untuk 3 peristiwa yang berkaitan budiman, barulah saya mampu menghidangkannya kepada anda semua.
Saya sangat berharap anda dapat mengutip sesuatu untuk kali ini. Jadilah seorang yang BUDIMAN.
Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan
Nice info
ReplyDelete