VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Wednesday 17 September 2014

Kenyataan Menteri Kerja Raya Berhubung Kadar Tol Tambak Johor Adalah Satu Wayang Opera



Kenyataan Umum
17 September 2014

Kenyataan Menteri Kerja Raya Berhubung Kadar Tol Tambak Johor Adalah Satu Wayang Opera

1. Susulan kepada kenyataan Menteri Kerja Raya, Dato' Fadillah Yusof bertarikh 13 September 2014 seperti yang disiar di laman BERNAMA bahawa langkah menaikkan kadar tol di Causeway adalah hak prerogatif negara Singapura. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor sangat maklum akan hak prerogatif sesebuah negara merdeka seperti Malaysia dan Singapura untuk menentukan kadar tol dalam negara masing-masing. 

2. Namun begitu, situasi di Tambak Johor ini sedikit unik. Penetapan kadar tol di pintu masuk antara negara ini adalah berkadar langsung antara satu sama lain. Ia bukanlah satu amalan asing, sebaliknya telah lama digunapakai. Kerana perjanjian ini maka sudah pastilah, Singapura akan turut menaikkan kadar tol Causeway sebaik sahaja Malaysia menaikkan kadar tol EDL-CIQ. Begitulah juga yang akan berlaku, jika Malaysia bersedia untuk memansuhkan tol di CIQ. 

3. BERNAMA juga menyatakan "Pada masa yang sama, beliau berkata kadar tol di Tambak Johor kekal RM2.90". SAMM Johor menuntut penjelasan daripada Menteri akan tol manakah yang dirujuk oleh beliau dalam kenyataan tersebut. 

4. Umum telah mengetahui bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telahpun mengumumkan kadar caj tol baharu EDL-CIQ berkuatkuasa 1 Ogos 2014. Kenaikan pada kadar 470%. Jadi, adakah Menteri tidak mengetahui kenaikan ini atau Menteri sedang bercakap mengenai kadar tol yang lama?

5. Ataupun secara tidak langsung, Menteri memberikan pengesahan bahawa kenaikan tol EDL-CIQ 1 Ogos adalah untuk menampung pembiayaan pampasan pengambilalihan EDL. Di mana kadar tol yang sebenar adalah RM2.90 untuk kenderaan dari Singapura ke Malaysia. Dan lebihan RM 6.80 itu dibayar kepada MRCB. 

6. Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa kenaikan caj tol di CIQ, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah untuk penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan yang disediakan di BSI. Hasil carian maklumat SAMM Johor, BSI adalah dimiliki oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri dan Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti pula diuruskan oleh Advance Maintenance Precision Management. Sedangkan LLM menyebut kadar tol baharu CIQ BSI adalah untuk membolehkan pemegang konsesi EDL, untuk mengutip tol bagi menampung kos pembinaan dan penyelenggaraan lebuhraya tersebut. 

7. Sudah terang lagi bersuluh, kenaikan kadar caj tol EDL-CIQ ini adalah kerana untuk membayar pemegang konsesi tol, maka Menteri tidak harus menggunakan "trick" usang dengan mengeluarkan alasan untuk penyelenggaran BSI. Menteri tidak patut menjadikan rakyat untuk turut sama keliru dengan penjelasan-penjelasan begini. 

8. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pada tarikh 29 Julai 2014 telah menyatakan, "goverment to ensure local road users not burden with CIQ toll". Apakah yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan sehingga kini? 

9. Telah dua bulan kenaikan kadar tol CIQ ini dikuatkuasakan. Dan bulan Oktober 2014, Singapura pula akan mengikut jejak langkah Malaysia. Adakah ini salah satu usaha Kerajaan Persekutuan untuk tidak membebankan pengguna? 

10. Ini menunjukkan kenyataan TPM yang berasal dari Johor itu hanya satu wayang kulit untuk menyedapkan hati rakyat Johor sahaja. Mana mungkin orang nombor dua dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak mengetahui akan perjanjian pakej tol Malaysia-Singapura dimana bayaran tol di Singapura adalah sama dengan bayaran tol yang dikenakan oleh Malaysia. 

11. Hakikatnya, Kerajaan Pemerintah seringkali tunduk kepada pelobi kapitalis besar dan kemudiannya mengeluarkan kenyataan wayang opera untuk menunjukkan bahawa mereka sedang melakukan usaha terbaik untuk rakyat Johor.

12. SAMM Johor dengan ini menyeru Kerajaan Persekutuan tidak lagi bermain wayang sebaliknya mula mengambil langkah yang betul untuk mengurangkan beban pengguna dan kaum pekerja yang berulang-alik ke Singapura setiap hari. Perdana Menteri atau Menteri Luar harus segera mengadakan perundingan dengan Kerajaan Singapura dalam isu berkepentingan bersama termasuklah isu kenaikan kadar tol dan VEP. Kedua-dua Kerajaan Pemerintah haruslah memberikan justifikasi kenaikan kadar tol dan VEP dengan cara yang lebih munasabah dan penuh semangat kejiranan. 

13. Perlumbaan kedua-dua Kerajaan Pemerintah untuk menaikkan kadar tol dan VEP ini akhirnya memangsakan rakyat kedua-dua negara yang sering berulang-alik antara Malaysia-Singapura. Tambahan lagi, Kerajaan Persekutuan juga perlu memikirkan impak kenaikan tol ini kepada ekonomi domestik Johor termasuklah menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana di bandaraya Johor Bahru. 

SETIA BERSAMA JOHOR

ROSLEE MOHD SHARIFF
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.