1. Pemimpin Amanah, Bersatu, dan PKR telah pun menyatakan ketidaksetujuan mereka untuk ICERD dilaksanakan. DAP sendiri telah menyatakan mereka menyerahkan soal ICERD ini kepada keputusan PM. Dari Port Moresby, PM telah menyatakan mustahil ICERD dilaksanakan kerana pelaksanaan ICERD melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
2. Oleh itu, setelah perhimpunan di Pasir Salak, perlukah lagi pembangkang mengadakan perhimpunan membantah ICERD pada 8 Disember ini? Buat apa hendak mencetuskan keharmonian hubungan kaum dalam keadaan pemimpin kerajaan telah bersuara untuk tidak meratifikasikannya.
3. Jangan ditegangkan lagi suhu politik negara dengan ucapan seperti sanggup bermandi darah dan lainnya yang membahayakan negara. Jangan dijadikan isu ICERD ini sebagai modal politik untuk membangkitkan politik perkauman.
4. Jika hendak diadakan juga perhimpunan pada 8 Disember ini, tukarlah perhimpunan tersebut kepada perhimpunan mengangkat isu rakyat. Pekebun kecil menangis sekarang dengan harga kelapa sawit dan getah yang murah, peniaga terhimpit dengan kuasa beli rakyat yang rendah, anak muda resah dengan janji peluang 1 juta pekerjaan yang tidak ada, janji PTPTN yang tidak terlaksana, dan rakyat seluruhnya cukup gelisah dengan kos hidup yang tidak turun.
5. Tidakkah mengadakan perhimpunan memperjuangkan nasib hidup rakyat itu lebih baik daripada membangkitkan sentimen ICERD yang bukan pun isunya lagi?
-Prof Agus
No comments:
Post a Comment