VOTE ONLINE PASCA PRU14:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

Blogger Kool

Saturday, 6 October 2018

Kedah Umum Hentikan Pembalakkan Untuk Menjaga Sumber Air Kepada Rakyat


KENYATAAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

“KEDAH TINJAU SUMBER BAHARU GANTI HASIL PEMBALAKAN”

1.​ Umum mengetahui bahawa Kedah Darul Aman tidak mempunyai sumber asli yang menjana kekayaan seperti minyak dan gas. Hasil hutan, bahan mentah seperti bijih besi dan timah serta galian lain juga terhad. Semua ini bukan sumber pendapatan yang mampu menyumbang kepada kekayaan Negeri sehingga dapat memakmurkan seluruh Rakyatnya.

2.​ Jika Kedah Tua dahulu tersohor seantero dunia sebagai pembekal bijih besi yang paling bermutu tinggi, kini jumlahnya tidak lagi cukup untuk menjadikan industri pembuatan besi sebagai sektor pertumbuhan ekonomi yang signifikan. Begitu juga dengan galian yang lain, termasuk pasir.

3.​ Sektor pertanian pula tertumpu kepada padi yang tertakluk di bawah dasar Jaminan Bekalan Makanan. Pelbagai bentuk subsidi disediakan, namun petani tetap tidak tergolong antara yang kaya.

4.​ Malah untuk memastikan bekalan air untuk tujuan penggunaan Rakyat serta untuk membekal kepada industri padi, sebahagian daripada hutan di Kedah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal atau Kawasan Tadahan Air. Walaupun begitu, Kedah masih menghadapi masalah dalam pembekalan air bagi kedua-dua tujuan itu, selain pembekalan air kepada negeri jiran Pulau Pinang dan Perlis.

5.​ Bagi memastikan agar sumber air tidak terjejas akibat daripada pembalakan, dan bagi menyahut desakan pelbagai pihak baik agensi Kerajaan mahupun Badan-Badan Bukan Kerajaan, maka saya telah memutuskan untuk menghentikan kerja-kerja pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda.

6.​ Kawasan ini sangat kaya dengan flora dan fauna. Hutannya menjadi habitat kepada ribuan spesis hidupan liar dan tumbuhan, selain menjadi sumber air bagi sebahagian besar penduduk Kedah dan jiran-jirannya.

7.​ Semua permohonan baharu bagi konsesi pembalakan di kawasan-kawasan pengeluaran balak di Hutan Simpan Ulu Muda yang sememangnya dibenarkan di bawah pengurusan hutan telah ditolak. Konsesi-konsesi lama pula telah dihentikan. Kerajaan Negeri sedang meneliti kesan undang-undang yang mungkin timbul akibat daripada pembatalan konsesi-konsesi lama.

8.​ Ada beberapa perkara yang telah diambilkira ketika keputusan ini dibuat. Pertamanya ialah soal pembekalan air mentah kepada Pulau Pinang dan Perlis. Oleh kerana ini melibatkan rundingan dengan kedua-kedua negeri tersebut, maka saya tidak boleh mendedahkan apa strategi Kedah dalam menguruskan hal ini. Cukup sekadar saya menyatakan bahawa pendekatan menang-menang sedang dirangka.

9.​ Keduanya ialah usaha untuk mencari sumber yang baharu bagi mengganti hasil hutan yang konvensional. Untuk tujuan ini, saya telah memulakan perbincangan ringkas bersama pihak Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Kerjasama yang bakal dijalin dengan WWF sangat berpotensi.

10.​ Selain itu saya juga telah berhubung dengan pihak Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang menjadi penggerak utama Program Pengurangan Emisi akibat daripada Pembalakan dan Degradasi Hutan (Reducing Emissions from Deforestation and Degradation of the Forest - REDD).

11.​ Dari perbincangan dengan pengurus-pengurus REDD di Pejabat UNDP di New York pada 25 September yang lepas, jelas sekali mereka sangat teruja dengan pendirian Kerajaan Negeri Kedah, lantas terus mengajak saya menyertai sesi perbincangan mengenai Hutan dan Kewangan (Forest and Finance) di Pejabat Wakil Jerman ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu keesokan malamnya.

12.​ Perjumpaan dengan pakar-pakar dalam bidang kewangan dan kelestarian hutan benar-benar mendedahkan saya kepada pelbagai pendekatan yang telah atau sedang diambil oleh banyak negara-negara lain yang menghadapi isu yang sama seperti Kedah. Kejayaan yang telah dicapai oleh Brazil dan Peru, contohnya boleh dijadikan asas untuk merangka strategi Kedah.

13.​ Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan perjumpaan dengan UNDP serta tokoh-tokoh lain yang mewakili negara-negara yang terlibat di bawah Program REDD, serta pengisian perbincangan yang telah kami kendalikan.

14.​ Saya juga yakin bahawa hubungan dan kerjasama yang bakal dijalin dengan pelbagai pihak itu akan banyak membantu Kedah mengurus dan menjamin kelestarian khazanah hutan rimba sambil menerokai potensi aktiviti ekonomi seperti eko-pelancongan yang akan meningkatkan hasil pendapatan Negeri Kedah dan Rakyatnya, in shaa Allah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.