VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Monday, 3 November 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity



Siaran Umum
03 November 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim telah mengungkapkan, “Wahai rakyat Sabah kawasan ESSZONE yang dikendalikan oleh ESSCOM ini ialah kawasan yang selamat” sewaktu sesi jawap lisan Dewan Rakyat bertarikh 30 Oktober 2014.

Namun, di sebelah petang hari yang sama, berlaku kejadian tembak menembak di Penampang, Sabah. Media pada mulanya menyatakan kejadian ini mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu tetapi PDRM Sabah menyatakan bahawa kejadian ini adalah berhubung dengan penjenayah yang memang dikehendaki pihak Polis.

Menteri juga menyatakan bahawa Sabah ketika ini lebih selamat berbanding Kuala Lumpur. Apakah Menteri ingin mengatakan bahawa pihak KDN gagal dalam menjaga keselamatan di Kuala Lumpur? Bagaimana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan sebegini rupa di dalam Dewan Rakyat? Ini akan menghantar mesej yang mengelirukan kepada dunia akan aspek keselamatan di ibu negara kita?

Solidariti Anak Muda Malaysia menyifatkan inilah kenyataan politik paling tidak bertanggungjawab yang pernah dibuat oleh seorang Menteri.

SAMM ingin memperingatkan Menteri, sebelum beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa, beliau haruslah meneliti beberapa perkara.

Lanjutan Tempoh Perintah Berkurung

Pertamanya adalah tempoh perintah berkurung yang bermula semenjak 16 Julai 2014 dan kemudian seringkali dilanjutkan. Terkini perintah berkurung ini dilanjut sehingga 6 November 2014.

Pesuruhjaya Polis Sabah semasa mengumumkan lanjutan tempoh perintah berkurung menyebutkan sebab utamanya adalah kerana untuk menjamin ketenteraman dan kedaulatan negara. Apakah ini bermaksud tanpa perintah berkurung itu ketenteraman dan kedaulatan negara berada dalam yang berisiko.

Jika sudah berada dalam keadaan selamat seperti yang dikatakan oleh Menteri, mengapa perlu perintah berkurung ini dilanjutkan lagi? Telah hampir 4 bulan perintah ini dikenakan dan masih tidak kelihatan tanda-tanda ia akan ditamatkan.

Kedua, kes penculikan pengusaha sangkar ikan di Kunak yang telah berlanjutan sehingga 5 bulan. 31 Oktober 2013, waris mangsa yang juga merupakan isterinya telah merayu pelbagai pihak untuk mengusahakan pembebasan segera suaminya. Kumpulan penculik mengancam untuk memenggal kepala suaminya jika beliau gagal menyediakan wang tebusan RM 3 juta sehingga November ini.

Menteri sepatutnya berusaha gigih mencari jalan untuk operasi menyelamatkan mangsa. Bagaimana rasanya Menteri jika berada di dalam keadaan si isteri tersebut? Sudahlah dalam keadaan tekanan emosi ekoran kerisauan terhadap keselamatan si suami ditambah pula dengan tekanan lebih 200 kali panggilan telefon daripada kumpulan penculik yang meminta wang tebusan dan mengancam untuk mencabut nyawa suaminya. Apakah Menteri tidak mempunyai naluri keinsanan?

Mengapa Perdana Menteri yang begitu bersemangat mengumumkan untuk mencari pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 sehingga ke lubang cacing tidak membawa semangat yang sama untuk membebaskan mangsa penculikan ini? Mengapa Perdana Menteri yang begitu "heroic" sekali mengadakan rundingan pintu belakang dengan kumpulan pemisah Ukraine tetapi tidak mengambil langkah tegas bersama Kerajaan Filipina bagi membebaskan mangsa? Adakah nyawa rakyat Sabah tidak bernilai? Adakah mangsa penculikan bukan insan yang perlu dibebaskan dengan segera?

Ketiga Laporan Suruhanjaya DiRaja berhubung Pemberian Kad Pengenalan di Sabah sehingga kini masih lagi tidak diumumkan. Apakah penemuan Suruhanjaya ini? Apakah syor dan cadangan Suruhanjaya ini? Laporan Suruhanjaya ini penting untuk mengenalpasti punca sebenar keselamatan Sabah ini tergugat.

Menteri di JPM tidak boleh melengahkan lagi pembentangan kertas putih Laporan Suruhanjaya DiRaja ini di Dewan Rakyat. Justeru, SAMM mendesak Kerajaan Pemerintah untuk membentangkannya sebelum sesi mesyuarat ketiga, Penggal Kedua, Dewan Rakyat ini berakhir. Kegagalan Kerajaan untuk membentangkan laporan ini dalam kadar segera hanya akan menambah buruk keadaan keselamatan di Sabah.

Aspek keselamatan dalam negara dan kebocoran pintu sempadan ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Ia bukan sekadar melibatkan penyeludupan beras dan bahan bakar, sindiket pemerdagangan manusia dan dadah malah yang paling dibimbangi adalah penyeludupan senjata api dan aktiviti keganasan yang boleh meruntuhkan ketenteraman dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, SAMM menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan keseluruhan kabinet Pemerintah masih bersikap angkuh dan berada dalam kecelaruan. Sikap "denial" ini tidak menambahbaik aspek keselamatan dalam negara. Menteri dinasihatkan supaya tidak menunjukkan sikap seorang "Master Of Stupidity".

Menteri sepatutnya fokus untuk menamatkan krisis keselamatan di Sabah. Cukuplah bermain wayang politik di Dewan Rakyat dengan seringkali membelasah Pembangkang dengan sarkastik, tetapi sebenarnya tidak berupaya untuk menjalankan tugas dan amanah sebagai seorang Menteri. Sabah bukanlah anak tiri Malaysia tetapi sebuah wilayah yang perlu kita tatang dengan saksama seperti Semenanjung dan Sarawak.

Bekerjalah wahai Menteri. Kerusi Menteri itu bukanlah tiket bulan madu untuk Menteri menikmati percutian setelah diketepikan daripada menjadi Menteri Besar Perlis.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.