Kenyataan Media Rafizi Ramli
13 November 2018
JPP MESTI MEMPERBETULKAN SEGALA KELEMAHAN PEMILIHAN SUPAYA KEPUTUSAN ADA KREDIBILITI
Saya dipanjangkan satu kenyataan media yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dato’ Rashid Din pagi ini.
Kenyataan JPP itu mengumumkan keputusan JPP mengenai beberapa isu yang menimbulkan keraguan anggota parti mengenai ketelusan dan kredibiliti proses pemilihan, iaitu:
1. Pengesahan JPP sendiri pada hari Sabtu lalu (10 November 2018) bahawa tablet yang digunakan untuk pengundian di Cabang Julau telah dicerobohi pada jam 4 pagi hari itu dan aplikasi “Prey” (yang tidak sepatutnya ada di dalam tablet) telah dikesan.
2. Ada data yang bercampur aduk dengan pengundian di cabang lain dari minggu-minggu sebelumnya, lalu menyebabkan keputusan di Cabang Pensiangan dan Cabang Tawau mempunyai masalah data. JPP sendiri mengakui bahawa ini berpunca dari kegagalan JPP sendiri untuk mengemaskini aplikasi e-undi ke versi terkini (ver8.0(34)).
3. Undi ragu hanya akan dikira bagi cabang-cabang terpilih di peringkat cabang sahaja, sedangkan ada sekurang-kurangnya 5,000 undi ragu di seluruh negara yang belum dikira.
Ketiga-tiga keputusan JPP itu memangsakan ratusan ribu anggota KEADILAN yang bersusah payah keluar mengundi sedangkan ketiga-tiga masalah itu berpunca dari kelemahan JPP sendiri:
i. Individu yang ditangkap sedang memadamkan aplikasi “Prey” dari beberapa tablet di Cabang Julau adalah Alvin Teoh, Ketua Unit IT JPP yang diketahui umum penyokong kuat saingan saya Saudara Azmin Ali. Ada rakaman video yang jelas beliau bergerak dari satu tablet ke tablet yang lain untuk memadamkan aplikasi “Prey” sebelum ditangkap. Malah, ada juga rakaman video yang menunjukkan telefon beliau juga mempunyai aplikasi “Prey”. Semua bukti ini telah diserahkan kepada pihak polis yang menyiasat kes ini.
ii. JPP cuai sehingga tablet-tablet dicerobohi dan membolehkan beberapa tablet dipasang dengan aplikasi “Prey” tanpa pengetahuan dan spesifikasi dari pembangun aplikasi. Ketua Unit IT JPP yang turut sama bertanggungjawab memastikan tablet-tablet ini selamat dan bebas dari digodam adalah Alvin Teoh, yang sudah pasti telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya apabila tablet-tablet ini dicerobohi pada jam 4 pagi seperti yang diakui oleh JPP sendiri.
iii. Pengerusi JPP sendiri mengakui bahawa kewibawaan data (“data integrity”) bagi pemilihan di Cabang Julau sudah terjejas dan membuat keputusan menggantung keputusannya akibat cubaan menggodam sistem e-voting, seperti laporan media yang jelas memetik keterangan Dato’ Rashid Din sendiri (rujuk laporan Berita Harian https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/11/496797/serangan-sistem-e-undi-perbuatan-terancang-jpp):
Serangan sistem e-undi perbuatan terancang - JPP
Oleh Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mendakwa sistem e-undi pusat pemilihan di Julau, Sarawak yang gagal berfungsi adalah perbuatan terancang pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusinya, Datuk Rashid Din, berkata perisian yang ‘menyerang’ sistem dan tujuh tablet e-undi sama seperti yang digunakan JPP pada pemilihan ini tetapi jenamanya berbeza.
Beliau tidak menolak perisian yang dimuat turun dalam tablet berkenaan boleh dikawal dari jauh yang mungkin berada di luar negara, namun masalah itu sedang disiasat pihaknya.
“Aplikasi itu semua orang boleh muat turun. Ia adalah aplikasi keselamatan. Kita (JPP) pun pakai tetapi kita pakai (guna) jenama lain. Kita pun guna untuk lindungi data dalam tablet.
“Kalau anda ada aplikasi dalam peranti, kita boleh kawal semua tablet berkenaan (disediakan dalam pemilihan). Kalau tablet itu hilang atau dicuri, kita boleh ‘bersihkan’ semua data dalam peranti berkenaan.
“Pusat kawalan boleh kawal di mana-mana, (jejak) muat turun di mana, atau (boleh tahu) duduk di mana London atau Sydney. Ini kira macam terancang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
*Sebab itu, keputusan JPP dalam kenyataan pagi ini bahawa kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-voting digodam di Cabang Julau, tidak mempunyai apa-apa kesan kepada kewibawaan data (“data integrity”) adalah tidak masuk akal.*
*Ia adalah kenyataan yang 100% bertentangan dengan kenyataan awal yang dikeluarkan oleh JPP sendiri.*
*Kenyataan dan keputusan yang bertukar-tukar ini menyebabkan anggota parti semakin hilang keyakinan dengan kredibiliti keseluruhan proses pemilihan dan keputusannya.*
Saya tidak begitu kisah dengan keputusan pemilihan kerana ia satu proses dalaman, tetapi pengendalian pemilihan perlulah dibuat dengan setelus mungkin supaya anggota-anggota parti boleh menerima sepenuhnya keputusan.
Sepanjang pengendalian pemilihan, JPP bukan sahaja gagal menguruskan operasi dengan baik (yang dipertanggungjawabkan kepada Azman Hendra, Timbalan Pengerusi JPP dan Ismail Yusof, Setiausaha JPP) sehingga berlaku masalah-masalah yang disebutkan di atas, malah JPP juga gagal untuk menerangkan perkara-perkara yang diputar belitkan.
Contohnya, kontroversi mengenai keanggotaan di Cabang Julau telah dijadikan bahan mainan politik sehingga mencemarkan nama baik parti sedangkan fakta-faktanya telah dipersetujui berkali-kali di dalam Biro Politik dan turut melibatkan kehadiran JPP sendiri, iaitu:
i. Pimpinan yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan YB Larry Sng ke dalam KEADILAN adalah Saudara Azmin Ali dan rakan-rakan beliau sendiri
ii. Pimpinan yang mengumumkan kemasukan YB Larry Sng ke dalam KEADILAN adalah Saudari Zuraida Kamaruddin
iii. Pimpinan yang bertegas mahukan permohonan keanggotaan diterima dengan menggunakan “thumb-drive” tanpa menggunakan sistem keanggotaan atas talian adalah Saudari Zuraida Kamaruddin
iv. Ada banyak lagi cabang-cabang yang tidak mengisi borang keanggotaan (baik borang kertas atau atas talian) dan keanggotaan baru hanya dihantar melalui “thumb-drive”, termasuklah dari Cabang Batu (yang dibawa oleh Saudara Tian Chua) dan Cabang Kudat (yang dibawa oleh Saudari Zuraida Kamaruddin)
v. Jawatankuasa Keanggotaan yang telah menyemak dan meluluskan kembali semua permohonan keanggotaan ini (termasuk dari Cabang Julau yang kemudiannya mereka persoalkan apabila Cabang Julau memilih untuk tidak menyokong mereka) diketuai oleh Saudara Xavier Jeyakumar, orang kanan kepada Saudara Azmin
vi. JPP sendiri telah menyemak borang-borang keanggotaan dari Cabang Julau dan mendapati setakat semakan (satu dari tiga kotak borang keanggotaan), lebih 6,000 permohonan dari 13,000 permohonan mempunyai borang yang sah
vii. JPP sendiri mengakui bahawa sehingga kini, keanggotaan melalui “thumb-drive” yang dibawa oleh Saudara Tian Chua dan Saudari Zuraida masih belum disertakan dengan borang permohonan yang sah
viii. Permohonan keanggotaan Cabang Julau telah dihantar ke ibu pejabat KEADILAN sejak awal Jun 2018 lagi, tetapi disebabkan sistem yang tidak dapat menangani kemasukan terlalu ramai anggota dan ketiadaan kakitangan untuk memasukkan setiap permohonan ke dalam sistem, ada tunggakan borang-borang yang akhirnya dimasukkan sekaligus. Ini memberikan gambaran keseluruhan 13,000 anggota dari cabang Julau masuk pada satu hari, sedangkan hakikatnya ia berlaku kepada 43,000 permohonan dari seluruh negara (termasuk cabang-cabang yang rapat dengan Saudara Azmin) akibat lambakan permohonan yang dihantar sejak 9 Mei 2018
Apabila ada pihak-pihak yang secara berterusan memberi tumpuan kononnya ada penipuan di Julau tetapi tidak pula menimbulkan isu yang sama mengenai keanggotaan Cabang Batu atau Cabang Kudat (atau cabang-cabang lain yang rapat dengan Saudara Azmin), ia boleh diperbetulkan dengan mudah oleh JPP untuk memastikan anggota yakin dengan ketelusan proses pemilihan kali ini.
Sudah tentu saya berpendapat keputusan-keputusan JPP pada hari ini adalah tidak adil kepada saya dan rakan-rakan lain serta anggota parti keseluruhannya.
Apabila masalah data di Cabang Pensiangan diselesaikan, dijangkakan saya hanya ketinggalan sekitar 2,000 undi di belakang Saudara Azmin. Pengundian semula di Cabang Julau (kerana pengundian yang lepas telah hilang wibawa apabila tablet dicerobohi) akan memberi kelebihan secara keseluruhan kepada saya jika jumlah pengundi yang keluar melebihi 2,000 orang.
Saya tahu JPP didesak untuk tidak meneruskan dengan pengundian semula, walaupun sebelum itu JPP sendiri yang mengakui sistem e-voting di Julau telah digodam dan tablet-tablet telah dicerobohi.
Saya yakin perkara-perkara ini akan dibincangkan di Biro Politik malam ini yang perlu mempertimbangkan:
1. Dengan keputusan pemilihan yang begitu sengit (*jika pemilihan di Julau tidak diteruskan dan data pengundian yang telah digodam digunakan, Saudara Azmin dijangka menang dengan kelebihan ~1,500 undi dari sekitar 140,000 anggota yang mengundi, iaitu margin ~1% sahaja*), adakah adil dan telus menggunakan data yang digodam di Julau sedangkan pengundian semula boleh menghilangkan persoalan itu?
2. Sesiapa pun yang menang dengan kelebihan margin ~1% sahaja dengan berlatar belakangkan pelbagai masalah proses pengundian setakat ini (seperti dihurai di atas), akan mengundang pelbagai persoalan mengenai keabsahan (“legitimacy”) barisan kepimpinan KEADILAN bagi penggal akan datang;
3. JPP tidak boleh mencuci tangan mengenai segala masalah data (termasuk data yang hilang dengan banyak di Cabang Pensiangan) dan perlu menyelesaikannya dengan segera;
4. JPP tidak boleh menolak kesemua undi ragu seperti yang diumumkan dan membuka setiap undi ragu kerana jumlahnya yang banyak (dianggarkan melebihi 5,000 di seluruh negara) boleh mempengaruhi keputusan pemilihan;
5. Jika alasan JPP bahawa undi ragu hanya diteliti bagi cabang-cabang yang keputusannya sengit (melibatkan margin yang kecil), bagaimana pula dengan keputusan Timbalan Presiden dan MPP yang keputusannya hanya berbeza sekitar 1%?
6. Satu tindakan keras di dalam parti perlu diambil terhadap Alvin Teoh atas segala kelalaian dan kelemahan beliau sebagai Ketua Unit IT JPP sehingga menimbulkan keraguan terhadap sistem e-voting dan keputusan pemilihan 2018, sementara kes ini disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa; dan
7. JPP perlu meminta maaf kepada kesemua anggota KEADILAN atas semua kelalaian dan kelemahan yang mengundang pelbagai kontroversi dalam pemilihan 2018 ini.
Sebagai aktivis parti yang sayangkan parti, mewakili ribuan lagi pimpinan dan aktivis parti yang lain, saya percaya kami boleh menerima segala keputusan pemilihan, asalkan ia dikendalikan dengan adil dan saksama mengambil kira perkara-perkara di atas.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Untuk yang lagi galau, yang lagi bosan tidak tahu mau ngapain,
ReplyDeletetenang,,sekarang ada yang akan menghibur kalian sekaligus
mengisi hari-hari kalian dengan games" online yang pastinya tidak akan
mengecewakan kalian deh...
yuk ikutan gabung bersama Pesonasaya.com
Dapatkan Bonus Rollingan TO Sebesar 0,3 - 0.5% / Hari
Bonus Referral Sebesar 20% Seumur Hidup
* Minimal deposit hanya Rp 20.000
* Minimal tarik dana Rp 20.000
* Dilayani oleh CS profesional dan ramah
* 24 jam online
* Proses Depo & WD super cepat
* No ROBOT MURNI PLAYER VS PLAYER
* kamu berkesempatan menangkan Jackpot setiap harinya.
Info lebih lanjut silahkan hubungi CS 24 Online Setiap hari melalui :
* PIN BBM : 7A996166
* WA : +85511817618
Salam Sukses Pesonaqq.com