VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Saturday, 22 December 2018

Rakyat Sudah Kecewa Dengan Kerajaan PH. Apa Yang Perlu Mahathir Perlu Buat?


Dr M perlu lakukan sesuatu

SUNGAI PETANI: Tiada perancangan dan hala tuju jelas ke arah Malaysia Baharu menyebabkan rakyat mula kecewa dengan kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Dato' Johari Abdul, berkata kegagalan memahami konsep Malaysia Baharu menyebabkan kerajaan mengulangi kesilapan lama yang dilakukan kerajaan terdahulu.

“Kalau tanya apa Malaysia Baharu dekat orang BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mereka pun tidak faham apa. Kalau niat hendak jatuhkan (Datuk Seri) Najib (Razak), Najib sudah jatuh. Sekarang kita hilang punca tidak tahu hendak pergi ke mana.

“Lepas itu, kita ulang balik perkara yang rakyat tidak suka. Ini tidak membantu. Apa yang dinyatakan Lim Kit Siang itu ada betulnya, apabila 20 tahun kita melawan Barisan Nasional (BN) kita perlu tahu apa hendak buat sekarang,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penasihat DAP, Kit Siang yang parti itu tidak akan teragak-agak meninggalkan PH jika tujuan Malaysia Baharu dikhianati.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata selepas Najib jatuh, Dr Mahathir seperti tidak tahu untuk membuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara.

“Tun hanya mengulangi ucapan yang sama bahawa Najib mencuri. Cukuplah, dia pun sudah ke mahkamah, biar mahkamah yang tentukan.
“Cakaplah sesuatu yang lebih positif, tetapi tiada. Rakyat tertanya-tanya apa seterusnya? Rakyat pastinya mahu sesuatu yang progresif tetapi tidak nampak hala tuju yang jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak pasti sama ada Perdana Menteri terlupa, tidak peduli atau tiada siapa yang menasihatkannya.

“(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tidak boleh masuk campur sebab dia orang luar. Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pula ada batasnya.

“Dalam hal ini Perdana Menteri kena buat keputusan. Lakukan sesuatu untuk tidak lagi mengecewakan rakyat,” katanya.

Thursday, 20 December 2018

Masih Belum Cukup Laporan Disiplin Ke Atas Latheefa Koya


TERKINI

EMPAT CABANG BUAT LAPORAN DISIPLIN KE ATAS LATHEEFA KOYA

Akar umbi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) membuat laporan disiplin rasmi ke atas bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Latheefa Koya.

Empat cabang yang membuat laporan bertulis berkenaan ialah Klang dan Kuala Langat di Selangor manakala dua lagi cabang ialah dari Pahang iaitu Indera Mahkota dan Paya Besar.

Sidang media laporan disiplin berkenaan sedang diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Jika sabit kesalahan, Latheefa boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat dari parti dan rayuan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat pemecatan dikeluarkan.

Wednesday, 19 December 2018

PESANAN KEPADA PAKATAN HARAPAN - Rafizi Ramli



Selepas 61 tahun, berlaku perubahan kerajaan persekutuan secara demokratik di Malaysia. Apa pun hasil dari perubahan itu, kejayaan rakyat Malaysia mengusahakan satu perubahan tanpa kekecohan akan tersemat dalam sejarah.

Rakyat mengambil masa yang agak lama untuk kembali tenang hasil dari rasa teruja di awal pertukaran kerajaan. Dalam bulan-bulan pertama, setiap kali saya menyuarakan sesuatu yang dilihat tidak mengangkat PH, saya diserang hebat. Saya terima ia satu perkara yang dijangka kerana kerajaan tidak pernah berubah, tetapi lambat laun rakyat akan kembali tenang dan objektif.

Walau bagaimana pun, rasa teruja itu ada membawa kesannya kepada pentadbiran PH. Fokus pentadbiran PH tergelincir sedikit kerana masa bulan madu terlalu lama. Perubahan sikap rakyat terhadap PH, apabila mereka kembali tenang dan objektif, boleh membawa padah politik jika tidak diurus segera. Ada tanda-tanda bulan madu itu sudah hilang madunya, mungkin berganti pahit.

Populariti yang menjunam

Saya terus mengikuti sentimen rakyat di bawah melalui kaji selidik bulanan dan profailing pengundi yang banyak membantu kempen PH di dalam PRU14.

Komen netizen di portal berita utama secara terang-terang menunjukkan terasingnya rakyat Malaysia sesama sendiri. Setiap kumpulan kaum hidup di bawah tempurung sendiri. Kita tidak sedar perubahan ketara di dalam kumpulan kaum lain, kerana kita hanya bergaul sesama kaum sendiri.

Saya bukanlah gemar membawa berita buruk, tetapi kalau ia benar ia tetap perlu disampaikan.

Populariti kerajaan persekutuan sejak PH mengambil alih jatuh merudum, berbanding di awal pentadbiran.

Dalam bulan Jun 2018, 72% responden yang ditanya menyatakan mereka gembira dengan prestasi Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Responden Cina memberikan markah tertinggi iaitu 87 peratus, diikuti dengan responden India (84%). Malah, 66% responden Melayu turut berpuas hati dengan prestasi beliau (dikira tinggi memandangkan PH tidak memenangi undi Melayu dalam PRU14).

Dua minggu lalu, melalui kaji selidik serupa, populariti Tun Mahathir menjunam kepada 53 peratus sahaja. Ada penurunan mendadak sebanyak 20 peratus di kalangan responden dari ketiga-tiga kaum – Melayu (dari 66 peratus kepada 45 peratus), Cina (dari 87 peratus kepada 65 peratus) dan India (dari 84% kepada 64 peratus).

Di beberapa negeri, populariti Menteri Besar (yang sesetengah responden tidak boleh menamakan dengan tepat) adalah lebih tinggi dari populariti Perdana Menteri.

Defisit undi Melayu

Alasan biasa yang diberikan untuk menerangkan penurunan mendadak populariti itu adalah kegagalan PH memenangi undi Melayu dalam PRU14.

Mereka yang menjaja alasan ini berteori bahawa PH perlu mempercayai sepak terajang politik Perdana Menteri untuk membolehkan PH mendapat lebih banyak sokongan pengundi Melayu.

Sepak terajang ini termasuklah usaha membawa Ahli Parlimen UMNO yang melompat untuk menambah kerusi BERSATU di Parlimen. Hari ini, akhbar memetik hujah Perdana Menteri bahawa kemasukan Ahli Parlimen UMNO ini akan membawa bersama sokongan Melayu di kawasan desa kepada PH.

Sebenarnya, bagaimana keadaan sokongan pengundi Melayu dalam PRU14 lalu?

Jumlah sokongan pengundi Melayu kepada PH berbeza dari satu negeri ke satu negeri.

Di peringkat nasional, PH mendapat kurang dari 30% undi Melayu. Jika dipecahkan mengikut parti, PKR mendapat undi Melayu tertinggi di kalangan parti-parti PH sebanyak 31 peratus (dikira dengan membandingkan undi Melayu kepada PKR di kerusi-kerusi yang ditandinginya), diikuti dengan AMANAH (26 peratus) dan BERSATU (21 peratus).

Jumlah sokongan Melayu kepada PH mengikut negeri boleh dipecahkan kepada empat kategori:

1. Peratusan undi Melayu kepada PH melebihi 40 peratus (Selangor, Wilayah Persekutuan and Penang)
2. Peratusan undi Melayu kepada PH antara 30 peratus ke 40 peratus (Johor, Melaka, Negeri Sembilan and Kedah)
3. Peratusan undi Melayu kepada PH antara 20 peratus ke 30 peratus (Perak, Pahang and Perlis)
4. Peratusan undi Melayu kepada PH kurang dari 20 peratus (Kelantan and Terengganu)

Daripada 97 kerusi parlimen yang dimenangi PH di Semenanjung, hanya 42 kerusi dari negeri-negeri yang undi Melayu kepada PH melepasi 40 peratus.

55 kerusi parlimen yang berbaki itu berada dalam bahaya di dalam PRU15 sekiranya ada perubahan undi ketara di kalangan pengundi Melayu.

PH menang atas platform ekonomi

Mungkin ada yang mula pening dengan angka-angka ini dan apa kena mengena dengan pesanan saya kepada PH.

Memahami angka-angka ini memberi konteks kepada masalah yang dihadapi PH sekarang. Memang benar PH tidak menang undi Melayu yang besar dalam PRU14.

Namun kita tetap menang majoriti di Parlimen kerana ada pengundi Melayu di kerusi-kerusi marginal yang beralih kepada PH. Mereka mengundi PH kerana tertarik dengan janji-janji ekonomi yang akan membantu kehidupan mereka, bukan kerana PH (dalam PRU14) berjaya meyakinkan mereka kita lebih “Melayu” dari UMNO dan PAS.

Saya sentiasa ingatkan bahawa dimensi perkauman dan keagamaan akan tetap wujud dalam masyarakat kita sampai bila-bila. Setiap perkara akan diwarnai dengan pemahaman berkonteks kaum dan agama, baik di kalangan orang Melayu, Cina atau India (mungkin kurang sedikit di Sabah dan Sarawak).

Sebagai parti politik, jalan terbaik ialah dengan memberi tumpuan kepada kesederhanaan fahaman perkauman dan dasar-dasar mesra rakyat, supaya perbincangan orang ramai tertumpu kepada cara-cara menambahbaik kebajikan rakyat.

Saya ulangi mesej yang sama sepanjang kempen PRU14, bahawa PH hanya akan menang sekiranya kita berjaya meyakinkan sejumlah pengundi Melayu bahawa hidup mereka akan bertambah baik jika menukar kerajaan kerana harga barang boleh turun, lebih peluang pekerjaan diwujudkan dan gaji yang lebih adil diberikan.

PH tidak akan berjaya menjadi lebih Melayu dari UMNO atau lebih berpolitik Islam dari PAS. Faham perkauman dan politik Islam itu adalah jenama UMNO dan PAS, sedangkan platform ekonomi itu adalah kekuatan kita.

Keputusan PRU14 membenarkan hujah saya ini.

Walaupun PH memberi ruang kepada BERSATU untuk menonjolkan dirinya sebagai jaguh Melayu (kerusi terbanyak diberikan kepada BERSATU, pengerusi negeri juga banyak diberikan kepada BERSATU walaupun parti itu paling muda dalam PH), strategi jaguh Melayu itu tidak membawa undi Melayu yang besar kepada PH.

Malah, BERSATU mendapat undi Melayu yang paling rendah di kalangan parti-parti PH.

Nasib baik PH masih menang cukup kerusi Parlimen kerana ada cukup pengundi Melayu yang berorientasikan ekonomi. Pengundi beginilah yang memberi peluang kepada PH untuk mentadbir Putrajaya.

Pengundi begini juga yang menjadi punca populariti Perdana Menteri dan PH jatuh menjunam sekarang.

Hilang fokus ekonomi

Saya bukanlah tidak faham bencana kewangan yang diwarisi dari pentadbiran dahulu. Sebab rakyat tahu kerosakan yang telah berlakulah yang mendorong mereka memberi kepercayaan kepada PH.
Kita tidak boleh abaikan kumpulan pengundi yang memenangkan PH, iaitu pengundi ekonomi yang datang dari semua kaum. Dari kaji selidik pertama yang saya jalankan sejurus PRU14 hingga dapatan dua minggu lalu, responden semua kaum menamakan beban sara hidup dan janji pilihanraya sebagai isu paling utama yang mereka mahu kerajaan persekutuan tangani.

Selepas bersabar beberapa bulan, rakyat mula hilang sabar dengan apa yang dilihat alasan demi alasan yang diberikan pentadbiran PH.

Kita memang tidak boleh melaksanakan semua janji dalam masa 100 hari (percayalah, tidak ada pun rakyat Malaysia yang berkira dengan tempoh 100 hari itu), tetapi paling kurang pentadbiran PH mestilah dilihat benar-benar fokus mengusahakan janji-janji itu ditunaikan (kalau pun di masa hadapan).

Saya tahu usaha itu sedang berjalan, tetapi perlulah juga ada sedikit kemajuan. Selepas beberapa bulan, rakyat tidak lagi berpuas hati dengan berita-berita bekas pimpinan kerajaan dahulu didakwa atas tuduhan rasuah, kerana selagi tiada perubahan ketara (dari segi mutu kehidupan rakyat), mereka akan merasa resah.

Dalam beberapa perkara, keadaannya makin teruk sejak kita mengambil alih kerajaan persekutuan.

Bayaran sara hidup kepada peneroka Felda lambat secara berterusan dan sudah menjadi sebati dengan pentadbiran PH. Kita bukan sahaja tidak boleh menghapuskan hutang mereka (yang ditimbunkan secara tidak adil oleh pentadbiran dahulu), kita juga lambat membantu mereka dalam keadaan harga sawit jatuh menjunam.

Sementara usaha mengawal harga barang mengambil masa, bila bantuan yang sebelum ini diberikan ditarik balik tanpa ada bantuan gantian yang lebih cekap, itu menjadi peluru pembangkang untuk melunturkan lagi harapan rakyat kepada kerajaan persekutuan.

Memang saya akui proses menstrukturkan kembali PTPTN akan mengambil masa, tetapi kenapa mengumumkan cara pembayaran baru yang bertentangan dengan janji pilihanraya (yang itu pun tidak mampu ditunaikan lagi)?

Sedangkan sehingga sekarang kita belum mendapat maklumat sebarang rancangan untuk menstrukturkan bon PTPTN berjumlah lebih RM40 bilion itu agar bayaran faedah tahunan lebih rendah. Kenapa kita tidak boleh menggunakan kesempatan adanya Perdana Menteri yang dihormati oleh negara Jepun, untuk mendapatkan pinjaman murah dan menstrukturkan kembali bon ini? Jika kadar faedah boleh dikurangkan dalam 2 ke 3 peratus, penjimatan bayaran faedah boleh mencecah RM1 bilion setahun.

Orang ramai tidak mengharapkan satu keajaiban segera; mereka mahu lihat usaha bersungguh-sungguh untuk membantu hidup mereka.

Setakat ini, mereka lebih banyak mendengar alasan dari kerajaan persekutuan.

Gangguan

Kita juga lebih laju terperangkap dengan babak-babak politik sendiri. Kita semua bersalah dan ada saham sendiri dalam perkara ini, namun orang ramai meneliti tingkah laku jemaah menteri untuk mendapatkan panduan dasar dalam masa-masa yang kecoh begini.

Kita tidak boleh ada terlalu banyak gangguan dalam keadaan kita perlu memenuhi janji-janji ekonomi yang meyakinkan pengundi memilih kita dahulu.

Malangnya, dalam banyak-banyak pencapaian sejak tujuh bulan lalu, pencapaian terbaik pentadbiran PH ialah terperangkap dengan pelbagai gangguan yang mengalihkan tumpuan dari fokus ekonomi rakyat.

Saya benar-benar bingung kenapa ada menteri-menteri yang pandai-pandai berjanji meratifikasikan ICERD, tanpa meneliti kesannya kepada sentimen pengundi Melayu terhadap PH.

Kita berjasa dengan lebih baik jika kita (secara senyap dan berterusan) berjaya memastikan rakyat Malaysia pelbagai kaum mendapat khidmat dan layanan yang seadilnya.

Tidak perlulah kita gebang apabila hendak memberikan biasiswa kepada pelajar bukan Melayu miskin yang cemerlang kerana memang mereka layak mendapat biasiswa. Juga tidak perlu dihebohkan dan dipolitikkan usaha membantu graduan Melayu meningkatkan kebolehpasaran kerana itu memang perkara wajar yang boleh membantu ekonomi negara keseluruhannya.
Gangguan-gangguan politik seperti ICERD bukan sahaja memerangkap PH, malah ia memberi senjara terbaik kepada pembangkang untuk berkempen dengan rakyat agar menolak PH. Lebih-lebih lagi dalam keadaan lebih ramai pengundi atas pagar yang pernah mengundi PH dahulu mula merasa terasing dengan alasan-alasan kenapa janji manifesto tidak dapat ditunaikan.

Seminggu sebelum perhimpunan anti-ICERD itu, ada seorang kawan bertanya kepada saya: agaknya jumlah kehadiran boleh mencecah 5,000 orang, kerana UMNO tiada lagi wang untuk menaja bas dan duit poket?

Jawab saya:

Jangan bagi api kepada mereka.

Kalau dahulu, ramai di kalangan kita yang turun ke demostrasi BERSIH kerana kita percaya kepada perjuangan membasmi rasuah, membantu yang miskin dan perubahan. Walau tidak dibayar, kita tetap turun.

Apabila pentadbiran PH memberi ruang kepada golongan yang fahaman perkauman dan keagamaan sempitnya tebal, mereka akan menggunakannya sepenuhnya menjadi api yang menyemarak. Api sebegini akan cepat menyambar orang ramai yang turut kecewa dengan prestasi PH setakat ini. Jangan terkejut lebih ramai akan menyertai demonstrasi anti-PH (walau tidak ditaja bas percuma atau wang poket) jika prestasi ekonomi dan mesra rakyat PH tidak berubah.

Fokus tunaikan janji

Sebab itu, saya ingin memberi pesanan kepada kepimpinan PH bahawa orang ramai loya melihatkan lompatan Ahli Parlimen UMNO baru-baru ini.

Bagi pengundi atas pagar, PH yang lebih sibuk mencari dan membela katak itu menjadi bukti bahawa pentadbiran PH tidak serius untuk menunaikan janji-janji ekonomi yang dibuat semasa kempen PRU14. Kita juga melunturkan keyakinan dan kepercayaan pengundi tegar PH kepada komitmen pentadbiran PH melaksanakan reformasi.

Ada yang memberi alasan lompatan katak dari kalangan Ahli Parlimen UMNO itu penting untuk mengukuhkan sokongan Melayu kepada PH. Tidak ada tanda-tanda perkara ini akan berlaku. Malah, tindakan menculik Ahli Parlimen UMNO ini menyemarakkan lagi kemarahan pengundi PAS-UMNO terhadap PH.

Sepatutnya kita mendampingi mereka supaya lebih ramai memilih untuk mengundi PH melalui program ekonomi yang membantu kehidupan mereka. Yang berlaku sekarang, kita semakin menjauhkan mereka.

Saya jangka yang akan berlaku adalah begini: lebih ramai Ahli Parlimen UMNO yang melompat, lebih lemah UMNO dan lebih kuat PAS, kerana PAS yang akan mendapat laba apabila pengundi Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi ekonomi dan janji pilihanraya yang tidak ditunaikan sepenuhnya oleh PH.

Hanya ada satu cara yang bertanggungjawab ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu dan sederhana: pentadbiran PH mesti memberi tumpuan kepada platform ekonomi, bukannya terjebak ke dalam polemik perkauman dan keagamaan sempit.

PH mesti kembali berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi janji-janji pilihanraya.

Kita mesti ada kesungguhan untuk memperbaiki mutu hidup rakyat seperti yang digambarkan semasa kempen PRU14, bukannya terus bermain dengan babak politik berpanjangan (tidak ubah seperti Malaysia di bawah BN).

Saya memberi pesan agar pimpinan PH meneliti perkara-perkara ini dan membetulkan fokus kerajaan persekutuan.

Dan ia mestilah juga bermula dengan keputusan di peringkat Majlis Presiden PH yang menghantar isyarat jelas kita tidak lagi boleh menerima rancangan membawa masuk Ahli Parlimen UMNO atau menyusun lompatan katak beramai-ramai dari sebelah sana.

Rafizi Ramli

Monday, 17 December 2018

Ada Pihak Cuba Merenggangkan Hubungan Baik Antara Kami - Anwar Ibrahim


KENYATAAN MEDIA

Saya ambil maklum wujudnya andaian dan tanggapan yang telah ditimbulkan pelbagai pihak berkait Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti tersebut.

Pihak-pihak ini berniat untuk menimbulkan syak wasangka serta mengadu domba di antara saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan berniat untuk merenggangkan hubungan yang baik di antara kami.

Pakatan Harapan telah diberi mandat untuk menjana perubahan ke arah tatakelola pemerintahan yang menolak rasuah, keangkuhan dan perkauman sempit. Tumpuan kini juga adalah untuk memacu pertumbuhan dan meringankan beban rakyat terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah.

Saya terus menyokong usaha dan kepimpinan Tun Dr Mahathir, dan akan terus bekerjasama dengan beliau untuk menzahirkan agenda Reformasi seperti yang telah dipersetujui.

ANWAR IBRAHIM
16 Disember 2018

Tuesday, 11 December 2018

HARGA RM2.20 RON95 WAJAR DISEMAK SEMULA - Rafizi Ramli


(graf dan carta boleh didapati dicapaian https://rafiziramli.com/2018/12/harga-rm2-20-ron95-wajar-disemak-semula/)

Sejak 9 Mei 2018, Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan telah menetapkan harga RON95 pada RM2.20 seliter untuk menstabilkan harga minyak dan mengurangkan kesan turun naik harga minyak kepada kenaikan harga barang (seperti yang berlaku sebelum itu).

Ia bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan subsidi bersasar kepada golongan 40% terbawah (B40).

Oleh kerana harga minyak mentah naik melambung, terutamanya antara bulan Ogos 2018 ke Oktober 2018, Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung jumlah subsidi yang tinggi untuk mengekalkan harga RON95 pada RM2.20 seliter.

Saya sertakan Lampiran Kiraan untuk menunjukkan kiraan RON95 berdasarkan formula, menggunakan angka rasmi berikut:

- Harga MOPS95 (harga pasaran RON95 yang telah ditapis seperti yang didagangkan di Singapura) seperti yang diterbitkan setiap minggu oleh Australian Institute of Petroleum
- Harga purata Brent adalah seperti yang diterbitkan Bloomberg
- Kadar tukaran matawang adalah seperti yang diterbitkan Bank Negara Malaysia

Kiraan mengikut formula menunjukkan bagaimana harga RON95 mengikut formula mengikuti dengan dekat pergerakan harga minyak mentah Brent yang naik melambung melebihi USD80 se-tong menjelang Oktober 2018.

Kalau tidak kerana dasar pentadbiran Pakatan Harapan yang memperkenalkan kembali subsidi untuk menstabilkan harga RON95 pada RM2.20, harga mengikut formula mencecah RM2.70 seliter di dalam bulan Oktober 2018 (seperti yang ditunjukkan graf berikut).

Jika tidak kerana pertukaran pentadbiran di Putrajaya, penyokong UMNO dan PAS yang paling ralit mendesak harga RON95 diturunkan kepada RM1.50 (sebagai modal politik murahan) dengan senang hati terpaksa membayar RM2.70 seliter (jika Dato’ Seri Najib Tun Razak masih menjadi Perdana Menteri).

Subsidi Cecah RM3.4 Bilion

Kerajaan membelanjakan tanggungan subsidi mingguan di antara RM70 juta hingga RM220 juta seminggu untuk mengekalkan harga RON95 pada RM2.20, dalam keadaan harga minyak mentah dunia naik melambung.

Kiraan saya menunjukkan menjelang akhir November 2018, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM3.4 bilion subsidi yang membolehkan harga RON95 dikekalkan pada RM2.20 (lihat graf di bawah).

Harga Formula Bawah RM2.20

Walau bagaimana pun, sejak beberapa minggu lalu, harga minyak mentah Brent telah jatuh mendadak ekoran dari lambakan minyak mentah dari Amerika Syarikat.

Mengikut kiraan saya (berdasarkan angka-angka rasmi yang diterbitkan yang dirujuk seperti di atas), harga RON95 mengikut formula yang digunakan kerajaan telah jatuh di bawah paras RM2.20 seliter sejak 3 minggu yang lepas, iaitu apabila harga minyak mentah Brent jatuh di bawah paras USD67 se-tong.

Mengambil kira keadaan pasaran minyak mentah dunia yang dijangkakan akan kekal sekitar USD60an se-tong (walaupun selepas OPEC mengurangkan pengeluaran), ini bermakna harga RON95 mengikut formula berkemungkinan akan terus kekal di bawah RM2.20 seliter.

Semak Kembali Harga RON95

Pada dasarnya, apabila harga RON95 mengikut formula (yang menggambarkan harga pasaran minyak mentah) adalah lebih rendah dari harga yang ditetapkan kerajaan, rakyat akan membayar cukai ke atas pembelian RON95.

Walaupun Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sehingga RM3.4 bilion dalam bentuk subsidi semasa harga minyak mentah melonjak tinggi dahulu untuk mengekalkan harga, pada dasarnya harga yang ditetapkan mestilah sama atau kurang dari harga formula untuk mengelakkan rakyat dari membayar cukai di atas pembelian RON95.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan menyemak kembali harga RON95 yang ditetapkan dalam keadaan harga minyak mentah yang kekal sekitar USD60an se-tong.

Adalah lebih wajar jika harga RON95 diturunkan 10 sen supaya harga yang ditetapkan itu menggambarkan harga semasa minyak mentah dunia.

Rafizi Ramli
11 Disember 2018

Monday, 10 December 2018

Bantah ICERD, Terima Kasih Kerana Menyokong Keputusan Kerajaan


ICERD | Bantah ICERD #perhimpunanaman812 #Icerd #BantahIcerd #TolakIcerd #AntiICERD #ICERDrally

i recieved hate comment and thumb up comment,For me i dont care what ever ur comment to me. if u praise me i take it as a compliment and if ur hate comment i just take it a pinch of salt and i will learn to improved.

Thursday, 6 December 2018

Pimpinan PAS Cuba Elak Turun JIHAD 8 DISEMBER 2018


KENAPA ELAK UNTUK HADIR HIMPUNAN ?

Mohd Sayuti Omar II ( MSO )

Nampaknya seorang demi seorang pemimpin Pas cuba mengelak untuk tidak hadir ke himpuan kesyukuran ICERD pada 8 Disember nanti. Apakah tindakan itu diambil apabila mengetahui mungkin himpunan itu akan turut sama bakal dihadiri oleh Dr Mahathir Mohamad.

Semalam Mohd Amar Nik Abdullah alias Nik Amar Nante, memberi tahu beliau tidak akan hadir kerana 7 Disember beliau akan menunaikan umrah. Begitu juga seorang Exco Kelantan pada masa sama akan berada di Makkah walahl dia sudah menyeru rakyat hadir ke himpunan itu bagi menjatuhkan kerajaan PH.

Terbaharu ada pula maklumat seorang pimpinan tertinggi Pas yang juga ahli Parlimen tidak mungkin hadir kerana pada hari sama, 8 Disember beliau mengadakan kenduri walimaturus perkahwinan anaknya.

Apa tidak boleh dipindakan ke tarikh lain ke, sebab himpunan ICERD itu satu jihad. Kepada penyokong dibawah dilaungkan menghadiri himpunan itu sebagai jihad tetapi pemimpin sendiri satu demi satu mengalami "musaqakah" yang dibuat-buat. Hayalah... talak faham ana. Trims.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.