VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Tuesday, 11 December 2018

HARGA RM2.20 RON95 WAJAR DISEMAK SEMULA - Rafizi Ramli


(graf dan carta boleh didapati dicapaian https://rafiziramli.com/2018/12/harga-rm2-20-ron95-wajar-disemak-semula/)

Sejak 9 Mei 2018, Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan telah menetapkan harga RON95 pada RM2.20 seliter untuk menstabilkan harga minyak dan mengurangkan kesan turun naik harga minyak kepada kenaikan harga barang (seperti yang berlaku sebelum itu).

Ia bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan subsidi bersasar kepada golongan 40% terbawah (B40).

Oleh kerana harga minyak mentah naik melambung, terutamanya antara bulan Ogos 2018 ke Oktober 2018, Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung jumlah subsidi yang tinggi untuk mengekalkan harga RON95 pada RM2.20 seliter.

Saya sertakan Lampiran Kiraan untuk menunjukkan kiraan RON95 berdasarkan formula, menggunakan angka rasmi berikut:

- Harga MOPS95 (harga pasaran RON95 yang telah ditapis seperti yang didagangkan di Singapura) seperti yang diterbitkan setiap minggu oleh Australian Institute of Petroleum
- Harga purata Brent adalah seperti yang diterbitkan Bloomberg
- Kadar tukaran matawang adalah seperti yang diterbitkan Bank Negara Malaysia

Kiraan mengikut formula menunjukkan bagaimana harga RON95 mengikut formula mengikuti dengan dekat pergerakan harga minyak mentah Brent yang naik melambung melebihi USD80 se-tong menjelang Oktober 2018.

Kalau tidak kerana dasar pentadbiran Pakatan Harapan yang memperkenalkan kembali subsidi untuk menstabilkan harga RON95 pada RM2.20, harga mengikut formula mencecah RM2.70 seliter di dalam bulan Oktober 2018 (seperti yang ditunjukkan graf berikut).

Jika tidak kerana pertukaran pentadbiran di Putrajaya, penyokong UMNO dan PAS yang paling ralit mendesak harga RON95 diturunkan kepada RM1.50 (sebagai modal politik murahan) dengan senang hati terpaksa membayar RM2.70 seliter (jika Dato’ Seri Najib Tun Razak masih menjadi Perdana Menteri).

Subsidi Cecah RM3.4 Bilion

Kerajaan membelanjakan tanggungan subsidi mingguan di antara RM70 juta hingga RM220 juta seminggu untuk mengekalkan harga RON95 pada RM2.20, dalam keadaan harga minyak mentah dunia naik melambung.

Kiraan saya menunjukkan menjelang akhir November 2018, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM3.4 bilion subsidi yang membolehkan harga RON95 dikekalkan pada RM2.20 (lihat graf di bawah).

Harga Formula Bawah RM2.20

Walau bagaimana pun, sejak beberapa minggu lalu, harga minyak mentah Brent telah jatuh mendadak ekoran dari lambakan minyak mentah dari Amerika Syarikat.

Mengikut kiraan saya (berdasarkan angka-angka rasmi yang diterbitkan yang dirujuk seperti di atas), harga RON95 mengikut formula yang digunakan kerajaan telah jatuh di bawah paras RM2.20 seliter sejak 3 minggu yang lepas, iaitu apabila harga minyak mentah Brent jatuh di bawah paras USD67 se-tong.

Mengambil kira keadaan pasaran minyak mentah dunia yang dijangkakan akan kekal sekitar USD60an se-tong (walaupun selepas OPEC mengurangkan pengeluaran), ini bermakna harga RON95 mengikut formula berkemungkinan akan terus kekal di bawah RM2.20 seliter.

Semak Kembali Harga RON95

Pada dasarnya, apabila harga RON95 mengikut formula (yang menggambarkan harga pasaran minyak mentah) adalah lebih rendah dari harga yang ditetapkan kerajaan, rakyat akan membayar cukai ke atas pembelian RON95.

Walaupun Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sehingga RM3.4 bilion dalam bentuk subsidi semasa harga minyak mentah melonjak tinggi dahulu untuk mengekalkan harga, pada dasarnya harga yang ditetapkan mestilah sama atau kurang dari harga formula untuk mengelakkan rakyat dari membayar cukai di atas pembelian RON95.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan menyemak kembali harga RON95 yang ditetapkan dalam keadaan harga minyak mentah yang kekal sekitar USD60an se-tong.

Adalah lebih wajar jika harga RON95 diturunkan 10 sen supaya harga yang ditetapkan itu menggambarkan harga semasa minyak mentah dunia.

Rafizi Ramli
11 Disember 2018

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.