VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Tuesday, 4 November 2014

Kumpulan Pelampau : Tindakan Tegas Putrajaya Ditagih



Kenyataan Umum
4 November 2014

Kumpulan Pelampau : Tindakan Tegas Putrajaya Ditagih

3 November 2014, dua orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam perbahasan penggulungan Kementerian Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 telah pun menyatakan pendirian Kerajaan menolak keras ancaman Presiden PERKASA untuk membakar bible.

Putrajaya tidak boleh sekadar bercakap dan terus bercakap sahaja. Iltizam politik untuk mengekang asakan ekstremisme merentasi sempadan agama, kaum dan pertubuhan yang diwakili ini perlulah disertai dengan satu tindakan yang affirmatif. Ekstremisme membuta tuli ini tidak boleh dibenarkan berakar umbi di tanahair ini.

Ini bukanlah kali pertama pelampau PERKASA melaungkan aspirasi ekstremisme mereka yang mengancam keharmonian dan kerukunan negara berbilang bangsa dan agama ini. Tindakan mala fide ini akan mengancam kestabilan hubungan etnik dalam negara.

Adakah pentadbiran Najib Razak sebegitu lemah hingga tidak mampu mengambil tindakan terhadap kumpulan Pelampau PERKASA ini? Mengapa Pendaftar Pertubuhan tidak menarik balik pendaftaran kumpulan pelampau PERKASA dan mengisytiharkannya sebagai pertubuhan haram?

Perdana Menteri sibuk menubuhkan Global Movement of Moderates untuk mempromosi kesederhanaan di serata dunia. Akan tetapi, di dalam negara sendiri beliau gagal untuk melakukannya.Pejabat Peguam Negara dan pelbagai peringkat anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih tidak memahami dan menyahut slogan Wasatiyyah itu.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia menegaskan peri pentingnya Perdana Menteri untuk menterjemah aspirasi Kesederhanaan itu kepada anggota pentadbirannya terlebih dahulu. Tidak perlu untuk menjadi Wira Dunia sedangkan di dalam negara wujud kumpulan pelampau yang kebal seperti PERKASA.

Apakah pelampau PERKASA sedang ingin menunjukkan bahawa Islam ini sebuah agama yang ekstrim? Siapakah pelampau PERKASA untuk menjatuhkan hukum untuk membakar kitab agama lain?

Negara ini tertegak mengikut peruntukan undang-undang dalam setiap permasalahannya. Mahkamah keadilan akan memberikan keputusan mereka dalam setiap "dispute" yang berlaku. Tidak perlulah kumpulan pelampau PERKASA ini hendak menunjukkan keangkuhan mereka.

Pelampau PERKASA sering mempergunakan Perlembagaan Persekutuan bagi menjustifikasi tindakan mereka selama ini. Namun, ancaman Pelampau PERKASA ini tidak mematuhi semangat Perlembagaan Persekutuan dan juga semangat Rukun Negara sebagai satu falsafah ideologi kebangsaan.

Pejabat Peguam Negara  perlu melihat tindakan dan kenyataan kumpulan pelampau PERKASA selama ini yang sering mencabar kedaulatan undang-undang. SAMM mencabar pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kertas siasatan dan menghadapkan Presiden Kumpulan Pelampau PERKASA ini ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

SAMM menyeru Kerajaan Pemerintah untuk menunjukkan iltizam politik mereka memerangi ideologi pelampau ini. Pemerintah perlu segera mengklasifikasikan kumpulan pelampau PERKASA ini sebagai satu pertubuhan haram dan kemudiannya mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang terhadap kumpulan ini.

Dalam pada kita menuju ke arah menjadi negara maju, keharmonian dan kerukunan hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama ini perlu dipertahankan. Malaysia tidak boleh berlembut terhadap mana-mana kumpulan pelampau yang seringkali cuba untuk mencipta ruang permusuhan dan pergeseran sesama masyarakat.

Young Syefura Othman
Penyelaras Segmentasi Wanita Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Anwar Ibrahim: Warkah Akhir Untuk Saudaraku


Warkah Akhir Untuk Saudaraku.

Saudaraku, esok 4 November 2014 mungkin kali terakhir kita dapat menjejak tanah yang sama, berbumbung langit yang serupa dan menghirup udara yang tiada beza tanpa hadangan tembok penjara dan tirai besi.Rejim zalim Barisan Nasional menerusi aparatnya kelihat amat tidak sabar untukkembali menghumban saya ke penjara.

Esok juga mungkin peluang akhir saya berjabat tangan dan menatap wajah saudara semua.Saya dan Azizah serta seluruh keluarga ingin memohon maaf jika terdapat salah dan silap yang kami lakukan sepanjang jalan perjuangan kita.

Kepada sahabat yang setia, terima kasih kerana teguh bersama menegakkan cita-cita Reformasi dan Islah yang kita dokong selama ini.Saya tidak mungkin dapat bertahan begini lama tanpa dokongan dan doa daripada saudara sekalian.

Buat rakan-rakan Pakatan Rakyat, harapan saya agar kerjasama kita dapat diperkukuh demi matlamat menumbangkan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Untuk anak-anak muda sekalian, masa depan Malaysia ditangan kamu semua.Bangkitlah dengan jiwa merdeka, jangan dilemahkan dengan ugutan penguasa.Kamu penentu masa depan negara.

Walaupun rencana jahat mereka mampu memenjarakan jasad saya, berjanjilah bahawa jiwa dan perjuangan kita tetap bebas dan terus menyusur ke segenap jiwa saudara semua.

Saya tetap optimis, perubahan tetap akan berlaku di bumi tercinta ini.Kita jumpa esok di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Reformasi! Allahuakbar!

Sekian,
Anwar Ibrahim.
Bukit Segambut,
3 Nov 2014 . 2145hrs

Monday, 3 November 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity



Siaran Umum
03 November 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim telah mengungkapkan, “Wahai rakyat Sabah kawasan ESSZONE yang dikendalikan oleh ESSCOM ini ialah kawasan yang selamat” sewaktu sesi jawap lisan Dewan Rakyat bertarikh 30 Oktober 2014.

Namun, di sebelah petang hari yang sama, berlaku kejadian tembak menembak di Penampang, Sabah. Media pada mulanya menyatakan kejadian ini mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu tetapi PDRM Sabah menyatakan bahawa kejadian ini adalah berhubung dengan penjenayah yang memang dikehendaki pihak Polis.

Menteri juga menyatakan bahawa Sabah ketika ini lebih selamat berbanding Kuala Lumpur. Apakah Menteri ingin mengatakan bahawa pihak KDN gagal dalam menjaga keselamatan di Kuala Lumpur? Bagaimana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan sebegini rupa di dalam Dewan Rakyat? Ini akan menghantar mesej yang mengelirukan kepada dunia akan aspek keselamatan di ibu negara kita?

Solidariti Anak Muda Malaysia menyifatkan inilah kenyataan politik paling tidak bertanggungjawab yang pernah dibuat oleh seorang Menteri.

SAMM ingin memperingatkan Menteri, sebelum beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa, beliau haruslah meneliti beberapa perkara.

Lanjutan Tempoh Perintah Berkurung

Pertamanya adalah tempoh perintah berkurung yang bermula semenjak 16 Julai 2014 dan kemudian seringkali dilanjutkan. Terkini perintah berkurung ini dilanjut sehingga 6 November 2014.

Pesuruhjaya Polis Sabah semasa mengumumkan lanjutan tempoh perintah berkurung menyebutkan sebab utamanya adalah kerana untuk menjamin ketenteraman dan kedaulatan negara. Apakah ini bermaksud tanpa perintah berkurung itu ketenteraman dan kedaulatan negara berada dalam yang berisiko.

Jika sudah berada dalam keadaan selamat seperti yang dikatakan oleh Menteri, mengapa perlu perintah berkurung ini dilanjutkan lagi? Telah hampir 4 bulan perintah ini dikenakan dan masih tidak kelihatan tanda-tanda ia akan ditamatkan.

Kedua, kes penculikan pengusaha sangkar ikan di Kunak yang telah berlanjutan sehingga 5 bulan. 31 Oktober 2013, waris mangsa yang juga merupakan isterinya telah merayu pelbagai pihak untuk mengusahakan pembebasan segera suaminya. Kumpulan penculik mengancam untuk memenggal kepala suaminya jika beliau gagal menyediakan wang tebusan RM 3 juta sehingga November ini.

Menteri sepatutnya berusaha gigih mencari jalan untuk operasi menyelamatkan mangsa. Bagaimana rasanya Menteri jika berada di dalam keadaan si isteri tersebut? Sudahlah dalam keadaan tekanan emosi ekoran kerisauan terhadap keselamatan si suami ditambah pula dengan tekanan lebih 200 kali panggilan telefon daripada kumpulan penculik yang meminta wang tebusan dan mengancam untuk mencabut nyawa suaminya. Apakah Menteri tidak mempunyai naluri keinsanan?

Mengapa Perdana Menteri yang begitu bersemangat mengumumkan untuk mencari pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 sehingga ke lubang cacing tidak membawa semangat yang sama untuk membebaskan mangsa penculikan ini? Mengapa Perdana Menteri yang begitu "heroic" sekali mengadakan rundingan pintu belakang dengan kumpulan pemisah Ukraine tetapi tidak mengambil langkah tegas bersama Kerajaan Filipina bagi membebaskan mangsa? Adakah nyawa rakyat Sabah tidak bernilai? Adakah mangsa penculikan bukan insan yang perlu dibebaskan dengan segera?

Ketiga Laporan Suruhanjaya DiRaja berhubung Pemberian Kad Pengenalan di Sabah sehingga kini masih lagi tidak diumumkan. Apakah penemuan Suruhanjaya ini? Apakah syor dan cadangan Suruhanjaya ini? Laporan Suruhanjaya ini penting untuk mengenalpasti punca sebenar keselamatan Sabah ini tergugat.

Menteri di JPM tidak boleh melengahkan lagi pembentangan kertas putih Laporan Suruhanjaya DiRaja ini di Dewan Rakyat. Justeru, SAMM mendesak Kerajaan Pemerintah untuk membentangkannya sebelum sesi mesyuarat ketiga, Penggal Kedua, Dewan Rakyat ini berakhir. Kegagalan Kerajaan untuk membentangkan laporan ini dalam kadar segera hanya akan menambah buruk keadaan keselamatan di Sabah.

Aspek keselamatan dalam negara dan kebocoran pintu sempadan ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Ia bukan sekadar melibatkan penyeludupan beras dan bahan bakar, sindiket pemerdagangan manusia dan dadah malah yang paling dibimbangi adalah penyeludupan senjata api dan aktiviti keganasan yang boleh meruntuhkan ketenteraman dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, SAMM menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan keseluruhan kabinet Pemerintah masih bersikap angkuh dan berada dalam kecelaruan. Sikap "denial" ini tidak menambahbaik aspek keselamatan dalam negara. Menteri dinasihatkan supaya tidak menunjukkan sikap seorang "Master Of Stupidity".

Menteri sepatutnya fokus untuk menamatkan krisis keselamatan di Sabah. Cukuplah bermain wayang politik di Dewan Rakyat dengan seringkali membelasah Pembangkang dengan sarkastik, tetapi sebenarnya tidak berupaya untuk menjalankan tugas dan amanah sebagai seorang Menteri. Sabah bukanlah anak tiri Malaysia tetapi sebuah wilayah yang perlu kita tatang dengan saksama seperti Semenanjung dan Sarawak.

Bekerjalah wahai Menteri. Kerusi Menteri itu bukanlah tiket bulan madu untuk Menteri menikmati percutian setelah diketepikan daripada menjadi Menteri Besar Perlis.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, 31 October 2014

Kenaikan Tambang Bas Ekspress : Jangan Tambah Derita Rakyat



Siaran Umum
31 Oktober 2014

Kenaikan Tambang Bas Ekspress : Rejim Putrajaya Jangan Tambah Derita Rakyat

Kerajaan Pemerintah seringkali menggunakan alasan bahawa rasionalisasi subsidi bahan bakar Petroleum akan memberikan manfaat kepada pengangkutan awam. Penjimatan yang terhasil ekoran daripada rasionalisasi itu akan digunakan untuk menambahbaik pengangkutan awam.

Namun, hari ini segala kata-kata itu terbukti meleset setelah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan cadangan kenaikan tambang bas ekspress sebanyak 30%. Hal ini ekoran daripada kesulitan operator bas ekspress yang menanggung beban peningkatan kos operasi kerana kenaikan harga bahan bakar diesel.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah berulang kali menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi ini akan memunculkan kesan rantaian terhadap harga barangan dan perkhidmatan. Namun, Kerajaan Pemerintah yang pekak dan buta ini tidak mampu melihat dan mendengar rintihan hati rakyat kebanyakan.

Semasa rejim Abdullah Badawi menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen seliter juga menggunakan alasan yang sama. Namun, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada 2011 mendedahkan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) mencatat kerugian terkumpul sehingga 31 Disember 2010 berjumlah RM293.82 juta. Pemerkasaan yang diingini tidak berlaku tetapi kerugian yang membesar pula yang berlaku.

Kegagalan rejim Putrajaya mengurustadbir hasil negara ini dengan baik telah menyebabkan ketidakmampuan negara untuk mengekalkan pemberian subsidi bahan bakar petroleum. Putrajaya sepatutnya tidak meneruskan hasrat merasionalisasikan subsidi bahan bakar sebaliknya membuat penilaian terhadap pelaburan-pelaburan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terus mencipta kerugian besar.

Sebagai contoh 1MDB yang mencatatkan kerugian hampir RM35 billion merupakan antara siri kegagalan Putrajaya yang akhirnya mengempiskan kantung perbendaharaan negara. Keputusan pelaburan yang merugikan perlu dihentikan segera. Putrajaya tidak sepatutnya mengheret rakyat menanggung beban ketidakmampuan rejim ini untuk memerintah.

SAMM mendesak Putrajaya untuk menilai semula cadangan kenaikan 30% ini. Kenaikan ini adalah terlalu tinggi dalam keadaan rakyat bergelut dengan tekanan kenaikan kos sara hidup. Apa pilihan lagi yang ada pada rakyat sekiranya tambang bas ekspress ini juga dinaikkan dengan drastik? Hendak memandu sendiri bebanan kos minyak dan tol menjadi perkiraan, hendak naik bas ekspress juga tambang sudah menjadi begitu mahal.

Sehubungan itu juga, SAMM menegaskan agar Putrajaya tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan dalam membuat keputusan yang menjejaskan kualiti hidup rakyat. Cukuplah dengan kesilapan bodoh membiarkan rasuah berleluasa, ketirisan dalam perbelanjaan negara, menubuhkan GLC yang hanya tahu mencipta kerugian dan juga merasionalisasikan subsidi. Janganlah ditambah derita rakyat ini lagi.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, 29 October 2014

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN



Kenyataan Media
29 Oktober 2014

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN

Sekalung tahniah buat Pahang FA (Tok Gajah) dan Pasukan JDT (Harimau Selatan) kerana kejayaan melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2014. Kedua-dua pasukan telah berusaha keras melalui liku-liku getir sehingga berjaya melayakkan diri ke pentas akhir yang dijadual berlangsung pada 1 November di Stadium Bukit Jalil.

KEBANGKITAN SEMULA KEGEMILANGAN BOLASEPAK DOMESTIK

Mengimbau kembali era kemahsyuran bolasepak negara di zaman 60an hingga awal 90an, dapat dilihat fenomena setiap perlawanan dalam liga Malaysia dipenuhi oleh penyokong pasukan masing-masing. Puluhan ribu membanjiri stadium walaupun hanya perlawanan liga.

Di pertengahan 90an pula, ia sedikit merosot apabila beberapa pemain mula terpalit dengan gejala rasuah yang menghancurkan bolasepak tempatan. Ia menyebabkan sambutan orang ramai semakin berkurangan malah arena bolasepak luar negara pula yang menjadi perhatian seperti liga inggeris dan sebagainya.

Namun hari ini walaupun rekod pasukan kebangsaan agak terumbang-ambing, tetapi liga kebangsaan khususnya Piala Malaysia memperlihatkan sambutan yang memberangsangkan. Liga bolasepak yang berkualiti mampu melahirkan pemain yang hebat untuk mewakili negara. Ini yang harus diterapkan dan SAMM menggesa supaya format liga dikekalkan dan tidak diubah sewenangnya.

SAMM juga bersetuju dengan beberapa usaha revolusi dan mereformasikan persatuan bolasepak contoh seperti TRW (Kelantan) dan JDT (JohorFc ) demi kemajuan bolasepak liga domestik. Malah, FAM juga patut direvolusikan dari sebuah persatuan kepada sebuah badan korporat yang profesional dan berdaya saing.

ELAK BUDAYA SAMSENG BOLASEPAK MENULAR

Adalah amat mengecewakan di kalangan sesetengah peminat apabila timbulnya budaya samseng atau juga dikenali sebagai "HOOLIGANISMA" di kalangan peminat bolasepak negara. Budaya hooliganisma ini sudah lama mencemar arena bolasepak Eropah sehingga ada yang meragut nyawa. 

SAMM Pahang dan SAMM Johor mengharapkan pihak berwajib seperti FAM dan PDRM dapat menangani serta membendung gejala ini daripada berulang kembali di pentas final nanti. FAM juga perlu mengekang cara pembahagian tiket perlawanan agar lebih adil dan saksama.

SAMM juga menyeru mana-mana peminat sama ada dari Pahang atau Johor supaya tidak membawa semangat kenegerian yang melampau, tetapi jadikan ia semangat kesukanan antara kita. Menang atau kalah sudah menjadi adat pertandingan. Jadikan perlawanan ini sebagai satu simbol penyatuan, bukan perbalahan.

Perlu diingat dalam saingan liga yang semakin kompetitif saat ini, pemain sudah mula berhijrah dan mewakili kelab dan negeri yang bukan kelahiran asal mereka. Oleh yang demikian sama ada pasukan Kelantan, Felda Pahang, JDT, Selangor atau Kedah sekalipun yang harus kita pandang adalah mereka-mereka ini membawa semangat negara Malaysia.  

Sokongan kita sebagai peminat akan menyuntik semangat atas satu harapan bolasepak Malaysia kembali gah semula ke pentas antarabangsa. Bolasepak adalah medium penyatuan kita sebagai rakyat Malaysia, jangan cemari hak rakyat ini dengan ketegangan antara dua negeri yang bertanding di perlawanan akhir.

Hogoh Pahang Hogoh / LuaskanKuasaMu

Kenyataan bersama

Amirul Syazwan
Penyelaras
SAMM PAHANG

Dan

Hadzril Ridzal
Penyelaras
SAMM JOHOR

Tuesday, 28 October 2014

Gambaran Suasana 3 Lokasi Berbeza Malam Sebelum Perbicaraan Kes Liwat II Dato Seri Anwar Ibrahim










Azmin Ali berada di MBSJ.. saya sempat hadir dan perdengarkan Ucapan beliau.. secara terangab sempat menghentam UMNO habis-habisan selain mengukir ikrar untok bekerja demi Rakyat Selangor..

dan paling 'asyik' bilamana dia bertegas isu Sampah dan kesusahan warga Selangor.. sekian laporan saya..

(1) Kediaman Datuk Sri.. suasana tenang - penyampaian ceramah oleh saorg Ustaz (xtahu nama) selain dari bercerita akhlak dan keperibadian Rasulullah, ada juga ingatan dan pesanan beliau terhadap DSAI agar senantiasa Istiqomah dan Kuat!

Peristiwa meruntun jiwa den - Tatkala bercucuran air mata DS Wan Azizah apabila DSAI berpesan kepada beliau supaya "Tabahlah!"

(2) UM - Kehadiran dianggarkan lingkungan 5K dengan berlaku sedikit ketegangan bilamana terdapat kejadian Tolakan pagar UM yg bertutup.. Media Massa (lidah UMNO) dok citer saolah ianya adalah Rempuhan, sedangkan tidak - Partipisasi Anak Muda dan Pelajar serta laungan Reformasi dan Student Power mengisi ruang langit Dewan DTC... Dan boleh dikatakan DSAi memfokuskan ucapan perihal "Akademi yg lebih Demokratik" - selain pesanan beliau kpd Anak Muda untok terus mencorakkan negara.. turut hadir - YB N.Izzah dan DS Wan Azizah, YB Raff, YB Shamsul, Sdr Suhaizan Kayat, Sdr CB serta gengsi penggerak Anak Muda.. termasuk sdr Safwan Anang..

(3) Stadium 3k - Suasana agak biasa, kehadiran org ramai tidak pun memenuhi ruang legar stadium.. disinilah kebanyakan AMK berhimpun turut serta memberi ceramah adalah MB Selangor Baru...
Punyai slot tayangan Reformasi98..
speech DSAI:- (mungkin amanat teraher) - Beliau tidak risau kerana Impak perkumpulan Anak Muda yg bakal mencorakkan Negara (refleksi Himpunan UM) - meminta agar sakalian Rakyat agar terus kuat melawan pemerintahan yg condong..

sekian jerk!

Sumber dari Sahabat

Monday, 27 October 2014

Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak EbolaDi Pulau Pinang



Kenyataan Media
27 Oktober 2014

Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak Ebola 

Dunia dikejutkan dengan virus Ebola iaitu sejenis penyakit demam berdarah. Penyakit epedemik yang masih tiada sebarang vaksin dan penawar boleh membawa maut, kini menular di beberapa buah negara luar khususnya negara Afrika. 

Baru-baru ini Negara Malaysia telah dikejutkan dengan berita seorang penuntut warga negara Nigeria berusia 24 tahun, dikuarantin di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas menunjukan tanda-tanda awal jangkitan Ebola.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengesa Kementerian Kesihatan menjelaskan situasi wabak berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat sekeliling tidak panik.

Dalam masa yang sama, Kerajaan negeri P.Pinang melalui Penang Tourism sedang dalam persiapan akhir menganjurkan satu acara larian tahunan antarabangsa iaitu Penang Bridge International Marathon 2014 yang akan berlangsung pada 16 November 2014. Acara marathon seperti ini amat mendapat perhatian dari warga afrika, termasuklah dari negara yang terbabit dengan wabak ebola.

Sehubungan itu SAMM menyarankan supaya Kementerian Kesihatan memperketatkan pengesanan dan kawalan pintu masuk antarabangsa untuk setiap peserta acara tersebut. Meletakkan mesin pengimbas suhu badan di pintu sempadan semata-mata adalah tidak mencukupi. Sebaliknya, pihak berwajib harus mengenakan saringan berkuarantin khususnya terhadap pelawat dan pelancong dari negara yang terkesan wabak ebola.

SAMM memandang serius terhadap tahap kesihatan peserta-peserta acara larian tahunan Penang Bridge International Marathon 2014 dan turut mengharap agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memasti tahap kesihatan peserta acara tersebut terjamin.

Penularan wabak ebola ke atas negara ini harus disekat secara serius, langkah pencegahan yang efektif amatlah dialu-alukan.

Sekian,

Mohd Faizal AB Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.