VOTE ONLINE PASCA PRU15:
"Setujukah anda Harga Barangan dan Perkhidmatan di Turunkan?" Jika setuju sila klik vote "Follow" di bawah.

Blogger Kool

Saturday, 20 February 2016

MUSUH SEBENARNYA ADALAH SISTEM NEGARA


KENYATAAN AKHBAR
18 Februari 2016

PEKERJA BANGLADESH BUKAN MUSUH !

MUSUH SEBENARNYA ADALAH SISTEM NEGARA

Berikutan pengumuman Kerajaan Malaysia bahawa ia akan membawa seramai 1.5 juta pekerja dari Bangladesh ke Malaysia dalam jangkasama 3 tahun yang akan datang terutamanya untuk sektor pembinaan dan perladangan telah menimbulkan pelbagai reaksi dari beberapa pihak. Ramai yang menganggap pekerja migran adalah musuh mereka dan mula melemparkan tuduhan yang bersifat rasis dan mengaitkan mereka dengan segala jenayah yang berlaku dalam negara.

Pihak Kerajaan sebaliknya mendakwa bahawa rakyat Malaysia tidak mahu bekerja di sektor 3D - kotor (Dirty), susah (Difficult), bahaya (Dangerous). Pihak Kerajaan juga mengatakan tindakan ini diambil kerana permintaan para majikan.

Adakah ini benar?

Mengapa tiba-tiba kerajaan ingin membawa masuk pekerja dari Bangladesh? Jika benar para majikan perlukan sejumlah pekerja ini, mengapakah Persatuan Majikan Malaysia (MEF) turut tidak bersetuju dengan tindakan ini?

Benarkah pekerja Malaysia tidak mahu bekerja di dalam sektor 3D. Jika mengikut fakta, selama ini orang tempatan yang kerja di sektor perladangan generasi demi generasi. Apa pula punca utama jika ada sektor yang kurang diminati oleh warga Malaysia?

Siapa kontraktor yang dilantik untuk membawa masuk pekerja migran ini dan bolehkah Kerajaan dedahkan senarai syarikat yang meminta pekerja migran Bangladesh?

Beberapa minggu lalu, Kerajaan mengumumkan untuk menaikkan cukai levi 100% dan ini satu langkah mengurangkan pergantungan negara terhadap buruh asing (kini ditangguhkan). Bukankah tindakan ini bertentangan dengan keputusan membawa masuk lagi 1.5 buruh asing?

Persoalan di atas amat merunsingkan dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) juga ingin menegaskan pendirian mengenai isu 1.5 juta pekerja Bangladesh seperti berikut:

1. Kini di Malaysia ada lebih 5 juta pekerja migran, majoritinya tidak berdokumen. Ini ditambah dengan lebih 2 juta pelarian. Angka ini amat membimbangkan sehingga golongan ini meliputi 30% daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia. Dengan tambahan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh, ini akan meningkat pergantungan negara kepada pekerja migran.

2. Pekerja migran bukan musuh pekerja tempatan. Mereka dibawa masuk oleh Kerajaan kerana dasar gaji murah yang diamalkan di Malaysia. Jika Malaysia boleh menawarkan satu jumlah tenaga kerja dengan upah yang murah, ini akan menarik pelabur asing ke Malaysia. Jadi ini adalah satu polisi yang dibuat oleh Kerajaan dan bukannya pekerja dari Bangladesh.

3. Eksploitasi terhadap para pekerja akan terus meningkat. Selain upah yang murah, pekerja migran terpaksa bekerja dalam pesekitaran kerja yang tidak selamat, kerja untuk waktu yang panjang melebihi 12 jam, terpaksa membayar levi, yuran permit dan bayaran hospital yang tinggi dan banyak lagi penindasan. Satu kajian juga mengatakan bahawa seorang pekerja migran meninggal dunia setiap hari kerana isu keselamatan pekerjaan.

4. Pekerja migran juga terdedah dan amat mudah menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Malaysia mempunyai rekod yang buruk dalam isu pemerdagangan manusia dan rekod menunjukkan pekerja dari Indonesia, Cambodia, Filipina, Nepal dan termasuk Bangladesh pernah menjadi mangsa pemerdangan manusia.

5. Semasa kelembaban atau kegawatan ekonomi seperti yang dihadapi oleh Malaysia sekarang, pengangguran akan meningkat kerana para majikan akan mengambil langkah untuk mengurangkan perbelanjaan dan memaksimakan keuntungan. Para pekerja akan kehilangan kerja. Dua hari yang lau, MEF mengatakan pada tahun 2015, 26,000 pekerja diberhentikan kerja dan ramai lagi akan diberhentikan pada tahun ini. Jadi apa rasional membawa pekerja migran pada masa ini?

Maka, JERIT menyeru kepada pihak Kerajaan untuk memberhentikan polisi yang menindas semua golongan pekerja termasuk pekerja migran. Sebaliknya, berikan dokumen dan sahkan semua pekerja migran yang tidak berdokumen tanpa bayaran yang tinggi. Pastikan semua majikan membayar gaji minima dan tidak mengeksploitasi pekerja migran.

Bagi pihak Sekretariat JERIT

Sivaranjani Manickam
010-2402159

posted from Bloggeroid

Wednesday, 17 February 2016

Saya Cadang Kita Ambil Bangla Jadi Menteri Selain Rajin dan Murah Mungkin Kenyataan Mereka Lebih Menghiburkan


Kenyataan Media
16 Februari 2016

Masuk 1.5 juta Bangla Umpama 'Serah' Negara

Pengumuman Kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja Bangladesh lagi akan hanya menyaksikan populasi bukan warganegara meningkat kepada 8.2 juta orang jika berdasarkan kepada statistik November 2014. Ini meliputi 27% daripada populasi negara yang berjumlah lebih kurang 30 juta hari ini.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak keras usaha mengarut ini dengan fakta dan pandangan berikut;

1. Populasi warga asing seramai 8.2 juta akan menjadi jumlah etnik kedua terbesar mengatasi populasi cina Malaysia yang berjumlah 6.64 juta.

2. Warga Bangladesh yang akan berjumlah 2.1 juta selepas ini akan menjadi populasi etnik ketiga terbesar menggantikan etnik India. Malah jumlah mereka adalah jauh lebih besar dari populasi penduduk Negeri Sembilan dan Melaka (dicampurkan).

3. Kerajaan tidak pernah membentangkan statistik sebenar keperluan pekerja asing mengikut sektor dan industri, malah jumlah warga asing sedia ada jika diperuntukkan untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu seharusnya mencukupi.

4. Kegagalan kerajaan untuk merangka pelan penambahbaikan produktiviti buruh tempatan dan, struktur gaji dan imbuhan akhirnya jalan mudah diambil dengan mengimport tenaga kerja asing seperti apa yang berlaku hari ini.

5. SAMM cadang supaya hanya sektor pembinaan, pertanian, perkilangan, perhotelan dan pembantu rumah sahaja dibenarkan untuk diisi oleh warga asing.

6. Kerajaan harus bertegas memastikan sektor industri perniagaan khususnya restoran dan kedai makan, hanya boleh diisi oleh warga tempatan. Warga asing juga tidak boleh bekerja sebagai penjual di mana-mana premis, jadi kita akan melihat warga asing yang berniaga itu adalah salah dan wajib diberkas. Maka, secara tidak langsung kelopongan sektor ini akan menawarkan jumlah gaji yang lebih tinggi untuk diisi oleh warga tempatan.

7. Ingin disebut juga di sini, Industri makanan dan minuman juga tidak boleh diisi oleh warga asing di atas faktor kebersihan dan kesihatan.

8. Jika alasan pekerja tempatan tidak mahu menceburi bidang pekerjaan yang 'kotor' seperti kata menteri, bagaimana pula dengan ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri yang sama di Singapura sedangkan di sini pekerjaan itu diisi oleh pekerja asing?

9. SAMM juga melihat adanya unsur pengambilan untung pantas dengan jumlah bilion ringgit dalam mengurus kemasukkan 1.5 juta warga Bangladesh ini. Malah laporan media yang mengatakan syarikat adik Timbalan Perdana Menteri juga terlibat menimbulkan konflik kepentingan yang berprofil tinggi. Ini sangat tidak wajar sekali, umpama menyerah negara ini untuk disesakkan oleh warga asing.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

posted from Bloggeroid

Thursday, 11 February 2016

OSA Bukan Pelindung Jenayah Korupsi


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Kenyataan Umum
12 Februari 2016

OSA Bukan Pelindung Jenayah Korupsi

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk cadangan Peguam Negara untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan sebagai hukuman. Cadangan semberono ini tidak sepatutnya dikeluarkan sekiranya kepimpinan Negara hari ini benar-benar mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk menghapuskan unsur-unsur korupsi dalam pentadbiran Kerajaan.

SAMM bersetuju sekiranya OSA ini hanya terpakai untuk perkara-perkara membocorkan maklumat yang bersifat pengintipan dan risikan, membocorkan rahsia sehingga boleh membahayakan nyawa orang ramai dan, keselamatan dan pertahanan negara. Tetapi, OSA tidak boleh digunakan untuk melindungi jenayah korupsi. Tidak kira sama ada korupsi dan salah urus tadbir itu berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan malahan dalam Parti Politik sekalipun, ia harus ditentang dan dilawan.

Seharusnya Peguam Negara meminda dan memperkemaskan lagi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) bagi membasmi kegiatan korupsi dengan lebih tuntas agar kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah tidak terus terperosok jauh ke bawah. Peguam Negara juga sepatutnya mengemukakan kepada Kabinet dan Parlimen, satu pindaan undang-undang yang melindungi pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pelaku koruptor.

Jika Kerajaan Pemerintah tidak melakukan sebarang kesalahan atau korupsi, mengapa harus takut dengan pendedahan maklumat? Apa yang perlu disorokkan daripada pengetahuan umum? Peguam Negara juga seharusnya membentangkan kepada Kabinet Cadangan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat supaya masyarakat dapat bersama-sama melakukan semak-dan-imbang dalam urustadbir Kerajaan.

Justeru itu, SAMM mengambil tanggungjawab penuh menyeru kepada semua pihak yang mempunyai rasa cintakan negara dan kebertanggungjawaban terutamanya Pegawai-Pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyalurkan maklumat korupsi yang berlaku kepada Sekretariat Bongkar SAMM, Pusat Gerakan Rakyat (PaGER) SAMM, No. 344 (Tingkat 1 & 2), Jalan Haruan 5/8, Oakland Commercial Centre, 70300 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus atau melalui email di aduan.samm@gmail.com. Segala maklumat pengenalan diri akan dirahsiakan dan dilindungi.

Sekian,

Che’GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

email : cheGuBard@gmail.com

posted from Bloggeroid

Pemuda Mengamuk di JPJ Maut Ditembak 7 Das Peluru




Laporan awal kes tembak Amin Beyond

GEORGETOWN: Seorang tauke restoran nasi kandar maut ditembak dari jarak dekat di Jalan Datuk Keramat, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, Syed Amin Zainul Abidin, 46, yang memandu kereta Mercedes Benz dipercayai berhenti di depan sebuah kedai motosikal sebelum dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad, berkata seorang daripada suspek melepaskan tujuh das tembakan ke arah mangsa yang berada di tempat duduk pemandu. Beliau berkata, empat das tembakan mengenai badan peniaga berkenaan dan satu das lagi mengenai bahagian kepala, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi. Suspek juga, katanya, turut melepaskan satu das tembakan ke arah dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), yang sedang bertugas mengawal premis perniagaan berdekatan, namun tersasar. "Siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih dilakukan bagi mengenal pasti motif serangan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi. (Copy dari Group WhatsApp)

*Katanya Tauke Car Wash
*Sumber blog mengatakan Amin Beyond pernah mengamuk di JPJ

posted from Bloggeroid

Tuesday, 9 February 2016

Ayuh ke Sg Buluh Malam ini, Ada Sesuatu Yang Wajar Dibuktikan Kepada Regim


Kenyataan Media
9 Februari 2016

Ayuh ke Sg Buluh Malam ini, Ada Sesuatu Yang Wajar Dibuktikan Kepada Regim

Hari ini genap setahun DS Anwar Ibrahim menjadi tahanan politik untuk ke sekian kalinya. Ketika beliau mempunyai pilihan hidup berselang lenang menjaga cucu, namun perjuangan demi rakyat tetap menjadi pilihan yang akhirnya tersembam ke jerijil besi.

Setahun ketiadaan Anwar di teras arena politik tanahair menyaksikan perbezaan yang ketara - regim bagaikan tiada halangan untuk meratah hasil bumi dan hasil mahsul tanahair. Demokrasi terus dimatikan dengan akta hasutan yang menggila, keluhuran undang-undang menjadi sarkas dan bagaikan dijual beli demi pertahan kuasa, manakala rakyat pula terus dipijak dan dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup demi tembolok pemimpin rakus.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan jelas menganggap Anwar Ibrahim sebagai sosok yang pernah menjadi kereta kebal terbaik dalam perjuangan merempuh keampuhan regim pemerintah korup. Selain menjadi faktor kemenangan beberapa negeri, beliau juga ancaman terbesar regim dan perlu dilenyapkan 'by hook or by crook'. Akhirnya mereka berjaya dan hari ini sedang berpesta membadutkan kita sambil mengumpul kekayaan keturunan dan kroni.

Perlu diingat, kejayaan regim hari ini bukanlah kerana mampu menyumbat Anwar ke penjara, tetapi kejayaan mereka adalah kerana tiada kebangkitan rakyat di atas kekejaman yang dilakukan terhadap Anwar dan juga semua rakyat marhein.

Justeru itu, SAMM mengharapkan kebesaran jiwa dan hati setiap rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir bersolidariti di depan penjara Sg Buluh pada jam 8.30 malam ini. Ayuh buktikan masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib seorang Anwar Ibrahim - yang kini selesai membayar ansuran tahun pertama dipenjara akibat dari menghenjut regim dengan sedaya yang beliau ada. Percayalah bahawa kehadiran setiap dari kita pada malam ini akan menghimpun gerun di pihak regim, Ayuh buktikan, sila ambil bahagian.

Anwar bukan sekadar lambang pengikat perpaduan nasional. Bagi SAMM, Anwar juga ialah tokoh perjuangan rakyat Malaysia dan harus dibebaskan segera.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

posted from Bloggeroid

Wednesday, 20 January 2016

MB Selangor Perlu Bersihkan Nama Seperti KM Pulau Pinang, SAMM Cabar Heret che'GuBard ke Mahkamah!


Kenyataan Media SAMM
20 Januari 2016

MB Selangor Perlu Bersihkan Nama Seperti KM Pulau Pinang, SAMM Cabar Heret che'GuBard ke Mahkamah!

SAMM mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng di atas kejayaan membersihkan nama beliau yang dicemar satu dakwaan yang akhirnya terbukti tidak berasas.

Dakwaan dibuat oleh Nasrudin Hassan kononnya YAB LGE telah menganugerahkan projek pembinaan terowong bawah tanah secara rundingan terus walaupun pihak LGE telah memberi nasihat awal tentang kebenaran dan integriti kerajaan P.Pinang. Mahkamah akhirnya memerintahkan Nasrudin menarik balik artikel tulisannya dan membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada LGE.

Nasrudin disaman atas artikel tulisannya memfitnah Lim Guan Eng dan kerajaan P.Pinang dalam usaha membela Kerajaan Selangor pimpinan Khalid Ibrahim yang dipertikai apabila meluluskan KIDEX, sebuah projek lebuhraya bertol yang jelas bertentangan dengan aspirasi serta janji perjuangan Pakatan Rakyat ketika itu.

Apa yang berlaku di sebalik keputusan Mahkamah Georgetown itu adalah hampir sinonim dengan perkembangan di Selangor. Bezanya, kelantangan che'GuBard menyuarakan skandal balak Menteri Besar Selangor Azmin Ali dalam istilah 'tender terbuka' masih belum diheret ke mahkamah.

Jika LGE dengan berani membawa Nasrudin ke mahkamah demi menunjukkan tiada anugerah rundingan terus (walaupun mempunyai kuasa berbuat demikian) seperti yang didakwa, mengapa tidak Azmin juga melakukan hal yang sama terhadap che'GuBard?

Proses penganugerahan projek melalui tender terbuka merupakan antara perkara asas semangat reformasi dan janji ketelusan dalam pentadbiran yang ingin ditunjuk kepada rakyat. SAMM menegaskan Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar dan mesyuarat exconya mempunyai bidang kuasa meluluskan projek tanpa tender terbuka. Namun jika pemberian tender secara rundingan terus (tanpa tender terbuka) ini dibiarkan berlaku, maka kita seolah-olah mengkianati janji kita kepada rakyat. Malah perjuangan Anwar Ibrahim hingga terbenam ke penjara demi mempertahan prinsip menjadi sia-sia.

Azmin Ali selaku ketua kerajaan selangor bersalah kepada perjuangan ini apabila wujud projek besar tidak melalui proses tender terbuka, contohnya skandal balak yang dibangkitkan oleh che'GuBard baru-baru ini. Lebih teruk, apabila Azmin didapati berbohong di media dengan menyebut kononnya balak yang diluluskan itu melalui tender terbuka.

Justeru itu, SAMM dengan ini mencabar Azmin Ali membawa che'GuBard ke mahkamah, supaya dokumen yang dilindungi akta rahsia rasmi mengenai tender terbuka penganugerahan projek balak tersebut mampu dipaparkan sebagai bukti. MB Selangor perlu membersihkan namanya, jadilah seperti Lim Guan Eng.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

posted from Bloggeroid

Tuesday, 19 January 2016

KERAJAAN BARISAN NASIONAL MENCIPTA LEBIH RAMAI MISKIN TEGAR TERUTAMA KEPADA RAKYAT YANG MENGAMBIL UPAH MENOREH GETAH


KERAJAAN BARISAN NASIONAL MENCIPTA LEBIH RAMAI MISKIN TEGAR TERUTAMA KEPADA RAKYAT YANG MENGAMBIL UPAH MENOREH GETAH

Kejatuhan harga getah sehingga RM1.80 sekilogram ditambah musim kemarau amat menjejaskan pendapatan harian dan bulanan penoreh getah diseluruh negara.
Lebih terjejas ialah pekebun kecil getah yang mengupah orang lain menoreh getah kerana hasil yang tidak seberapa terpaksa dibahagi dua.

Dengan kejatuhan harga getah sekarang memang rata-rata pekebun kecil yang memiliki kebun sekitar empat hingga lima ekar memang di bawah paras kemiskinan,yang mengambil upah pula amat perit untuk menjalankan kehidupan seharian .mereka terpaksa mencatu makanan dan wang ringgit .Anak sekolah,yuran,minyak motor ,barang dapur dan susu anak.

Dengan pendapatan RM200 hingga RM400 sebulan, Itu tidak akan mampu mengubah nasib rakyat yg dibebani kos sara hidup yg tinggi.samada kebun sendiri dan usahakan sendiri atau mengambil upah menoreh pokok org lain. Bagi yang kebun sendiri tapi tak mampu nak usahakan sendiri dan minta orang lain usahakan, terpaksa bahagai dua jadi masing-masing dapat pendapatan bulanan yg begitu rendah.

walaupun terdapat penoreh khususnya di bahagian kelantan dan terengganu mengambil inisiatif menyimpan getah sekerap, namun dalam keadaan kemarau ini, mereka terpakasa juga menjual getah sekerap walaupun harganya begitu rendah.

Penggubalan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB), penetapan harga lantai getah beku, penetapan harga kos proses atau kos kilang, penggunaan alat penyukat Dry Rubber Content (DRC), penyelidikan produk berasaskan getah asli, penerokaan pasaran berasaskan getah asli, peranan aktif dalam International Tripartrate Rubber Council (ITRC), dan kebajikan pekebun kecil getah termasuk penoreh2 getah harus diselaraskan semula dengan menarik pelabur2 dari negara EU bagi membantu rakyat bawahan.
Kenapa malaysia terlalu bergantung pembelian dari China sedangkan banyak lagi negara2 industri yg meningkat maju kehadapan dalam industri getah.

pendapatan penoreh getah yg tidak seimbang dengan kenaikan harga barang termasuk cukai GST dan cukai2 yg lain menyebabkan tekanan ekonomi sara diri dan menciptakan kemiskinan tegar dikawasan luar bandar atau pedalaman.
Getah asli Malaysia adalah antara tersenarai yang terbaik di dunia tetapi malangnya pengusaha getah berada di bawah paras catuan ekonomi yg lemah termasuk penoreh getah yg mengambil upah.

Pihak kerajaan seharusnya mengambil peranan untuk membantu rakyat bawahan.
Tuntutan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB)mekanisma penentu FOB yang lebih mantap perlu digubal serta merta bagi menggantikan sistem penetapan harga yang sedia ada sekarang kerana penyelarasan adalah begitu lemah dan tidak mampu mengubah apa2 tindakan kebaikan kepada penoreh getah dan pemilik kebun.

Operasi panel penetapan harga di bawah LGM mestilah dijalankan secara telus dan perlu melibatkan NGO pekebun kecil yang berpengaruh bagi mewakili mereka yang menerima akibat penurunan harga getah di pasaran dunia dan penentuan FOB seharusnya didedahkan kepada rakyat.

Harga lantai getah beku perlu ditetapkan pada RM3.50 sekilogram dan kerajaan malaysia perlu menyintik dana khas atau menyediakan subsidi kepada pekebun-pekebun kecil yang telah membantu negara mengeluarkan getah asli.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh kami anggaran kos operasi sekilogram getah beku adalah RM3.20 dan ianya mampu membantu penduduk bawahan bagi membasmi kemiskinan yg makin meruncing.
Justeru kami mendesak kerajaan malaysia untuk menetapkan harga lantai dengan suntikan dana khas atau pemberian subsidi pada harga RM3.50 sekilogram.

Desakan ini akan dibuat walau apa pon cara bagi memastikan rakyat bawahan terutama pemilik kebun dan pengambil upah menoreh getah dapat menambah pendapatan bagi kehidupan yg selesa untuk masa depan keluarga mereka.

Kami dari Parti Amanah Negara Parlimen Sik akan membuat jelajah penerangan keseluruh daerah ini dan berkemungkinan akan bergerak keseluruh malaysia bagi mendengar masalah rakyat sehingga akar umbi.Seandainya Kerajaan BN tidak lagi mampu memerintah dan menjaga rakyat dengan baik dalam soal ekonomi mereka , eloklah berundur dan berikan kepada PAKATAN HARAPAN untuk mentadbir negara .

Kami menyeru kepada semua penoreh getah supaya menolak BARISAN NASIONAL dan sekutunya pada PRU14.


Sulaiman Ibrahim @LemanRL
Ketua Parti Amanah Negara Parlimen Sik
Presiden PANGLIMA MALAYSIA
( Pertubuhan Angkatan Amilin Malaysia )
19 Jan 2016

posted from Bloggeroid

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PERINGATAN

Tulislah apa2 yang Hangpa nak tulis. Tapi jangan tulis sesuatu yang boleh menyebabkan aku dikenakan tindakan undang-undang. Aku tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang Hangpa tulis dan penulisan Hangpa tidak mewakili pandangan aku.